Tukang Cat Kereta Didakwa Kali Kedua Atas Kesalahan Keganasan

Fahirul N. Ramli
2016.06.10
160610-my-IS-court620 Tukang cat kereta, Muhammad Aizam Mat Zin, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya oleh anggota Polis DiRaja Malaysia, selepas didakwa atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan militan Negara Islam, 8 Jun 2016.
[Fahirul N. Ramli/BeritaBenar]

Tukang cat kereta yang didakwa dua hari lepas kerana memiliki pelbagai bahan keganasan kumpulan militan Negara Islam [IS] didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan menyalurkan wang kepada ahli kumpulan Abu Sayyaf pada hujung tahun lepas.

Muhammad Aizam Mat Zin, 39, dituduh mengendalikan harta pengganas dan menyalurkan wang sebanyak RM700 kepada Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, seorang rakyat Malaysia yang juga anggota kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Muhamad Aizam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan 4 / 27A, Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, jam pukul 11 ​​malam pada 26 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta tersebut.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Muhammad Joraimee, yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran tempatan, bersembunyi di selatan Filipina dan menyertai kumpulan militan Abu Sayyaf. Nama beliau bersama empat lagi individu berada dalam senarai dikehendaki Polis DiRaja Malaysia [PDRM] sejak April 2014.

Menurut laporan, Muhammad Joraimee adalah sebahagian daripada perancangan utama dalam membentuk militan IS secara "rasmi" di Asia Tenggara, dengan membawa semua anggota di Malaysia, Indonesia dan Filipina berada di bawa satu kawalan.

Dalam pertuduhan pertama pada Rabu, Muhammad Aizam didakwa kerana memiliki 65 keping kertas bersaiz A3 dan tiga pelekat berkaitan IS di rumahnya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada 22 Mac lepas.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh menerima hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Kementerian Dalam Negeri memetik sumber perisikan yang mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba untuk menyertai IS di Iraq atau Syria dengan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh semasa bertempur untuk IS di negara Timur Tengah itu.

Sejak tahun 2013, PDRM telah menahan 193 suspek yang mempunyai hubungan dengan IS dan 58 daripada mereka telah didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.