Singapura Tahan Dua Rakyat Terlibat IS

Staf BeritaBenar
2015.09.30
150930-MY-IS-SIN620 Polis Singapura menyaring kenderaan yang memasuki hotel Shangri-La di mana Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-14, Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) Shangri-La Dialog 2015 sedang berlansung di Singapura. 29 Mei 2015.
Photo: Benar

Singapura telah menahan dua rakyatnya yang telah mengambil jalan radikal, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos lepas setelah didapati terlibat dalam kegiatan berkaitan keganasan.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) republik itu yang mengumumkan perkara berkenaan dalam laman webnya pada Rabu menyatakan siasatan terhadap Muhammad Shamin Mohamed Sidek (Shamin) dan Muhammad Harith Jailani (Harith), yang ditahan secara berasingan, mendapati mereka menyimpan hasrat untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria

Siasatan juga mendapati Shamin, 29 dan Harith, 18, berhasrat ke Syria untuk menyertai IS dan melibatkan diri dalam keganasan di sana.

Menurut MHA, Shamin telah terpengaruh dengan puak pelampau dan propaganda radikal terdapat dalam talian IS.

Pada Mei 2015, dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tiga bulan kerana mengapi-apikan keganasan agama melalui catatannya yang pro-IS dalam media sosial.

"Oleh kerana dia terus menyatakan sokongan kuat kepada IS semasa dipenjarakan, dia ditangkap di bawah ISA pada Julai lepas untuk siasatan bagi menilai sama ada dia membawa ancaman kepada keselamatan Singapura," kata MHA.

Siasatan selanjutnya menunjukkan dia merancang ke Syria untuk menyertai IS sebaik sahaja mengumpul wang yang mencukupi bagi membiayai perjalanannya ke negara itu .

"Shamin juga memutuskan jika tidak dapat menyertai IS, dia akan menimbang untuk berjuang bersama-sama kumpulan militan serantau yang dianggap memihak kepada IS.

"Lelaki itu juga menyifatkan penahanannya di bawah ISA bukannya satu halangan dan mahu meneruskan rancangannya menyertai IS selepas dibebaskan daripada tahanan," kata MHA.  

Malah, Shamin berkata dia sanggup mati dalam usahanya mempertahankan 'khalifah' yang diisytiharkan oleh IS.

Siasatan MHA terhadap Harith pula, mendapati pemuda itu terpengaruh dengan propaganda radikal dalam talian yang dimuatkan oleh IS sehingga dia menyimpan hasrat untuk melancarkan jihad bersenjata demi kumpulan pengganas itu.

"Dia sanggup dilatih oleh IS untuk berjuang dan membunuh musuh-musuh kumpulan itu dan sanggup mati dalam perjuangan supaya dia mendapat ganjaran syahid," kata MHA.

Dalam usahanya menyertai IS di Syria, Harith telah mengumpul maklumat tentang bagaimana dia boleh melakukan perjalanan ke negara itu selain cuba mempengaruhi individu lain yang mendampinginya supaya turut menyokong perjuangan IS.

MHA berkata, penahanan kedua-dua lelaki itu menunjukkan IS membawa ancaman berterusan selain daripada ancaman yang dicetuskan oleh rakyat yang mengikut jalan radikal.

Tindakan tegas

“Beberapa rakyat Singapura yang telah ditahan juga sanggup melancarkan serangan pengganas di republik ini," kata MHA.

MHA juga memberi amaran kepada rakyat Singapura bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati melibatkan diri dalam kegiatan keganasan.

"Kerajaan memandang berat terhadap sebarang bentuk sokongan terhadap keganasan, termasuk tetapi tidak terhad kepada penggunaan kekerasan, dan akan mengambil tindakan tegas dan muktamad terhadap mana-mana pihak yang melibatkan diri dalam aktiviti itu.

"Sesiapa yang sedar bahawa seseorang itu terlibat dalam aktiviti-aktiviti berkaitan keganasan, atau yang melihat aktiviti yang mencurigakan, perlu segera memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri atau pihak Polis.

"Panggilan yang tepat pada masanya boleh membantu menyelamatkan nyawa," kata MHA.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, Asia Tenggara kini menjadi medan untuk kumpulan IS memikat anggota baru, dengan lebih 500 rakyat Indonesia dan berpuluh-puluh warga Malaysia telah menyertai perjuangan militan itu.

Beliau memberitahu para pemimpin dan menteri pertahanan dari 26 buah negara di Dialog Shangri-La 2015 anjuran Institut Antarabangsa bagi Pengajian Keselamatan (IISS) di republik itu, bahawa dunia kini berdepan dengan keganasan yang didorong oleh ideologi ganas yang memutar-belitkan ajaran Islam yang sebenar.

"Ancaman IS bukan lagi di sana, tetapi di sini. Idea mengenai IS mahu mewujudkan sebuah khalifah di Asia Tenggara mungkin dianggap sebagai satu igauan semata-mata.

"Bagaimanapun, ia mungkin tidak lagi mustahil kerana IS boleh menubuhkan pangkalan mereka di mana-mana saja di rantau ini, dengan mewujudkan sebuah kawasan di bawah naungannya seperti di Syria dan Iraq, kawasan yang tidak tertakluk di bawah mana-mana kuasa pemerintah. Ini boleh menimbulkan ancaman yang serius terhadap keseluruhan kawasan Asia Tenggara," tegas beliau.

Pada Jun lepas, Kumpulan Rehabilitasi Keagamaan (RRG) Singapura telah menerbitkan sebuah buku panduan dalam usahanya membantu mengekang radikalisme atau fanatisme keagamaan di kalangan rakyat republik itu.

RRG berharap buku itu dapat membantu mengubah mereka yang pernah terbabit dalam aktiviti radikalisme atau ideologi radikal dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.