Pelarian Rohingya Jalani Hidup Baru Di Amerika Syarikat

Razlan Rashid
2016.05.27
Kuala Lumpur
160527-my-us-rohyingya620 Seorang wanita warga Rohingya terlelap di bawah jejambat berhampiran pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, sementara menunggu kad status pelarian, Ogos 11, 2015.
AFP

Sekumpulan 36 pelarian Rohingya yang ditahan selama setahun di Pusat Tahanan Imigresen Belantik, Kedah bakal menjalani kehidupan baru di Amerika Syarikat (AS) apabila mereka berjaya melepasi saringan program penempatan semula Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Pegawai Perhubungan Awam UNHCR Malaysia, Yante Ismail, ketika dihubungi BeritaBenar mengesahkan kumpulan pelarian Rohingya itu telah berlepas ke Amerika Syarikat pada awal pagi Khamis.

“Mereka bertolak lebih kurang jam 2 pagi tetapi saya tidak boleh memberitahu di kawasan mana mereka ditempatkan di Amerika Syarikat,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Di Washington, pejabat akhbar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS tidak memberi maklumbalas terhadap permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ketibaan kumpulan 36 pelarian Rohingya itu.

Menurut wakil UNHCR Malaysia Richard Towle dalam satu kenyataan media, pertubuhan itu mengalu-alukan usaha Kerajaan Malaysia melepaskan 36 pelarian Rohingya tersebut dari pusat tahanan berkenaan untuk dibawa ke AS.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Amerika Syarikat yang bermurah hati dalam menyediakan ruang penempatan semula bagi kumpulan yang amat tenat ini, dimana bagi mereka  yang diselamatkan, tiada penyelesaian jangka panjang yang boleh dilihat sebagai pilihan,” katanya dalam kenyataan itu.

Richard juga memberitahu, kumpulan 36 pelarian itu tiba di Malaysia pada Mei tahun lepas ketika krisis Teluk Bengal menggegarkan Asia Tenggara dengan ketibaan kumpulan lain di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Seramai 371 orang Rohingya dari Myanmar telah dikenal pasti mendarat di Malaysia dan ia mencetuskan kebimbangan bagi UNHCR. Mereka telah ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen Belantik selama setahun sementara UNHCR berusaha membebaskan mereka,” katanya.

Pada 11 Mei tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 1,018 orang mangsa pemerdagangan manusia terdiri daripada warga Islam Myanmar dan Bangladesh yang cuba mendarat dengan bot di Pulau Langkawi, di pantai barat laut negara itu.

Peningkatan bilangan kemasukan mangsa pemerdagangan manusia melalui jalan air berlaku, apabila kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia, beberapa hari selepas penemuan mengerikan di mana puluhan kubur dijumpai di selatan Thailand.

Kesemua mangsa pemerdagangan manusia yang terdiri daripada warga Islam Rohingya dan Bangladesh, ditahan di Pulau Langkawi itu, kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

‘Kerisauan UNHCR’

Sementara itu, Richard turut melahirkan kegusaran badan berkenaan terhadap baki 334 lagi pelarian Rohingya yang masih ditempatkan di Kem Belantik, yang telah melalui “pengalaman trauma dibawah kuasa penyeludup dan pedagang manusia, dan (mangsa) masih memerlukan penjagaan khusus.”

Pertubuhan itu mencadangkan agar Kerajaan Malaysia melepaskan baki tahanan itu kepada UNHCR supaya ia boleh menilai keperluan untuk perlindungan pelarian tersebut sambil mencari sokongan di kalangan komuniti pelarian di Malaysia bagi mereka, kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan itu juga menganggarkan seramai 1,600 pelarian dan pendatang telah meninggalkan Teluk Bengal melalui jalan laut pada separuh kedua tahun 2015, kurang 96 peratus daripada separuh kedua tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan pada tahun 2015, kira-kira 33,600 pelarian dan pendatang bergerak melalui Asia Tenggara dalam pergerakan maritim bercampur.

“Pergerakan maritim bercampur ini bermula dari Teluk Bengal yang telah menyebabkan kematian yang ramai, tiga kali ganda dari Laut Mediterranean. Dianggarkan seramai 370 pelarian dan pendatang yang bertolak dari teluk itu telah mati sebelum tiba di pesisir pantai. Kebanyakan dari mereka kerana lapar, dehidrasi, berpenyakit dan juga didera penyeludup,” kata Richard.

Ia juga menyebut setakat 2016, tiada sebarang pergerakan maritim berlaku dan kerajaan-kerajaan serantau perlu mengambil kesempatan tersebut untuk mewujudkan satu penyelarasan sistem yang lebih baik untuk krisis pada masa akan datang.

UNHCR juga berharap kerajaan serantau akan mengotakan janji-janji mereka yang telah bersetuju mengambil satu pendekatan menyeluruh serantau untuk menguruskan aliran migran bercampur.

Antara usaha serantau adalah mengukuhkan kerjasama dalam misi mencari dan menyelamat di lautan, pendaratan yang boleh diramal, tempat perlindungan sementara serta proses undang-undang pelarian dan pendatang.

Bibi dan Aishah jalani kehidupan baru


Kenyataan yang dikeluarkan oleh UNHCR itu juga menyentuh dua sahabat baik yang dikenali dengan nama Bibi dan Aishah, keduanya berusia 19 tahun, tanpa mempunyai sebarang ahli keluarga, dan mereka akan memulakan kehidupan baru bersama-sama di AS.

“Kedua-dua remaja itu bertemu ketika ke Malaysia dalam bot penyeludup, di mana mereka telah memberi semangat sesama sendiri dalam perjalanan yang amat menakutkan itu,” menurut kenyataan itu.

“Kami berada bersama-sama dalam bot dalam perjalanan ke Malaysia. Kami juga menghabiskan masa bersama-sama ketika dalam tahanan di kem… Dan saya sangat gembira kerana kami berpeluang ke Amerika Syarikat yang akhirnya boleh menjalani kehidupan yang bebas,” kata Bibi dalam kenyataan itu.

Sementara itu, seorang warga Rohingya, Syahid Alam, 37, yang mengambil keputusan untuk mengikuti program penempatan semula UNHCR  dan kini sudah lapan bulan menetap di Milwaukee, Wisconsin, berkata kehidupan beliau kini lebih teratur, dengan perkerjaan serta tidak perlu merasa takut ditahan pihak berkuasa.

“Walaupun saya sangat merindui kehidupan saya di Malaysia tetapi di sini saya tidak perlu merasa takut ditangkap; kebajikan dan kesihatan dijaga, saya juga dihantar ke kelas mendalami Bahasa Inggeris, dan berpeluang untuk bekerja…. Kini sudah dua minggu saya bekerja di sebuah rumah penyembelihan daging halal,” katanya yang fasih berbahasa Malaysia dan pernah tinggal di Kedah dan Pulau Pinang, semasa dihubungi dari Washington pada Jumaat.

Syahid berkata, beliau terpaksa melalui pelbagai peringkat termasuk temuduga dan menunggu sehingga setahun untuk memperolehi kelulusan program penempatan semula UNHCR ke Amerika Syarikat itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.