IS: Empat Lelaki Didakwa Rancang Aktiviti Keganasan

Haireez Azeem Azizi dan Fahirul N. Ramli
2016.09.01
Kuala Lumpur
160901-MY-club-bomb-620.jpg Gambar menujukkan tompokan kesan letupan sebutir bom tangan di kelab malam Movida di Puchong, Kuala Lumpur, 28 Jun 2016.
Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar

Seorang operator kilang dan tiga lelaki lain didakwa di dua mahkamah di Johor pada Khamis bagi sembilan pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS) termasuk memberi sokongan terhadap serangan bom di sebuah kelab malam di Puchong yang mengakibatkan lapan orang cedera pada Jun lepas.

Media-media tempatan melaporkan Mohammad Firdaus Abdullah, 26, didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Md Saifuddin Muji, 28, Jasanizam Rosni, 33, dan Mohd Sanusi Satar, 31, pula menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Batu Pahat di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Di Johor Bahru, Mohammad Firdaus dituduh memberi sokongan kepada perbuatan pengganas iaitu serangan bom di Kelab Malam Movida di Puchong, Kuala Lumpur dan serangan "dron" ke atas Putrajaya, Bukit Aman dan sebuah kuil di Bukit Jalil, Kuala Lumpur melalui aplikasi Telegram "amanah (phb) vs pas” menggunakan nama 'Jengking Malaya' di antara 17 Jun hingga 29 Jun lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas harta yang digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu.

Di dalam dua lagi pertuduhuan, Mohammad Firdaus didakwa memiliki buku bertajuk 'Tarbiyah Jihadiyah' dipercayai berkaitan dengan IS dan al Qaeda di sebuah kediaman dekat Larkin, Johor Bahru pada 4 Ogos lalu dan memberi sokongan kepada IS menerusi Telegram "Gagak Hitam" menggunakan nama "Jengking Malaya" di antara 25 Mac hingga 17 Jun lepas.

Bagi dua pertuduhan itu, Mohammad Firdaus didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas barang berkenaan, jika sabit kesalahan.

Bagi empat pertuduhan itu, tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah Majistret menetapkan 3 Oktober ini bagi sebutan semula kes itu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kelima, Mohammad Firdaus dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah memiliki senjata tiruan Jenis Airsoft Gun MK681C2 di kediaman sama pada 4 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Mohd Ghazaly Ali dan Lydiana Mansor.

Pada akhir Jun lalu, Malaysia dikejutkan dengan serangan pertama pengganas IS apabila bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam itu yang mencederakan lapan orang yang sedang menonton perlawanan bola sepak melalui televisyen.

Pada 25 Julai lalu, dua lelaki iaitu  penganggur Imam Wahyudin Karjono, 21, dan operator kilang Jonius Ondie alias Jahali, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana terbabit dalam serangan tersebut.

Di Batu Pahat, Johor,  Md Saifuddin, Jasanizam dan Mohd Sanusi didakwa dengan empat pertuduhan berasingan termasuk memiliki bom tangan.

Bagi pertuduhan pertama, Md Saifuddin, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki bom tangan model M67, di sebuah rumah di Kampung Parit Gantung, Seri Merlung, Rengit, Johor pada 11 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya enam kali.

Majistret Mohd Zulhilmi menetapkan sebutan semula kes itu pada 8 September ini.

Bagi pertuduhan kedua, Md Saifuddin dan Jasanizam, dituduh secara bersama dalam membuat perancangan untuk menyerang tokong dan kelab malam termasuk Kelab Platinum di Johor Bahru, di antara 27 Jun dan 2 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, Md Saifuddin didakwa memiliki satu bendera hitam bertulisan jawi yang ada kaitan dengan kumpulan militan IS di Kampung Parit Gantung, Sri Merlung, Rengit, pada 11 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan keempat pula, Mohd Sanusi didakwa dengan sengaja tidak memberi maklumat bahawa kegiatan keganasan akan dilakukan, di Taman Manis, Parit Raja, antara 1 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat. Majistret menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula bagi memindahkan kes-kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 9 Ogos, Md Saifuddin dan Jasanizam diberkas di kawasan berbukit di Kuala Krai, Kelantan, negeri di pantai timur Malaysia, selepas menjadi buruan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mahu menyekat mereka daripada melancarkan serangan IS terhadap pusat hiburan di Johor Bahru.

Sebelum ini, Ketua Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata bahawa sekurang-kurangnya 230 individu dipercayai menganggotai IS termasuk 200 orang yang  telah ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya  87 individu telah didakwa dengan 18 lagi dibuang negeri manakala 62 orang lagi dibebaskan selepas disoal siasat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.