Anggota Kanan IS Malaysia Disahkan Terbunuh di Syria

N. Natha
2017.07.20
Kuala Lumpur
170116-MY-is-deaths-620.jpg Asap berkepul-kepul susulan laporan serangan udara kerajaan Syria di kawasan yang dikuasai pemberontak di Daraa, selatan Syria, 7 Disember 2016.
AFP

Seorang anggota militan Negara Islam (IS) dari Malaysia yang pernah dikatakan akan mengambil alih tampuk kepimpinan IS Malaysia dilaporkan maut di Syria dalam serangan udara pada bulan lalu, demikian menurut seorang pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] kepada BeritaBenar pada Khamis.

Muhammad Fudhail Omar, 27, seorang bekas pekerja NGO maut dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Syria di Raqqa, Ketua Anti-keganasan PDRM, Ayob Khan Mydin Pitchay,  mengesahkan kepada BeritaBenar.

“Ya, memang sah. Itu maklumat terkini yang kita dapati,” kata Ayob Khan ketika dihubungi pada Khamis.

Namun, beliau tidak memberi butiran lanjut tentang kematian tersebut serta bagaimana polis Malaysia menerima maklumat kematian Fudhail.

Fudhail, yang pernah aktif di laman Twitter dengan nama @fudhailO, terakhir kelihatan di Twitter pada Ogos tahun lalu.

Nama Fudhail beberapa kali dilihat dalam kertas tuduhan di Malaysia kerana memberi arahan kepada anggota IS supaya menjalankan aktiviti keganasan di negara itu.

Fudhail yang juga dikenali sebagai Abu Qutaibah di kalangan rakan seperjuangannya, tiba di Syria pada 2 Mei, tiga tahun lalu.

Ayob Khan sebelum ini pernah memberitahu BeritaBenar, Fudhail adalah antara empat warga Malaysia yang dilihat sebagai pengganti Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, pejuang IS rakyat Malaysia serta perekrut prolifik IS yang paling dikehendaki, yang terbunuh pada 29 April lalu dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Raqqa.

“Impak kematian Wanddy tidak terlalu besar kerana bukan sahaja Wanndy yang cuba merekrut ahli baru. Akel, Abu Zahar, Rafi Udin dan Fudhail juga merekrut secara terbuka dan agresif seperti Wanndy,” kata Ayob kepada BeritaBenar selepas kematian Wanndy yang telah disahkan oleh polis Malaysia.

Akel 38, yang tiba di Syria pada Januari 2014 merupakan bekas pemain dram sebuah kumpulan muzik popular di Malaysia. Beliau berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia yang beliau sendiri rekrut beberapa tahun lepas.

Zahar Abdullah yang juga dikenali sebagai Abu Zahar, 36, pula tiba di Syria pada 25 Oktober 2014 dan merupakan bekas tentera darat Malaysia yang berasal dari Setiu, Terengganu dan pernah bertugas di sebuah kem di Tawau, Sabah.

Beliau tertarik pada IS berikutan episod hitam dimana rakan tenteranya ditembak mati ketika Operasi Daulat di Lahad Datu menentang pejuang Sulu.

Manakala Mohd Rafi Udin, 51, atau juga dikenali sebagai Abu Ain yang tiba di Syria pada Februari 2014 dilihat sebagai calon utama untuk menjadi  ketua IS di Asia.

Bekas pemandu teksi itu pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri akibat penglibatan beliau dalam kumpulan militan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

Beliau pernah terlibat dalam rompakan bank pada tahun 2001 untuk mengumpul dana bagi kumpulannya dan kemudian melarikan diri ke Indonesia untuk bersembunyi.

Di Indonesia, beliau menyertai kumpulan militan Jemaah Islamiyah dan terlibat dalam pertempuran di Sulawesi dan Ambon.

Beliau ditahan di Palu, Sulawesi dan dipenjarakan selama setahun di sana sekitar 2003.

Sekembalinya beliau ke Malaysia, Rafi Udin ditahan di bawah ISA dan selepas dibebaskan beliau bekerja sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Syria.

Beliau mendapat pendedahan awal sebagai militan pada tahun 1998 di Afghanistan dan menjadi pengganas dari Malaysia yang pertama memenggal kepala tahanan IS.

Beliau juga dengan berani memberikan lampu hijau kepada anggota IS di Asia untuk melancarkan serangan di negara masing-masing. Di Malaysia, beliau mensasarkan Bukit Aman sebagai salah satu sasaran utama serangan.

Berbahasa Arab

Fudhail yang pada mulanya menyertai kumpulan militan Ajnad al-Sham di Syria telah  menyertai IS selepas rakannya Lotfi Ariffin meninggal dunia pada September 2014.

Lotfi, yang merupakan bekas guru agama, serta bekas Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kedah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas bertempur dengan tentera kerajaan Syria.

"Selepas Lotfi maut, dia (Fudhail) dilantik sebagai ketua di kalangan warga Malaysia dalam kumpulan tersebut kerana boleh bertutur dalam bahasa Arab.

"Fudhail, dengan beberapa lagi warga Malaysia dalam kumpulan itu, kemudian menyertai ISIS pada lewat tahun 2014, di mana dia diberikan tugasan untuk mengajar anak-anak anggota ISIS mengaji dan menjaga pondok-pondok kumpulan itu," dedah beberapa sumber kepada akhbar The New Straits Times.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia memberkas 310 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dan daripada jumlah itu, seramai 66 anggota telah dibebaskan, demikian menurut data yang diperolehi BeritaBenar.

Selain itu, sejumlah 32 anggota militan rakyat Malaysia telah terbunuh ketika berjuang bagi pihak IS di Syria dan Iraq manakala 55 lagi dipercayai masih bertempur di negara terbabit, menurut data tersebut.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.