China Tunjuk Pengaruh Politiknya di Malaysia Dengan Keingkaran Duta

Staf BeritaBenar
2015.09.29
150929-MY-CHINA620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping ketika beliau tiba pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Tasik Yanqi, utara Beijing. 21 Nov 2014.
AFP

China sekali lagi menunjukkan pengaruh politiknya yang semakin meningkat di Asia Tenggara - kali ini dengan menonjolkan sikap hidung tingginya terhadap pegawai Wisma Putra di Malaysia yang ingin berhubung dengan duta Beijing di Kuala Lumpur mengenai dakwaan campur tangan dalam politik dalaman negara, menurut sumber-sumber diplomatik.

Menteri Luar Malaysia Anifah Aman telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya berhubung dengan Huang Huikang, Duta Besar China ke Malaysia, untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan beliau baru-baru ini tentang demonstrasi perkauman dan tindakan ganas oleh beberapa pihak di negara Asia Tenggara itu.

Tetapi Huang tidak mengendahkan arahan Kementerian Luar selepas mengadakan perbincangan peribadi dengan beberapa pegawai Malaysia, dalam usaha untuk menonjolkan peningkatan pengaruh ekonomi dan politik Beijing di rantau ini.

Huang membuat kenyataan mengejut minggu lepas ketika melawat sebuah daerah majoriti Cina di Kuala Lumpur di mana beliau menyatakan bahawa Beijing menentang sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum dan tidak akan bertolak ansur dengan tunjuk perasaan beunsur ganas di Malaysia, sebuah negara yang dibadai dengan demonstrasi perkauman baru-baru ini.

Beliau melakukan lawatan itu di tengah-tengah laporan bahawa penyokong etnik Melayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dilanda masalah, merancang untuk berarak melalui kawasan itu bagi melakukan bantahan terhadap para peniaga Cina di kawasan itu.

Bantahan yang dirancang terhadap peniaga-peniaga Cina Jalan Petaling itu bertujuan membalas satu perhimpunan raksasa yang menyeru Najib, pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), supaya meletakkan jawatan berhubung skandal rasuah.

Diplomasi asas

Walaupun sesetengah pihak percaya kenyataan Huang mungkin menyebabkan penganjur membatalkan protes itu, namun mereka mempersoalkan tindakan China untuk mengabaikan diplomasi asas.

Apabila pegawai-pegawai Kementerian Luar Malaysia menghubungi Kedutaan China di Kuala Lumpur untuk melawat Huang, pembantunya memberitahu mereka bahawa Huang amat sibuk, dan sebaliknya meminta mereka pergi ke misi diplomatik China itu untuk bertemu Huang dalam usaha untuk mengubah tradisi lama diplomasi antarabangsa, kata sumber-sumber itu.

Daripada mematuhi arahan itu, Huang sebaliknya melobi Ong Ka Ting, Utusan Khas Malaysia ke China, dan beberapa menteri Malaysia, yang memutuskan untuk ‘menyelamatkan’ Huang, kata sumber-sumber itu.

Akhbar-akhbar harian Malaysia melaporkan bahawa Huang telah menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri Zainuddin Hamzah di pusat pentadbiran Putrajaya selama lebih dua jam pada Isnin dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz di majlis makan malam sehari sebelum itu.

Akhbar harian berbahasa Cina tempatan Sin Chew menyiarkan gambar yang menunjukkan Nazri duduk bertentangan Huang di meja makan empat segi tepat itu, bersama-sama dengan lima orang yang tidak dikenali.

Nazri kemudian ‘mengakui beliau telah membuat kesilapan’ dan berkata, beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal Kementerian Luar, akhbar harian The Star melaporkan pada Selasa.

Setakat ini tidak jelas sama ada menteri-menteri itu telah berunding dengan Perdana Menteri Najib, yang kini berada di New York kerana menghadiri Perhimpunan Agung PBB, mengenai tindakan mereka untuk menarik balik keputusan Menteri Luar Anifah.

"Ini adalah satu tamparan hebat kepada Malaysia dan kedaulatan negara," kata sumber diplomatik. "Pengaruh China nampaknya telah mencapai kuasa tertinggi."

Marah

Menteri Luar Anifah, yang juga berada di New York dengan Najib,   marah dengan tindakan untuk membatalkan keputusannya itu.

"Saya kecewa bahawa beberapa menteri kabinet yang memutuskan untuk mengambil tindakan-tindakan tertentu dan membuat kenyataan akhbar tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak membatalkan arahan saya untuk memanggil Duta Besar China itu ke Wisma Putra bagi mendapatkan penjelasan beliau," katanya merujuk kepada Kementerian Luar Malaysia.

"Malangnya, campur tangan mereka telah menimbulkan persepsi negatif pada kaca mata orang ramai," kata Anifah.

"Sebagai sebuah negara berdaulat, kita harus menyampaikan pendirian kita dengan jelas kepada China," kata beliau sambil menegaskan bahawa keputusannya dibuat susulan perbincangannya dengan Najib.

Walaupun kenyataannya itu dibuat, adalah tidak jelas sama ada Kementerian Luar sememangnya akan memanggil Huang secara rasmi. Jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei berkata, lawatan Huang ke Jalan Petaling semasa Festival Pertengahan Musim Luruh Cina adalah aktiviti ‘normal’, sambil menegaskan bahawa Beijing ‘mematuhi prinsip-prinsip kehidupan yang aman’ dan ‘tidak campur tangan dalam politik dalaman negara-negara lain atau mengganggu hal ehwal dalam negara-negara lain.’

"China dan Malaysia adalah jiran yang mesra, kami berharap Malaysia boleh mengekalkan perpaduan dan kestabilan serta keharmonian kaum negaranya," kata beliau di satu taklimat harian untuk media  di Beijing, menurut agensi-agensi berita.

Hubungan Malaysia-China telah meningkat dengan pesat sejak beberapa tahun ini dengan perdagangan dua hala berkembang kepada AS$101.98 bilion pada tahun lepas, menurut agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan pelaburan turut meningkat.

Tetapi hubungan perdagangan dua hala yang erat tidak harus menghalang Kuala Lumpur daripada berdepan dengan China, kata beberapa pemimpin Malaysia.

"Kita tidak perlu menjadi [sangat] takut untuk meluahkan perasaan kita kerana bimbang ia menjejaskan hubungan ekonomi dan kepentingan lain sehinggakan kita tidak boleh menegur mereka apabila mereka melanggar norma-norma diplomasi," Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO, dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata Huang tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal ehwal ‘dalaman’ Malaysia.

China dilihat telah meningkatkan pencerobohannya dalam perairan Malaysia di Laut China Selatan yang menjadi sumber pertikaian di antara beberapa pihak. Langkah Beijing yang semakin tegas untuk menuntut kedaulatannya di Laut China Selatan telah menimbulkan kebimbangan di kalangan negara-negara jiran lain dan Amerika Syarikat juga.

Pada masa lalu, China telah dituduh menggunakan pengaruh kewangan yang besar ke atas Kemboja, sekutu serantau utama, untuk mengelak apa-apa pernyataan yang diguna pakai oleh Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Laut China Selatan yang mungkin menjejaskan Beijing.

"Kami berharap Malaysia tidak tunduk kepada tekanan yang sama," kata seorang diplomat yang mengikuti pergeseran diplomatik terkini itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.