Malaysia, Indonesia, Filipina Lancarkan Pemantauan Udara Bersama

Hata Wahari & Ray Sherman
2017.10.12
Subang, Selangor
171012patrols-620.jpg Menteri-menteri pertahanan dan ketua-ketua tentera dari Malaysia, Indonesia dan Filipina melancarkan inisiatif Trilateral Air Patrol di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, 12 Okt, 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Malaysia, Indonesia dan Filipina pada Khamis melancarkan rondaan pemantauan udara tiga pihak bagi memperkukuhkan lagi usaha maritim bersama tiga bulan yang bertujuan menghapuskan ancaman sempadan mereka dari ekstremis Negara Islam (IS).

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein menjadi tuan rumah bagi pelancaran inisiatif itu, Trilateral Air Patrol (TAP), di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, di mana beliau turut diiringi rakan-rakan sejawatannya iaitu Jen. Bersara Ryamizard Ryacudu dari Indonesia dan Delfin Lorenzana dari Filipina.

Menteri-menteri pertahanan itu juga bersatu dalam memberitahu bahawa rondaan udara tersebut penting untuk memerangi IS di selatan Filipina, terutamanya di sekitar Laut Sulu.

"Tiada negara yang selamat daripada cengkaman Negara Islam. Tetapi hari ini, kami telah menghantar isyarat bahawa jika anda menyentuh kami, kami akan bersama-sama berdepan dengan anda,” kata Hishammuddin kepada pemberita selepas pelancaran itu.

Pada Jun lalu, Indonesia menjadi tuan rumah kepada para pemimpin pertahanan Malaysia dan Filipina semasa melancarkan inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP).

Hishammuddin berkata, rondaan udara bersama itu merupakan langkah yang penting dan positif, selaina komitmen untuk melaksanakannya haruslah dipuji.

"Dengan rantau ini semakin banyak menerima ancaman Negara Islam, kita perlu mengutamakan usaha ini bukan sahaja di Laut Sulu tetapi dalam konteks mendepani cabaran itu di Asia Tenggara dengan lebih menyeluruh," kata Hishammuddin dalam ucapannya.

Timbalan Menteri Pertahanan Brunei Abdul Aziz Moh Tamit dan Menteri Kanan Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Negeri Singapura Maliki Osman turut menghadiri majlis pelancaran itu sebagai pemerhati pada Khamis.

Sokongan terhadap usaha tentera di Marawi

Ryacudu dan Lorenzana pula memberitahu tentang komitmen kerajaan mereka untuk menghapuskan IS menerusi rondaan udara dan rondaan laut bersama.

"Kerajaan Indonesia tegas bahawa IS tidak boleh berkembang ke negara-negara Asia Tenggara dan militan di selatan Filipina perlui dihapuskan," kata Ryacudu kepada wartawan, sambil memberitahu bahawa para pemimpin tentera dari Amerika Syarikat, China dan Australia telah menghubungi pihaknya kerana berminat menyertai rondaan udara itu.

"Tetapi saya memberitahu mereka saya perlu berunding dengan negara-negara ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara)," katanya.

Hishammuddin berkata, menteri-menteri pertahanan ASEAN akan diberi taklimat pada mesyuarat yang dijadualkan di Filipina pada 23 Okt ini.

Lorenzana pula berkata, peronda udara akan menyokong tentera Filipina dalam pertempuran menentang IS. Pasukan tentera negara itu telah bertermpur dengan militan yang disokong IS di bandar selatan Marawi sejak 23 Mei lalu.

"Kami percaya rondaan udara tiga pihak akan memainkan peranan penting dalam usaha memerangi IS dan dengan adanya ‘mata’ di langit, ia akan dapat membantu tentera di darat dan angkatan di laut untuk bertindak dengan pantas sekiranya terdapat sebarang ancaman daripada militan, " katanya kepada pemberita.

Lorenzana turut memuji rondaan laut bersama yang dilancarkan pada Jun lalu.

"Keberkesanan rondaan maritim telah menghentikan cubaan militan IS asing untuk memasuki selatan Filipina, terutamanya dalam pertempuran yang masih berlaku di Marawi. Para militan tidak dapat memasuki kawasan pertempuran bagi membekalkan senjata, dan ini telah membantu tentera Filipina untuk mendapatkan semula Marawi kecuali bagi beberapa kawasan di mana pertempuran masih berlaku," katanya.

Laksanakan penggiliran

Ketiga-tiga negara akan menerima pakai langkah penggiliran bulanan dalam melaksanakan rondaan udara bersama itu.

Malaysia akan menjadi negara pertama yang mengetuai operasi pada November ini diikuti oleh Filipina pada Disember dan seterusnya Indonesia pada Januari 2018, kata Hishammuddin kepada wartawan.

Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu BeritaBenar bahawa dua pesawat pengangkut tentera, CN 235 dan C130 H, akan digunakan dalam rondaan itu.

Pada masa sama, negara-negara tersebut akan mengekalkan rondaan udara di sempadan masing-masing.

Hishammuddin berkata, inisiatif tiga pihak itu adalah serupa dengan Rondaan Selat Melaka yang dilaksanakan bersama oleh Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia di Selat Melaka yang menyaksikan penurunan ketara dalam kes lanun.

“Apa yang kita lakukan di Laut Sulu adalah perkara yang sama penting. Walaupun jumlah perdagangan global yang melalui Laut Sulu adalah lebih rendah berbanding  jumlah yang melalui Selat Melaka, namun ia tidak kurang pentingnya, "kata Hishamuddin.

"Dianggarkan kira-kira US$40 bilion (RM169 bilion) nilai barangan melalui perairan ini setiap tahun. Ini, digabungkan dengan pergerakan rentas sempadan masyarakat setempat dan sempadan maritim yang panjang, menyebabkan sukarnya untuk mengekalkan hubungan penghantaran dengan kapal secara terbuka dan selamat," katanya semasa berucap.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.