Malaysia Sedia Bantu Pendakwa Raya Switzerland


2015.09.16
150916-MY-AGSWISS620 Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber menghadiri sidang media di Bern, Switzerland. 17 Jun 2015
AFP

Pihak Pendakwa Raya Switzerland pada Selasa berkata, Malaysia telah bersetuju untuk membantu mengaturkan sesi temubual dengan saksi-saksi dalam siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Mohamed Apandi Ali, yang berada di Zurich untuk membincangkan mengenai 'kerjasama dua belah pihak' dalam kes 1MDB, menurut satu kenyataan dari pejabatnya.

Agensi berita Reuters melaporkan kenyataan itu menyebut bahawa pihak Swiss menganggap kerjasama dari Malaysia itu sangat penting kepada proses siasatan yang sedang berlangsung.

Lauber pada waktu ini, sedang menganjurkan satu mesyuarat Persatuan Pendakwa Raya Antarabangsa di Zurich.

Pihak Swiss tidak berkongsi identiti saksi-saksi yang dikehendaki untuk ditemubual, yang diatur oleh pihak berkuasa Malaysia.

Pejabat Lauber berkata, ia telah membekukan aset berjumlah "puluhan juta dolar Amerika" dalam beberapa akaun di bank-bank di Swiss, kerana mempunyai kaitan dengan siasatan itu.

Pada 2 Sept lepas, pihak berkuasa Switzerland telah membekukan aset yang berkaitan dengan 1MDB yang dilaporkan sedang disiasat berhubung dengan rasuah.

Pembekuan aset milik dana pelaburan yang dilanda hutang itu dipercayai ada kaitan dengan pengeluaran wang tunai berpuluh juta dolar Amerika dari akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Agensi berita itu dalam laporannya berkata, pihak berkuasa Switzerland telah membekukan dana dalam beberapa bank di Switzerland ketika siasatan sedang berlangsung terhadap seorang individu, yang ada hubungan dengan 1MDB, disyaki terbabit dengan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) telah membekukan aset berjumlah berpuluh juta dolar Amerika Syarikat dalam beberapa akaun bank di Switzerland," kata seorang jurucakap dari OAG semasa menjawab soalan menerusi e-mel dari agensi berita itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat berkenaan juga memaklumkan bahawa pada 14 Ogos lepas, ia telah memulakan prosiding jenayah terhadap dua pegawai 1MDB dan seorang lagi individu yang dikehendaki berhubung rasuah dan pengubahan wang haram.

Siasatan adalah berdasarkan kepada maklumat mengenai transaksi mencurigakan yang dikesan oleh agensi anti-pengubahan wang haram Switzerland.

1MDB nafi

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh 1MDB pada 2 Sept lepas, syarikat pelaburan itu telah menafikan dakwaan yang menyatakan akaun-akaun bank milik syarikat itu dibekukan berikutan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Switzerland.

"Pada pengetahuan syarikat (1MDB), tiada akaun bank milik syarikat telah dibekukan. 1MDB kini sedang cuba memahami dengan lebih baik siasatan yang sedang dijalankan di Switzerland supaya syarikat ini dapat memberi kerjasama sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Najib sebelum ini, telah menafikan sebarang salah laku sejak The Wall Street Journal, yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, melaporkan bahawa penyiasat yang menyiasat pengurusan 1MDB telah mendapati pemindahan beratus-ratus juta dolar yang sangat mencurigakan.

Situasi menjadi lebih hangat apabila, Perdana Menteri itu selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB telah memecat pegawai-pegawai yang menyiasat skandal berkenaan.

Manakala pegawai-pegawai yang rapat dengan Najib berkata, pemindahan wang itu adalah "sumbangan politik" yang sah daripada seorang penderma dari Timur Tengah; namun mereka tidak pula memberikan maklumat lanjut.

Najib kemudian secara mendadak memecat Timbalannya Muhyiddin Yassin yang lantang bersuara mengenai skandal berkenaan, manakala Abdul Gani Patail diturun pangkat secara tergesa-gesa sebagai Peguam Negara Malaysia.

Tindakan Najib telah menimbulkan tuduhan wujudnya "teori konspirasi" bagi memastikan Najib, yang disiasat berhubung skandal 1MDB, boleh terus mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Gani ketika itu merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan berjuta-juta dolar yang dipindahkan dari 1MDB ke dalam dua akaun bank peribadi Najib pada awal tahun 2013.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.