Malaysia Sekat Kemasukan Aktivis Hak Asasi Terkenal Bangladesh

Ray Sherman & Prapti Rahman
2017.07.20
Kuala Lumpur & Dhaka
170720_Adilur_620.jpg Aktivis hak asasi Bangladesh Adilur Rahman Khan semasa ditahan polis negara itu di rumahnya di Dhaka kerana disyaki menerbitkan “maklumat dan imej palsu”, 10 Ogos, 2013.
[Ihsan Odhikar]

Pihak berkuasa Malaysia menyekat dan melarang aktivis terkenal Bangladesh daripada memasuki negara itu pada Khamis dengan menghantarnya pulang ke Dhaka selepas menahan aktivis berkenaan selama beberapa jam, dalam satu kejadian yang mencetuskan kemarahan pejuang hak asasi yang lain.

Adilur Rahman Khan, seorang peguam dan juga setiausaha agung kumpulan hak asasi Bangladesh, Odhikar, disekat daripada memasuki negara itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] dengan penerbangan Malaysia Airlines dari Dhaka, demikian menurut pegawai imigresen Malaysia. Mereka tidak memberi penjelasan lanjut selain mengatakan bahawa aktivis berkenaan telah disenarai hitamkan daripada memasuki negara berkenaan.

Kejadian itu merupakan kes yang kedua dalam masa sebulan apabila pegawai imigresen Malaysia menyekat kemasukan dan menghantar pulang aktivis hak asasi asing, demikian menurut Amnesty International Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Khamis (waktu tempatan), Jabatan Imigresen Malaysia mengatakan bahawa pegawai jabatan itu mendapati nama Adilur Rahman berada dalam senarai orang asing yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia, dan dia telah dihantar pulang semula pada kira-kira pukul 8:05 petang hari yang sama.

Nama Adilur Rahman "disenarai untuk rujukan sebuah agensi penguatkuasaan," kata kenyataan itu. "Jabatan Imigresen seterusnya merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkenaan dan subjek telah disyorkan supaya tidak diberi izin masuk."

Adilur Rahman "tidak ditahan tetapi hanya tidak dibenarkan masuk ke negara ini" dan telah "dilayan dengan baik sementara menunggu syarikat penerbangan menguruskan penerbangan kembalinya ke Bangladesh," tambah kenyataan itu.

Adilur Rahman merupakan bekas timbalan Peguam Negara di Bangladesh, dijangka berucap pada persidangan dua hari yang dianjurkan oleh Rangkaian Anti-Kematian Penalti Asia (ADPAN) di Malaysia.

Beliau tiba di Dhaka dengan selamat sebelum tengah malam pada Khamis (waktu tempatan), kata penyelaras Odhikar, Sajjad Hossain, yang bertemu dengan Adilur Rahman di lapangan terbang. Aktivis itu bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan semasa beliau tiba di negaranya itu, kata Sajjad

'Memalukan Malaysia’

Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia - yang lebih dikenali sebagai Suaram - mengutuk "penahanan" Adilur Rahman di KLIA dan mendesak kerajaan Malaysia "menghentikan gangguan yang berterusan terhadap pembela hak asasi" yang melawat negara itu.

Pegawai Odhikar, yang tidak mahu dikenali, memberitahu BeritaBenar bahawa pihak berkuasa Malaysia mungkin melihat Adilur Rahman sebagai ancaman kepada keselamatan kerana aktivitinya sebagai seorang peguam hak asasi manusia di Bangladesh.

Mereka berkata Adilur Rahman, yang mengasaskan Odhikar pada tahun 1994, telah melakukan misi pencarian fakta yang luas keatas pelanggaran hak asasi manusia di Bangladesh.

Pada Ogos 2013, Polis Bangladesh menahannya atas tuduhan "memberi maklumat palsu" mengenai penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan kerajaan dalam menangani protes yang dilancarkan di Dhaka oleh Hefazat-e-Islam, sebuah kumpulan Muslim konservatif. Adilur Rahman menafikan tuduhan itu.

Selepas penangkapan itu, Pengarah Human Right Watch (HRW) Asia Brad Adams berkata Adilur Rahman "yang menjadi pengkritik lantang terhadap setiap kerajaan yang memerintah dan telah diancam serta dipantau untuk jangka masa yang panjang. Kami prihatin terhadap keselamatannya. Nampaknya dia dianiaya kerana kritikan terhadap kerajaan. "

Mengikut kumpulan hak asasi yang lain, Adilur Rahman dan rakan-rakannya pernah diganggu, diancam dan dipantau oleh pihak berkuasa Bangladesh kerana mengkritik secara terbuka kezaliman polis yang didakwanya berlaku.

Adilur Rahman, penerima anugerah hak asasi manusia, telah berkempen menentang penyeksaan, pembunuhan secara ekstrem, kehilangan orang tahanan, dan keganasan terhadap wanita serta minoriti di Bangladesh.

Pergerakan akar umbi Malaysia, BERSIH, yang telah mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran kerana mahukan kerajaan yang telus, menggambarkan layanan keatas Adilur Rahman  Khan pada Khamis "sebagai memalukan Malaysia di pentas dunia."

"Dedikasinya dalam mempromosikan hak asasi kemanusiaan serta demokrasi harus dialu-alukan supaya boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuannya, dan bukannya dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara," kata BERSIH dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut laman web Odhikar, NGO itu turut memantau dan meningkatkan kesedaran mengenai penyalahgunaan hak asasi di Bangladesh dan telah melatih lebih 500 warga  Bangladesh untuk menjadi pembela hak asasi kemanusiaan.

Trend

Amnesty International Malaysia (AIM) juga mengkritik pengusiran Khan, mengatakan beliau adalah "sasaran terbaru" trend yang semakin meningkat dalam mengenakan larangan perjalanan ke atas aktivis hak asasi memasuki Malaysia.

"Kami meminta kerajaan untuk mengakhiri penggunaan larangan perjalanan terhadap pembela hak asasi manusia, yang seterusnya menghalang kerja mereka, dan mengehadkan hubungan mereka dengan pergerakan hak asasi kemanusiaan global," kata Pengarah AIM, K. Shamini Darshni dalam satu kenyataan.

Pada 18 Jun, pegawai imigresen Malaysia menghalang kemasukan seorang aktivis hak asasi kemanusiaan Singapura Han Hui Hui dari memasuki negara itu.

Aktivis wanita itu telah ditahan selama beberapa jam dan dihantar pulang selepas dia disenaraikan sebagai "pendatang yang tidak diingini" oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Han waktu itu dijadualkan untuk menghadiri program pertukaran belia serantau yang dianjurkan oleh Suaram.

Han sebelum itu, tidak menghadapi sebarang masalah untuk masuk ke Malaysia dalam lima lawatannya antara April 2015 hingga Mac tahun ini, kata seorang pegawai kepada BeritaBenar.

Di negara asalnya, Han aktif berkempen untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.

Aktivis lain yang sebelum ini dihalang oleh Malaysia termasuk Joshua Wong dari Hong Kong, serta seorang aktivis Indonesia, Mugiyanto Sipin, pada Mei 2015 dan Januari 2016.

Pihak berkuasa Malaysia juga telah memperkenalkan dasar yang mengharamkan warganya yang mencemarkan atau menghina kerajaan untuk keluar negara, menurut akhbar tempatan, sehingga menyebabkan kritikan dari pembela kebebasan sivil. Maria Chin Abdullah, pengerusi Bersih, adalah antara pengkritik yang diharamkan daripada keluar dari negara itu.

"Sesiapa yang mengetepikan kerajaan atau mencabuli kerajaan dalam apa cara akan dihalang daripada membuat perjalanan ke luar negara," sumber di jabatan imigresen memberitahu akhbar The Star pada Mei 2016.

Bekas Ketua Pengarah Imigresen Sakib Kusmi mengesahkan kewujudan dasar baru itu, dengan mengatakan bahawa memiliki pasport adalah "suatu keistimewaan dan bukannya suatu hak."

Mahkamah Rayuan Malaysia, tribunal kedua tertinggi negara, telah mengeluarkan perintah  awal bulan ini bahawa kerajaan berhak melarang mana-mana warganegaranya  daripada ke luar negara.


Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.