Myanmar Tahan Empat Warga Malaysia Cuba Masuk Tanpa Dokumen Sah

Fadzil Aziz
2017.07.18
Kuala Lumpur
170718-my-myanmar.jpeg Gambar empat warga Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar yang disiarkan oleh stesen televisyen Eleven Broadcasting negara itu baru-baru ini.
BeritaBenar

Empat ahli perniagaan Malaysia ditahan pihak berkuasa Myanmar sejak lewat Mei lalu, selepas dikatakan cuba menyusup masuk ke negara itu secara haram melalui Thailand, demikian menurut laporan sebuah stesen televisyen tempatan negara itu dan juga anggota keluarga.

Tangkapan keempat-empat mereka bersama beberapa lagi rakan perniagaan dari Thailand dibuat pihak berkuasa negara berkenaan di Myawaddy, iaitu sebuah pekan kecil di Tenggara Myanmar yang terletak bersempadan dengan Thailand.

Stesen televisyen Eleven Broadcasting Myanmar melaporkan bahawa sembilan warga asing, termasuk empat lelaki Malaysia ditahan oleh polis Myawaddy.

“Wanita Thailand yang menjemput rakyat Malaysia ke Bangkok membawa mereka ke Maesod dan menyeberangi Sungai Thaungyin (Moei) secara haram ke Myanmar dan semasa rondaan bersama tentera, polis dan Imigresen negara itu telah menahan mereka di sebuah kelab golf berhampiran No. 5 Highway pada petang 25 Mei,” demikian laporan berita stesen televisyen itu dipetik sebagai berkata sambil menambah antara anggota kumpulan itu yang ditahan ialah tiga  lelaki dan dua wanita warga Thailand.

Anggota keluarga seorang daripada rakyat Malaysia yang bercakap kepada BeritaBenar tanpa mahu dikenali berkata, kesemua rakyat Malaysia itu berasal dari Perak, dan berusia lewat antara 20-an hingga 60-an telah memasuki Thailand menerusi Bangkok secara sah atas urusan perniagaan.

Beliau berkata, dari Bangkok keempat-empat mereka kemudiannya dipelawa oleh rakan niaga warga Thailand untuk ke Myanmar bagi meninjau peluang dan mendapatkan bekalan lembu untuk diternak.

Namun selepas menyeberangi Sungai Mae Sot dekat sempadan Myanmar-Thailand, mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa sempadan negara itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua warga Malaysia dan lima rakan mereka dari Thailand itu tidak memiliki visa atau dokumen perjalanan yang sah.

“Pada 25 Mei lalu, waris telah menerima panggilan telefon dari rakyat Malaysia yang ditahan itu memaklumkan mengenai penahanan mereka oleh pihak berkuasa Myanmar di Myawaddy… Kami sepakat melantik seorang peguam tempatan bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Namun selepas lebih sebulan tiada perkembangan positif, pihak keluarga memutuskan untuk meminta bantuan daripada Pejabat Kedutaan Malaysia di Yangon,” tambah anggota keluarga berkenaan kepada BeritaBenar.

Berikutan itu, kesemua mereka dihantar ke pusat tahanan sementara di Myanwaddy untuk siasatan lanjut.

Kata anggota keluarga itu lagi, sejak dari itu, usaha untuk membebaskan mereka oleh waris, rakan niaga di Thailand dan Myanmar telah beberapa kali dijalankan, termasuk mendapatkan perkhidmatan peguam tempatan negara berkenaan namun gagal.

Selepas mencuba beberapa siri rundingan untuk mencapai kata sepakat gagal, anggota keluarga keempat mereka nekad memohon bantuan daripada Pejabat Kedutaan Malaysia di Yangon.

“Sehingga kini proses rundingan untuk membebaskan mereka masih dijalankan,” jelas anggota keluarga yang enggan identitinya didedahkan itu.

Dalam pada itu, usaha BeritaBenar yang cuba menghubungi Wisma Putra dan wakil Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur untuk pengesahan lanjut mengenai perkara berkenaan, bagaimanapun, tidak berhasil.

BeritaBenar difahamkan, usaha giat terus dibuat oleh anggota keluarga melalui pelbagai saluran untuk membolehkan kesemua ahli perniagaan terbabit dibebaskan dengan segera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.