Marawi: Militan Kanan Malaysia, Filipina Dilaporkan Terbunuh

Richel V. Umel dan Froilan Gallardo
2017.06.23
Marawi, Filipina
170623marawi1-620.jpg Penduduk bandar Marawi yang musnah akibat pertempuran di selatan Filipina solat Jumaat di Masjid Islamic Center pada 23 Jun 2017.
Froilan Gallardo/BeritaBenar

Pihak berkuasa Filipina pada Jumaat berkata ia sedang mengesahkan  maklumat perisikan bahawa seorang militan kanan Malaysia, yang dipercayai mendalangi pengepungan bandar Marawi di Mindanao, Filipina, mungkin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera negara itu.

Tentera Filipina menyatakan terdapat petunjuk bahawa seorang daripada dua beradik Maute, yang dikenal pasti sebagai antara mereka yang merancang pengepungan Marawi dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, turut terbunuh dalam pertempuran itu.

"Pengganas Malaysia, Mahmud Ahmad, mungkin terbunuh di Marawi," kata Brig Jen Gilbert Gapay, komander pasukan tentera di timur Mindanao, pulau utama selatan yang menempatkan Marawi.

Mahmud didakwa membiayai serangan di Marawi, dan dia dilihat dalam ralaman video yang diperoleh oleh tentera pada bulan lalu di mana dia merancang serangan itu dengan pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang mengangkat dirinya sebagai pemimpin Negara Islam di Filipina.

Pegawai-pegawai perisikan berkata, Mahmud adalah bekas profesor sebuah universiti di Malaysia, yang pernah dilatih di Afghanistan. Dia juga merupakan  bekas guru pengajian Islam di Malaysia, yang turut mengikuti pengajian di Pakistan di mana dia didedahkan kepada gerakan militan yang dinaungi oleh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Mahmud dipercayai menyalurkan wang kepada Hapilon dan adik beradik Maute, yang keluarganya dianggap hidup mewah jika dibandingkan dengan taraf penduduk Marawi, kata para pegawai risikan tentera.

Tidak benar

Sementara itu,  Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar menafikan Mahmud  terbunuh dalam pertempuran Marawi, berdasarkan kepada maklumat terkini pada lewat Jumaat.

“Berkenaan dengan Dr Mahmud, banyak yang bertanya sama ada dia benar-benar telah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina. Saya baharu sahaja mendapat maklumat bahawa berita yang menyatakan dia terbunuh itu adalah tidak benar.

“Jadi, maknanya dia masih hidup lagi. Kita percaya dia masih lagi berada di bandar Marawi bersama-sama dengan militan lain. Saya menafikan berita bahawa Dr Mahmud telah terbunuh,” Khalid dipetik sebagai berkata dalam laporan agensi berita rasmi Malaysia, Bernama, pada Jumaat.

Sementara itu, turut dilihat dalam klip video itu, sejak ia didedahkan pihak Tentera Filipina, adalah Omarkhayam Maute, yang bersama-sama abangnya, Abdullah, serta kumpulannya menyokong Hapilon.

Sebelum ini, Tentera Filipina menawarkan ganjaran sebanyak 5 juta peso ($101,250) masing-masing bagi dua beradik Maute itu, dan ganjaran dua kali ganda untuk Hapilon. Pihak tentera sebelum ini mengeja nama Omarkhayam sebagai Omar.

Selain itu, Amerika Syarikat menawarkan ganjaran sehingga $5 juta untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan Hapilon, yang dinamakan  dalam senarai pengganas asing yang paling dikehendaki Washington.

Tentera Amerika Syarikat juga membantu pasukan Tentera Filipina dalam mengumpul maklumat perisikan di Marawi, tetapi mereka dihalang daripada menyertai pertempuran itu.

Maklumat perisikan menyatakan bahawa Omarkhayam terbunuh dalam pertempuran di Marawi,  yang sudah ditinggalkan oleh 200,000 penduduknya,  ketika pasukan kerajaan pemerintah terus menjatuhkan bom di kawasan-kawasan kecil yang dipercayai menjadi tempat persembunyian para militan.

Blok-blok konkrit dan serpihan bertaburan dari bangunan yang disasarkan oleh pasukan tentera Filipina di satu seksyen bandar Marawi di mana pasukan keselamatan sedang bertempur dengan militan yang mendapat ilham daripada perjuangan  pengganas Negara Islam, 23 Jun, 2017. Jeoffrey Maitem/BeritaBenar

Mencari mayat

Sementara itu, Gapay berkata, Ahmad dipercayai cedera dalam pertempuran itu sebelum meninggal dunia. Namun, pasukan tentera masih belum menjumpai mayatnya. Mereka juga sedang mencari mayat Omarkhayam.

Tetapi kematian mereka, jika benarlah seperti yang dilaporkan berlaku, akan menjadi tamparan hebat kepada para pejuang itu yang dipercayai telah menghimpun militan IS lain - termasuk dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Timur Tengah – untuk bertempur di Marawi.

Beliau berkata, Ahmad adalah antara 40 pengganas asing yang dikenal pasti memasuki Filipina menerusi "penyusupan sempadan" di selatan.

Beberapa pejuang asing itu telah "dineutralisasi" di Marawi, menurut laporan pihak tentera di lapangan.

"Kami mendapati bahawa kebanyakan pengganas asing ini telah menyusup masuk ke dalam negara ini melalui pintu belakang," kata Gapay. "Kini, berdasarkan laporan perisikan terbaru, terdapat kira-kira 40 pengganas asing di negara ini."

Lt. Kol. Jo-ar Herrera, jurucakap kempen ketenteraan di lapangan, pula berkata, mereka telah menerima laporan perisikan bahawa Omarkhayam telah terbunuh. Bagaimanapun, perkara itu juga tidak dapat disahkan kerana pihak tentera belum dapat menembusi kampung-kampung di Marawi yang masih ditawan oleh para pejuang bersenjata.

"Menurut laporan kami, dia terbunuh di satu daripada empat kawasan konflik yang kami perkatakan," kata Herrera. "Kami tidak boleh menyatakan bila dia terbunuh, senjata api mana yang membunuhnya atau  di mana mayatnya ditanam."

Bagaimanapun, katanya, ada "petunjuk kuat" berhubung kematian Omarkhayam.

Sejak pertempuran itu berlaku pada 23 Mei lalu, Marawi telah ditinggalkan oleh para penduduknya, dengan jumlah kematian dilaporkan melebihi 300 orang termasuk 26 orang awam dan 69 askar dan polis.

Pada Khamis, kerajaan Filipina, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menyelaraskan usaha memerangi keganasan. Terdapat kebimbangan bahawa Negara Islam sedang berusaha menubuhkan pangkalan serantau di Marawi, dan para pegawai dan penganalisis keselamatan menyatakan tentang perlunya  usaha yang lebih bersepadu untuk memerangi kebangkitan militan.

"Tumpuan operasi ketenteraan masih ada," kata jurucakap presiden, Ernesto Abella, sambil memberitahu bahawa pengganas "sentiasa memberi penentangan  terhadap pasukan yang terus mara.”

Beliau berkata, para militan juga semakin terdesak, dengan bertindak membakar rumah dan pertubuhan yang ada di pelbagai kawasan di bandar yang dikepung itu.

Hata Wahari dan N. Natha menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.