Dua Didakwa Di Mahkamah Biayai Pengganas IS

Fahirul N. Ramli
2016.06.15
Kuala Lumpur
160615-my-ISwanndy-620 Tertuduh Mohamad Jazrin Mohamad Azha, 22, yang didakwa di Mahkamah Majistret Kampar dibawa ke mahkamah oleh anggota khas polis kerana kesalahan mengendalikan harta pengganas pada Januari hingga Februari lalu, 15 Jun 2016.
[Fahirul N. Ramli/BeritaBenar]

Dua lelaki telah didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di Malaysia atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas dengan membenarkan akaun bank peribadi mereka digunakan untuk membiayai seorang pengganas kumpulan militan Negara Islam (IS) dari Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang berada di Syria.

Di Melaka, Mohamed Danny Mohamed Jedi, 29, didakwa di Mahkamah Majistret kerana mengendalikan harta milik adiknya, Muhammad Wanndy dengan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun Maybanknya di Ayer Keroh, antara 28 Januari hingga 5 Mac lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik yang kemudiannya menetapkan 18 Julai depan untuk tarikh pindah kes ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Malaysia berkata, Muhammad Wanndy, seorang rakyat Malaysia yang sedang berada di Syria bersama isteri dan anaknya, mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar.

Muhammad Wanndy, 26 atau lebih dikenali sebagai Abu Hamza di laman sosial Facebook, juga dipercayai bergerak aktif merekrut rakyat Malaysia melalui media sosial untuk menyertai IS di Timur Tengah.

Pada  Februari tahun lepas, Muhammad Wanndy dan seorang rakannya, Mohd Faris Anuar   menjadi tajuk utama di tanah air apabila mereka dilaporkan mengambil bahagian dalam rakaman video tentang pemenggalan kepala seorang banduan Syria, yang telah disiarkan dalam talian.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kampar, di Perak, seorang jurulatih kayak, Mohamad Jazrin Mohamad Azaha, 22, didakwa atas tuduhan yang sama bersabit kesalahan yang dilakukan antara Januari hingga Februari tahun ini, menerusi akaun RHB Bank miliknya di Jalan Tasik, Gopeng berhampiran bandaraya Ipoh.

Majistret Mohd Azizul Hasyimi Mohammad telah menetapkan 27 Julai sebagai tarikh sebutan kes manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid, dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Namun tidak disebut jumlah wang yang terlibat dalam kedua-dua kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh Danny dan Mohamad Jazrin didakwa mengikut 130Q(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta berkenaan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret Sepang, seorang mekanik, Azmi Mohd Asari, 28 telah didakwa cuba ke Syria untuk melakukan kegiatan keganasan.  

Beliau didakwa cuba memasuki Syria melalui Gaziantep, Turkey dengan menaiki pesawat Turkish Airlines ke Turki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tengah malam Julai 20 tahun lepas.

Azmi didakwa dibawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib menetapkan Julai 28 untuk sebutan semula kes. Tiada pengakuan direkodkan.

Kesalahan-kesalahan tersebut tertakluk mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak menawarkan jaminan.

Tahan ahli keluarga Wanndy

Polis Malaysia pada Mei telah mengumumkan penahanan seorang lelaki yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Muhammad Wanndy kerana memindahkan wang kepada IS dari akaun bank miliknya di Malaysia.

Lelaki tersebut yang namanya tidak didedahkan antara 14 suspek yang ditahan diantara 17 hingga 20 Mei di enam negeri - Johor, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur kerana menyokong IS.

Pada Mac, seramai 15 suspek penyokong IS Malaysia ditahan di kediaman mereka dan dipercayai telah menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk mengumpul wang bagi perjuangan IS di Timur Tengah, kata polis pada ketika itu.

Kementerian Dalam Negeri,memetik sumber perisikan, mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba menyertai IS di Iraq atau Syria. Sekurang-kurangnya 19 rakyat Malaysia terbunuh semasa berlawan untuk IS di Timur Tengah, menurut Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay.


Sejak tahun 2013, Polis Malaysia telah menahan 193 suspek keganasan IS dengan 61 daripada mereka didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.