Kerajaan Malaysia Terus Komited Hentikan Pemerdagangan Manusia

Ray Sherman
2017.06.28
Kuala Lumpur
170628-MY-tip-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak ketika menghadiri majlis promosi Malaysia Airlines di Putrajaya, 3 Mei, 2017.
AFP

Kerajaan Malaysia pada Rabu berkata negara itu akan terus komited menghentikan jenayah pemerdagangan manusia sehari selepas kedudukan Malaysia dinaik taraf, namun aktivis hak asasi manusia negara itu menuntut supaya lebih banyak langkah proaktif dilaksanakan untuk memerangi jenayah tersebut.

Perdana Menteri Najib Razak berkata, usaha kolektif Malaysia dalam memerangi jenayah tersebut di negara itu dan serantau mula menunjukkan hasil apabila Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Selasa.

"Syabas kepada mereka yang bekerja gigih untuk mencapai tahap ini. Kami tetap komited untuk menghentikan pemerdagangan manusia, melindungi mangsa dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Dalam laporan itu, Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 daripada Tahap 2 Senarai Pemerhatian pada tahun sebelumnya.  Pada 2015 pula, Malaysia menduduki Tahap 2 Senarai Pemerhatian manakala pada 2014, Malaysia berada di Tahap 3.

Berdasarkan laporan itu, Tahap 1 dianggap sebagai memenuhi sepenuhnya standard minimum perlindungan mangsa pemerdagangan. Negara Tahap 2 mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard, dan negara yang diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard itu namun gagal menyediakan bukti bagi usaha yang dipertingkat.

Kekurangan dalam pelaksanaan

Jabatan Negara AS dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017   Laporan itu memuji usaha kerajaan Malaysia dalam mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia namun berkata langkah itu mempunyai kekurangan dari segi perlindungan.

Kerajaan Malaysia tidak sentiasa memantau populasi pekerja migran yang mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu.

Selain itu, katanya “tidak semua mangsa pemerdagangan manusia diberikan kebebasan untuk bergerak dan bekerja sementara menunggu siasatan terhadap kes mereka dalam sistem kehakiman.”

Phil Robertson dari Human Rights Watch berkata Jabatan Negara AS “telah membersihkan” rekod Malaysia dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Menurut laporan itu, Malaysia, berdasarkan peranannya, telah dikeluarkan daripada Senarai Pemerhatian kerana terdapat peningkatan dari segi penyiasatan, pendakwaan dan sabitan dalam kes pemerdagangan manusia.

Pada 2016, kerajaan Malaysia telah menjalankan sejumlah 581 siasatan dalam kes-kes yang mungkin berkaitan dengan pemerdagangan manusia berbanding 158 bagi tahun sebelumnya. Ia memulakan pendakwaan terhadap 175 yang disyaki pesalah, menunjukkan peningkatan, berbanding 38 pada 2015 dan mendapati sejumlah 35 orang bersalah – 18 orang daripada mereka bagi kesalahan pemerdagangan untuk tujuan buruh dan 17 bagi tujuan seks.

Banyak isu tidak terjawab

Sementara itu, sebuah pertubuhan hak asasi bertaraf antarabangsa, Amnesty International Malaysia (AIM) menyatakan penambahbaikan kedudukan Malaysia dalam laporan AS itu adalah tidak setimpal memandangkan Malaysia masih belum mampu memperbaiki beberapa kesalahan berkaitan pelanggaran pemerdangan manusia yang serius.

"Masih ada beberapa lagi isu yang Malaysia belum dapat diselesaikan, termasuklah perlindungan mangsa pemerdagangan manusia serta undang-undang dan penguatkuasaan yang lemah.

"Mangsa yang diperdagangkan selalu diperlakukan sebagai penjenayah. Ramai antara mereka ditempatkan di pusat tahanan yang sesak dan teruk, di mana telah direkodkan banyak kematian, penyakit dan perlanggaran hak asasi manusia," kata Shamini Darshni, Pengarah Eksekutif AIM, dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pada April lalu,  Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa 161 orang tahanan mati dalam beberapa pusat tahanan di seluruh negara akibat pelbagai penyakit termasuk HIV dan Tuberkulosis.

“Fakta ini membuktikan bahawa tahanan tidak diberi rawatan perubatan yang sepatutnya,”dakwa beliau.

Shamini  berkata, jika Malaysia mahu mencapai Tahap 1 pada 2020, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Rabu, Malaysia boleh bermula dengan tidak melayan tahanan sebagai penjenayah.

Beliau mendakwa Malaysia adalah destinasi aktiviti pemerdagangan manusia dan terdapat bukti yang menunjukkan negara itu menjadi punca atau transit aktiviti jenayah tersebut.

"Antara golongan yang biasa diperdagangkan adalah warga Rohingya yang lari daripada penganiayaan di Myanmar, Bangladesh dan Indonesia yang mencari peluang pekerjaan, serta wanita dan kanak-kanak yang dijual dalam industri seks.

"Malaysia perlu mengatasi perlanggaran dalam industri pemerdagangan manusia dan memperkasakan undang-undang memerangi jenayah tersebut," tegasnya.

Pencapaian terbaik sejak 2007

Kementerian Dalam Negeri pula berkata, kedudukan tersebut adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak 2007, setelah negara itu  mempunyai perundangan khusus mengenai pemerdagangan orang.

“Pengiktirafan ini adalah berdasarkan peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya,” kata Ketua Pengarah kementerian itu, Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Malaysia akan terus meningkatkan keberkesanan pendakwaan melalui kerjasama antara agensi penguat kuasa, timbalan pendakwa raya dan pegawai pelindung pemerdagangan orang.

“Daripada aspek pendakwaan, Malaysia telah merekodkan peningkatan yang ketara dalam pertuduhan 35 individu yang telah dijatuhkan hukuman berbanding hanya 7 pada tahun 2015,” katanya.

100 sabitan

Pada Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mencatatkan 100 sabitan kes pada 2016.

Ahmad Zahid, yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, berkata pecahan sabitan kes adalah 79 (pemerdagangan orang), sembilan sabitan kes (penyeludupan migran) dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain.

Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila ratusan kubur yang mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya Islam dari Myanmar dan pendatang Bangladesh, ditemui di Wang Kelian, Perlis pada Mei 2015.

Pada Mac lalu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Ahmad Zahid berkata empat warga asing telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian manakala 12 anggota polis dibebaskan daripada pendakwaan kerana kekurangan bukti.

"Seramai 12 anggota polis yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran telah ditangkap di bawah Akta ATIPSOM dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Namun, mereka telah dibebaskan kerana tidak ada bukti kukuh untuk disabitkan atas kesalahan itu," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.