Selatan Thailand: Tuntutan Kemerdekaan Perlu “Disemak Semula”

Razlan Rashid
2016.11.28
Kota Bharu, Kelantan
161128-my-abuhafez-620.jpg Jurucakap MARA Patani Abu Hafiz Al-Hakim dalam satu temu bual dengan BeritaBenar di Kota Bharu, Malaysia, 8 Nov., 2016.
[Razlan Rashid/BeritaBenar]

Persoalan mengenai kemerdekaaan Selatan Thailand biarlah dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh generasi akan datang, kata jurucakap bagi satu panel yang mewakili kumpulan pejuang dalam pusingan rundingan awal dengan kerajaan tentera Thailand.

“Matlamat organisasi [kami] semua adalah untuk mencapai kemerdekaan. Itulah yang kami perjuangkan selama ini. Tetapi, pada satu tahap, kami perlu menyemaknya semula,” kata Abu Hafiz Al-Hakim kepada BeritaBenar dalam satu temubual ekslusif, baru-baru ini.

“Kita perlu menyemak semula tentang perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Mungkin pemerintahan sendiri, pentadbiran sendiri, keazaman sendiri adalah lebih realistik. Tetapi namanya tidak penting. Yang lebih penting adalah kandungannya, bahawa Melayu Patani mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan yang normal.”

Pakar perubatan berusia 60 tahun itu, yang berasal dari wilayah Patani, ditemui BeritaBenar di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, negeri di pantai timur Malaysia.

Abu Hafiz, jurucakap MARA Patani, merupakan ahli kanan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dan wakil dalam MARA Patani, panel perunding yang ditubuhkan pada Mei 2015.

Kumpulan lain dalam panel itu ialah pasukan pemberontak terbesar Barisan Revolusi Nasional (BRN); dua puak dari Pertubuhan Pembebasan Patani (PULO); dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP).

Enam ahli BRN dan lapan wakil kumpulan lain yang membentuk jawatankuasa pemandu MARA, kata Abu Hafiz. “Jawatan penting diberikan kepada BRN kerana mereka lebih dominan,” katanya.

Selatan Thailand, yang sebelum ini dikenali sebagai kerajaan Melayu Patani Darussalam, merangkumi wilayah-wilayah Patani, Yala dan Narathiwat, dan empat daerah di Songkhla.

Insiden keganasan berlaku hampir setiap hari di wilayah itu dengan lebih daripada 15,000 serangan senjata atau bom direkodkan selain lebih 6,700 orang telah terbunuh sejak Januari 2004, menurut badan pemikir tempatan, Deep South Watch.

Abu Hafiz berkata, beliau telah terlibat dengan usaha damai untuk jangka masa yang lama – sebelum rundingan singkat di antara BRN dan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Yingluck Shinawatra pada 2013.

Rundingan tinjauan awal dengan kerajaan tentera Thailand yang bermula pada Mei 2014 masih belum menghasilkan sebarang hasil kukuh, dan keganasan terus menghantui Selatan Thailand.

Tetapi, Abu Hafiz melahirkan keyakinan yang mengejutkan berhubung proses damai itu, dan kesediaannya menerima hasil yang  lebih cepat daripada kemerdekaan.

BeritaBenar (BN): Apakah masa depan rundingan damai ini? Apakah tempoh yang dijangka anda?

Abu Hafiz (AH): Proses ini sudah semestinya suatu proses yang panjang, bukan setahun dua...

Apabila kami berunding dengan pihak tentera, matlamat kami adalah untuk menyatukan proses dan membina keyakinan dengan mereka. Pihak Tentera tidak kekal selama-lamanya… Isu-isu substantif akan dibincangkan dengan kerajaan yang dipilih kemudian.

Kami sedar apabila kami menyentuh isu-isu sensitif, ia akan mematikan proses rundingan. Dalam dialog sebelum ini, BRN telah membawa lima permintaan – yang membawa kejutan. Ia seperti anda bertandang ke rumah seseorang dan anda meminta itu, ini dan ini… ini bukannya cara yang betul. Kami perlu memulakannya dengan membina keyakinan dahulu, dan kemudian bergerak ke langkah berikutnya.

Itulah yang kami lakukan sekarang. Kami tidak berharap untuk berbincang mengenai pembangunan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan pentadbiran. Mungkin hanya mengenai keselamatan. Itulah sebabnya apabila mereka berkata mereka hendak berbincang tentang zon keselamatan…kami bersetuju membincangkannya. Kerana mereka adalah orang yang tepat untuk membincangkan soal zon keselamatan.

BN: Adakah kerajaan Thailand ikhlas?

AH: Anda tidak boleh mengukur keikhlasan tetapi anda boleh mengukur komitmen - cara kelakuan mereka…kami melihatnya secara objektif. Dalam proses sebelum ini…tiada struktur…tetapi kali ini, ia mempunyai struktur yang baik. Pertama, dengan pihak kerajaan tentera, adanya satu jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Peringkat kedua adalah pasukan dialog. Peringkat ketiga adalah di kawasan wilayah ke-4 di Selatan Thailand. Dahulu, ia hanyalah pasukan dialog dan itu sahaja. Oleh itu, beginilah cara kami menilai komitmen secara objektif.

BN: Secara realistiknya, apa yang anda harap dapat dicapai pada penghujung rundingan ini?

AH: Yang pertama, matlamat organisasi [kami] semua adalah untuk mencapai kemerdekaan. Itu yang kami perjuangkan selama ini. Tetapi, pada satu tahap, kami perlu menyemaknya semula, berdasarkan situasi sekarang, berdasarkan situasi dunia. Adalah okay untuk membincangkan kemerdekaan di era 60-an dan70-an… sekarang orang bercakap mengenai integrasi berbanding berpisah…Lihatlah EU, lihat ASEAN. Sempadan bukan lagi relevan, dan sekarang adalah zaman berdialog.

Oleh itu, apabila kami mengambil keputusan untuk berunding, kami perlu menyemak semula mengenai perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Mungkin pemerintahan sendiri, pentadbiran sendiri, keazaman sendiri adalah lebih realistik. Tetapi, namanya tidak penting. Yang lebih penting adalah kandungannya: Melayu Patani mempunyai hak untuk meneruskan kehidupan yang normal, untuk menentukan masa depan mereka sendiri”

BN: Adakah elemen dalam pergerakan pejuang yang tidak menyokong MARA Patani?

AH: … Dalam MARA ada BRN... Tetapi ada juga [ahli-ahli ] BRN yang tidak mahu berunding dengan pihak tentera. Bagi kami, ini adalah isu dalaman BRN dan mereka perlukan selesaikannya.

Ada orang tertentu dalam MARA yang mempunyai hubungan tertentu dengan arus perdana BRN di luar. Melalui rangkaian-rangkaian ini, mereka berhubung sesama sendiri. Jika seseorang memahami cara operasi BRN, perkara ini sebenarnya sering berlaku.  Sebagai contoh, pada 1991, BRN berunding dengan tentera wilayah ke-4, dalam rundingan secara langsung, tetapi rundingan itu tidak [bersama] BRN utama…Cuma militia BRN.

BN: Adakah MARA Patani mempunyai kawalan ke atas individu-individu bersenjata di Selatan Thailand?

AH: Saya akan jawab anda begini. MARA Patani bukannya satu gabungan ketenteraan… MARA adalah gabungan politik. Tetapi, kumpulan bersenjata adalah [sebahagian daripada] kumpulan individu [yang membentuk MARA], dalam PULO dan BRN...Kami tidak mempunyai kuasa dalam kumpulan-kumpulan ini, tetapi ahli-ahli MARA mempunyai saluran untuk menghubungi kumpulan-kumpulan tersebut. Mereka berkomunikasi dan kita pun tahu mereka sedang berhubung.

BN: Apakah yang anda inginkan orang tahu mengenai Selatan Thailand yang dibelenggui dengan keganasan?

AH: Kita mahukan masyarakat dunia tahu akan masalah di sana… masyarakat dunia mesti menyokong proses damai ini - tidak semestinya menyokong kami, tetapi menyokong proses ini. Kami hanya berharap bahawa orang Patani boleh menentukan masa depan mereka sendiri. Apabila saya bercakap mengenai orang Patani -ia tidak bermaksud Melayu dan Muslim sahaja, [tetapi] semua yang ada di sana termasuk minoriti Thai dan Cina.

Persoalan mengenai kemerdekaan, pada pendapat saya, adalah untuk generasi akan datang; jika mereka mahu, mereka boleh melakukannya secara politik. Jika rakyat berpuas hati dengan hasil proses damai, isu kemerdekaan tidaklah relevan.

Itulah rakyat Patani …Mereka hanya mahukan perkara dalam kehidupan seharian – pekerjaan, pendidikan, keselamatan, agama, hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.