Malaysia: Saman Terbaharu AS Untuk Dapatkan Semula Aset Bernilai USD540 Juta Berkaitan 1MDB

Ray Sherman
2017.06.16
Kuala Lumpur
170616-MY-1mdb-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, tiba di upacara pembukaan sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Manila, 29 April 2017.
AFP

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiat usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang difailkan di sebuah mahkamah di California minggu ini.

Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles pada Khamis, Jabatan Keadilan berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira USD540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad, atau dikenali sebagai 1MDB, yang diilhamkan Najib bagi mempromosi pembangunan ekonomi.

Kira-Kira setahun lepas, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih USD1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.

Minggu ini, pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah USD4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri berkenaan.

“Permohonan hari ini mendedahkan satu lagi episod dalam skim penipuan itu yang membabitkan nilai berbilion dolar dan menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dikenal pasti telah dicuri ialah USD4.5 bilion,” kata pemangku pembantu Peguam Negara Kenneth A.Blanco dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Wang ini telah digunakan bagi membiayai gaya hidup mewah para pengkomplot sehingga menjejaskan dan merugikan rakyat Malaysia,” katanya. “Kami tidak akan berganjak daripada komitmen kami untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat bukanlah syurga yang selamat bagi individu-individu yang korup dan para kleptokrat untuk menyembunyikan kekayaan atau wang yang mereka peroleh secara salah, serta aset yang didapatkan semula itu akan dikembalikan kepada pihak dari mana ia telah diambil.”

Menurut saman itu, hampir USD28 juta (RM119 juta) daripada hasil jualan bon yang dikaitkan dengan skandal 1MDB didakwa telah digunakan untuk membeli barang kemas kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.

“Berdasarkan dana yang berjaya dikesan, hasil penjualan bon yang diseleweng pada 2013 itu telah digunakan untuk membeli seutas kalung bertatahkan sebutir berlian merah jambu seberat 22 karat untuk isteri Malaysian Official 1,” menurut dokumen mahkamah.

“Berlian serta kalung itu telah dibeli dari Lorraine Schwartz Inc di New York yang merupakan seorang penjual dan pereka barangan kemas mewah. Jumlah harga pembelian bagi berlian dan kalung itu ialah USD27,300,000.”

‘Satu kes yang begitu jelas kecacatannya’: Jho Low

Aset lain yang ingin disita oleh pihak berkuasa AS termasuk sebuah lukisan Picasso yang dihadiahkan kepada bintang filem Amerika Leonardo DiCaprio dan hakcipta bagi dua buah filem Hollywood.

Pembelian barangan kemas untuk Rosmah telah didakwa diuruskan oleh pakar kewangan kontroversi Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low, yang turut didakwa menyerahkan lukisan Picasso terbabit kepada DiCaprio.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi seorang wakil, Low berkata tindakan Jabatan Keadilan itu adalah “suatu bukti lanjut…dalam satu kes yang begitu jelas kecacatannya,” demikian menurut agensi berita Reuters.

“Langkah terbaharu ini menunjukkan Jabatan Keadilan AS masih meneruskan usaha tidak wajarnya bagi menyita aset-aset meskipun tiada sebarang bukti berlakunya penyelewengan,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap DiCaprio pada Khamis berkata aktor itu telahpun memulakan prosiding untuk memindahkan hak milik bagi lukisan Picasso kepada kerajaan AS, selepas berbuat demikian pada bulan Julai 2016 bagi memulangkan hadiah yang diterimanya daripada pakar kewangan yang dikaitkan dengan kes 1MDB, lapor Reuters.

Najib telah dikaitkan dengan skandal 1MDB sejak dua tahun lepas setelah akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Julai 2015 bahawa hampir USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Beliau bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang untuk keuntungan peribadi berhubung isu 1MDB.

Peguam Negara Malaysia Apandi Ali sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.

Pada Jumaat, beliau sekali lagi tampil mempertahankan Najib dan menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah melakukan sindiran terhadap perdana menteri berkenaan.

“Perdana Menteri tidak pernah dinamakan sebagai seorang defendan dalam tuntutan saman itu atai didakwa telah melakukan sebarang salah laku jenayah,” kata Apandi sambil menambah bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan berlaku penyelewengan dana negara itu.

“Selepas semakan, kami mendapati tiada sebarang jenayah dilakukan,” kata Apandi sambil menambah bahawa pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Peguam Negara Malaysia itu turut meluahkan kekecewaannya kerana Jabatan Keadilan AS gagal untuk “memaklumkan atau memberitahu” pihaknya berhubung saman terbaharu itu.

Bekas menteri yang memegang portfolio undang-undang Malaysia, Zaid Ibrahim, telah mempersoal pendirian Apandi.

“Jabatan Keadilan AS telah mengemukakan aduan setebal 250 muka surat berhubung isu 1MDB dan Peguam Negara Apandi masih menegaskan bahawa ia adalah tidak berasas ?” kata Zaid menerusi akaun Twitter beliau.

Isu dana yang kekurangan wang serta diurus oleh kerajaan Malaysia itu telah menjadi sasaran beberapa siasatan berhubung kes pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk negara jiran Singapura.

Setiausaha akhbar Najib, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, turut tampil mempertahan perdana menteri dengan menyatakan bahawa saman itu “telah melangkaui objektif untuk menyita aset-aset.”

“Proses keadilan tidak boleh dilakukan dengan meminta Malaysia berdiri teguh dalam mendukung ketelusan dan urus tadbir yang baik. Ia turut membabitkan langkah memastikan bahawa dakwaan tersebut perlu mempunyai asas dari segi fakta berbanding fitnah yang dilemparkan lawan politik.

Eric Paulsen, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan tempatan, berkata pihak berkuasa Malaysia perlu terlebih dahulu menyoal siasat Jho Low sebelum mengkritik tindakan Jabatan Keadilan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak akan menghulurkan sebarang bantuan kepada Biro Penyiasatan  Persekutuan (FBI) berhubung isu 1MDB.

“Tidak ada (kerjasama dengan FBI) dalam tindakan saman sivil,” katanya pada Jumaat.

1MDB pada Jumaat telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa ia tidak terbabit dalam saman sivil itu dan tidak pernah dihubungi oleh Jabatan Keadilan.

“1MDB mengambil maklum bahawa saman sivil itu tidak mengandungi sebarang apendiks dengan bukti berdokumen atau penyataan saksi bagi menyokong dakwaan yang dibuat oleh DOJ,” kata 1MDB sambil menambah bahawa syarikat itu akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa asing yang sah tertakluk kepada protokol antarabangsa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.