Filipina, Indonesia dan Malaysia Setuju Tingkat Usaha Gagalkan Keganasan

Felipe Villamor
2017.06.22
Manila
170622-trilateral-620.jpg Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Alan Peter Cayetano (tengah) ketika mengumumkan kenyataan bersama dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi (kiri) dan Menteri Luar Malaysia Anifah Aman semasa pertemuan tiga negara itu mengenai keamanan di Manila, 22 Jun, 2017.
AFP

Dalam menghadapi tindakan pengepungan bermati-matian oleh militan Filipina dan militan asing yang dicetuskan oleh Negara Islam (IS) di selatan bandar Marawi, kerajaan Filipina, Indonesia dan Malaysia pada Khamis bersetuju untuk mengeratkan lagi langkah penyelarasan bagi menghentikan penyusupan senjata dan pejuang rentas sempadan.

Pertemuan tiga negara itu dihoskan oleh Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano dan dihadiri rakan-rakan sejawatannya dari Indonesia dan Malaysia, dengan mesyuarat itu diadakan bagi memantapkan lagi tindakan bersama dalam memerangi militan serantau.

Ia diadakan di tengah-tengah tindakan pengepungan Negara Islam yang disokong oleh Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan militan Maute di bandar Marawi, yang menyaksikan tentera Filipina bertempur sengit dengan militan itu sejak 23 Mei lalu.

Pihak berkuasa berkata, militan Filipina yang diketuai pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, mendapat sokongan para pejuang Indonesia, Malaysia, Singapura dan Timur Tengah, dan ini membangkitkan kebimbangan bahawa Negara Islam telah menetapkan sasarannya untuk menubuhkan pangkalan serantau di selatan Filipina bergolak, yang sejak beberapa dekad lamanya menjadi tempat pemberontakan Islam yang ganas.

Cayetano dan rakan-rakannya dari Indonesia dan Malaysia iaitu Retno Masurdi dan Anifah Aman masing-masing bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam menangani ancaman keganasan dan ekstremisme ganas di rantau ini," demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat peringkat tinggi itu.

Pasukan tentera dan polis negara masing-masing juga perlu memberi kerjasama dalam perkongsian risikan dan maklumat bagi mencegah "ancaman berpotensi, pasti dan nyata itu," kata kenyataan tersebut.

Mereka juga bersetuju untuk membendung aliran pembiayaan pengganas, memerangi penyebaran propaganda serta menangani syarat-syarat yang mencetuskan ekstremisme termasuk kemiskinan, dadah haram, jenayah dan ketidakadilan sosial.

Tangani propaganda, pembiayaan

Menteri-menteri itu berkata mereka juga akan bekerjasama dalam menyekat propaganda pengganas menerusi ruang siber serta menghalang penyusupan senjata dan manusia merentas sempadan oleh puak militan dengan niat untuk menimbulkan kekacauan.

Latihan "peyediaan tentera khas dan penguatkuasaan undang-undang" juga dipersetujui bersama, dengan naratif ekstremis akan ditangani menerusi "penglibatan masyarakat" di mana pemimpin agama tempatan dijangka memainkan peranannya.

Cayetano berkata matlamatnya adalah untuk meningkatkan kerjasama tiga negara itu bagi menyekat "ekstremis daripada menubuhkan pangkalan operasi di rantau Asia Tenggara."

Pada Khamis, negeri Sabah mengeluarkan arahan keselamatan dengan menyenaraikan Hapilon dan Abdullah Maute, ketua kumpulan Lanao Negara Islam, sebagai antara 18 penjenayah yang paling dikehendaki dan mungkin telah memasuki wilayah itu dari Marawi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah  berkata, ia dimaklumkan bahawa kedua-dua lelaki itu boleh melarikan diri dari Marawi dan berpotensi menjadikan Sabah sama ada sebagai pusat transit atau tempat bersembunyi.

"Sejak serangan di bandar Marawi, kami bimbang mereka akan memasuki negara kita dengan menyamar sebagai pendatang asing tanpa izin atau nelayan," kata Komandernya Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Komitmen Jakarta

Presiden Rodrigo Duterte telah menempatkan seluruh wilayah selatan Mindanao di bawah undang-undang tentera, yang merupakan usahanya untuk menewaskan pihak militan dalam krisis terbesar yang melanda pentadbirannya yang baru mencecah setahun.

Beliau telah mengaku secara umum bahawa pasukan keselamatan mungkin memandang rendah terhadap kuasa senjata api pemberontak. Presiden itu juga menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada setiausaha pertahanannya yang telah meminta bantuan risikan penting daripada Amerika Syarikat, sekutu tentera tertua negara itu yang dikritik lantang oleh Duterte ketika beliau mengambil langkah untuk menjalin hubungan erat dengan China dan Rusia.

Pada malam Rabu, pemimpin Indonesia, Joko Widodo, telah menghubungi Duterte untuk membincangkan tentang krisis Marawi, dan kedua-dua pemimpin itu bersetuju “bahawa mereka perlu meningkatkan kerjasama untuk menangani ancaman yang dilakukan oleh keganasan dan ekstremisme ganas,” kata jurucakap presiden, Ernesto Abella, pada Khamis.

Beliau berkata, pentingnya mesyuarat tiga negara itu turut dibincangkan dengan Widodo yang telah mengesahkan “komitmen negaranya untuk menyokong Filipina dalam menentang keganasan, termasuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Filipina Selatan.”

"Presiden itu juga mengalu-alukan komitmen presiden Indonesia dan menekankan kesungguhan kerajaan Filipina untuk bekerjasama lebih erat dengan Indonesia dan negara-negara yang berpendirian sama dalam menangani isu-isu itu."

Abella berkata, pertempuran itu setakat ini telah menyebabkan seramai 276 militan, 67 tentera dan polis serta 26 orang awam terbunuh. Jumlah orang awam yang sama juga telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit di pusat-pusat pemindahan, kata para pegawai.

Lebih 1,600 orang awam yang terperangkap dalam pertempuran itu dapat diselamatkan, tetapi sekumpulan besar yang lain, dengan jumlahnya belum dapat ditentukan, dipercayai masih berada dalam zon perang, tanpa dapat melarikan diri dan terpaksa berlapar.

Berakhir sebelum Aidilfitri?

Pasukan-pasukan tentera juga melaporkan tentang "peningkatan kegiatan pembakaran yang sengaja dilakukan oleh para pemberontak di pelbagai kawasan di bandar itu," kata Abella.

Pihak tentera berkata, para pejuang bersenjata itu dapat dikepung di sebuah kawasan yang keluasannya adalah 20 peratus daripada bandar Marawi tetapi mereka memberi tentangan kuat dengan menggunakan penembak hendap, bom serta bom tangan roket daripada "sudut" yang berada dalam kawalan mereka.

"Selain itu, mereka menggunakan bahan mudah terbakar dan peranti pembakar yang lain," kata Abella sambil memberitahu bahawa pihak militan turut menahan orang awam dan menjadikan mereka sebagai perisai ketika bersembunyi di beberapa kawasan termasuk di masjid.

Kerajaan negara itu berkata,  ia mahu menamatkan pertempuran tersebut sebelum sambutan Aidilfitri awal minggu depan, yang menandakan berakhirnya bulan suci Islam, Ramadan.

Colin Forsythe di Kota Kinabalu, Malaysia menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.