Juruteknik Dihukum Penjara Lapan Tahun Milik Lebih 500 Barangan IS

Hadi Azmi
2017.10.12
Kuala Lumpur
IS-salah.jpg Dua lelaki yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan menyokong keganasan kumpulan Negara Islam dibawa keluar dari Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Sept 2015.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menjatuhkan hukuman lapan tahun ke atas seorang juruteknik kilang selepas didapati bersalah menyokong dan memiliki lebih 500 ratus bahan berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) pada tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusan beliau berkata tindakan tertuduh Muhammad Safuan Mohd, 29, menyokong gerakan militan seperti IS merupakan satu jenayah berat yang mampu menggugat kestabilan negara.

“Saya berharap kamu akan berubah setelah menjalankan tempoh  hukuman kamu. Kamu perlu bertanggungjawab terhadap tindakan kamu,” katanya lagi.

Safuan mengaku bersalah memberikan sokongan kepada gerakan IS dengan menyatakan taat setia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan yang dikenali sebagai ‘Gagak Hitam” ketika berada di rumahnya di alamat Jalan Matahari U5/102, Seksyen U5, Petaling Jaya, Selangor pada 30 Mac, 2016, jam 3.29 pagi.

Tertuduh menggunakan nama samaran “Abu Marwan Salaki”.

Pertuduhan terhadap juruteknik itu dibuat mengikut Seksyen 130 J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih dari 30 tahun, atau denda serta boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan yang digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut, jika sabit kesalahan.

Safuan juga mengaku bersalah memiliki 72 klip video, 19 gambar, dan 419 dokumen berkaitan IS di dalam telefon  bimbitnya di lot parkir di alamat yang sama pada 16 Oktober sekitar jam 7 petang.

Pertuduhan kedua dilakukan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun atau denda serta boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan yang digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun ke atas Safuan bagi pertuduhan pertama dan hokum tiga tahun untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, hakim mengarahkan kedua-kedua hukuman berjalan serentak dari tarikh penangkapan pada 6 Okt 2016.

Sebelum itu, dalam rayuan Safuan merayu agar mahkamah memberikan hukuman ringan ke atasnya memandangkan dia adalah penyara tunggal dalam keluarga.

“Saya dari keluarga miskin dan ibu saya terpaksa bekerja untuk menyara kedua anak saya.”

“Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi,” katanya.

Safuan dan keluarganya dilaporkan menangis ketika hukuman dibacakan. Tertuduh sempat memeluk ahli keluarganya sebelum dibawa ke lokap selepas selesai perbicaraan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kumpulan Telegram "Gagak Hitam" telah diketuai oleh militan IS rakyat Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, yang juga perekrut prolifik IS yang paling dikehendaki. Wanndy terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Raqqa, pada 29 April lepas.

Penyiasat mendakwa akaun kumpulan Telegram Gagak Hitam yang digunakan oleh sel militan tempatan disertai sekurang-kurangnya 66 anggota, menurut siasatan.

Muhammad Wanndy merupakan perancang serangan bom yang mencederakan lapan orang pelanggan di sebuah kelab malam di Puchong, Kuala Lumpur, tahun lepas.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 347 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 orang daripada mereka telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 31 anggota militan rakyat Malaysia juga telah dilaporkan terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 56 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.