Indonesia Sahkan Lapan Rakyatnya Terlibat Dalam Rampasan Kapal Malaysia.

Oleh staf BeritaBenar
2015.06.25
150625-MY-INDONSAH620 Lapan lelaki warga Indonesia yang dipercayai merampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony ditahan pihak berkuasa Vietnam di Pulau Tho Chu, di selatan negara itu pada 19 Jun 2015.
TV Keselamatan Maritim Vietnam

Indonesia pada Khamis, mengesahkan lapan lelaki yang ditahan di perairan Pulau Tho Chu oleh pihak berkuasa Vietnam yang dipercayai merampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony adalah rakyat negara itu.

Duta Besar Indonesia di Vietnam, Mayerfas,mengesahkan mengenai perkara itu pada persidangan media di pejabat Kementerian Luar Negara Indonesia di Jakarta pada Khamis.

"Pegawai-pegawai dari pejabat Konsulat Indonesia di Ho Chi Minh dan di Kedutaan di Hanoi telah menemui lapan lelaki itu, pada hari Rabu untuk mendapat kepastian mengenai kewarganegaraan dan mereka telah mengesahkan bahawa mereka berasal dari Indonesia," katanya.

Beliau berkata, kelapan-lapan perampas kapal itu dikenal pasti sebagai penduduk Natuna, Kepulauan Riau; Medan, Sumatera Utara; Jakarta; dan Julat, Sumatera Utara.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta milik Magna Meridian Sdn hd, dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas, ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dipercayai dirampas lapan orang lanun bersenjatakan pistol dan parang berakhir apabila kesemua anak kapal dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi pada 19 Jun lepas. Perampas kapal itu ditahan pihak berkuasa Vietnam, berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada hari yang sama.

Kapal itu membawa seramai 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk kaptennya, Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dipercayai dirampas lapan orang lanun bersenjatakan pistol dan parang berakhir apabila kesemua anak kapal dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi pada 19 Jun lepas.

Mayerfas berkata lelaki yang dikenali sebagai Ruslan dipercayai ketua kumpulan perampas itu dan berasal dari Kepulanan Natuna.

“Dalam siasatan kita mendapati tiga daripada lapan mereka mempunyai dokumen – dua memiliki pasport dan seorang mempunyai Kartu Tanda Penduduk (kad pengenalan), manakala lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen,” tambahnya.

Associated Press (AP) pada Ahad lepas melaporkan, pihak berkuasa pantai Vietnam bagi wilayah selatan Kien Giang, Kolonel Doan Bao Quyet berkata, kesemua lapan yang ditahan itu adalah warga Indonesia berusia antara 19 dan 61 tahun, dan mereka mengakui bertanggungjawab merampas kapal tangki itu selepas disoal siasat.

"Pada mulanya mereka mendakwa mereka mengalami kemalangan di laut ketika menangkap ikan setibanya di Pulau Tho Chu di selatan pantai Vietnam pada Jumaat lepas,” katanya.

Kesemua 13 lelaki terlibat

Bagaimanpun, apabila disoal siasat, mereka mengaku terdapat 13 orang kesemuanya yang terlibat dalam rampasan kapal tangki itu, Quyet berkata.

Beliau menambah, penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang mengambil alih kapal tangki dengan lapan lelaki kekal diatas kapal tangki itu, manakala lima lagi menggunakan bot mereka untuk pulang ke Indonesia bagi mencari pembeli minyak petrol yang dirampas itu.

Mayerfas berkata, semasa disoal siasat oleh pegawai pejabat kedutaan itu, kesemua lapan lelaki yang ditahan pihak berkuasa Vietnam itu mendedahkan terdapat lima lagi lelaki dari kumpulan mereka telah berjaya melarikan diri ke Indonesia.
“Hasil siasatan kami mendapati mereka beroperasi secara kelompok di wilayah-wilayah tertentu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Vietnam masih lagi meneruskan siasatan mereka serta tidak menyatakan berapa lama akan mengambil masa.

“Kerajaan Indonesia kini mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa kesemua mereka  pulang ke Indonesia,” kata Duta Besar itu.

“Meskipun Indonesia dan Vietnam mempunyai perjanjian ekstradisi, tetapi pejabat kedutaan itu masih menunggu arahan seterusnya dari Jakarta,” tambah beliau.

Sementara itu, Malaysia juga sedang berusaha mengekstradisi kesemua lapan penjenayah itu ke Malaysia untuk didakwa.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lepas berkata, “kesemua mereka akan dibawa ke muka pengadilan di Malaysia, selepas selesai proses mengekstradisi melibatkan negara Vietnam dan Indonesia,”

“Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan lebih lanjut setelah siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam.

Dalam perkembangan yang sama, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Agensi Penguatkuasaa Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan sebagai berkata, agensi itu sedang menyiasat mengenai sejumlah besar wang tunai dan puluhan telefon bimbit yang ditemui daripada lapan perampas kapal tangki itu.

"Kita sedang berurusan dengan pihak berkuasa Vietnam untuk dapatkan kesasihan maklumat tersebut. Kita juga tidak dapat sahkan sama ada wang tersebut diperoleh daripada hasil jualan minyak daripada kapal ini atau sebaliknya," katanya semasa diminta mengulas laporan media Vietnam tentang penemuan sejumlah wang daripada kumpulan yang terlibat dalam kes rampasan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, tujuh kes pelanunan berlaku di Laut China Selatan pada tahun ini.

Katanya kes-kes itu terbahagi kepada dua jenis kes rompakan, iaitu berdasarkan peluang, manakala satu lagi adalah jenayah yang dirancang, iaitu rompak curi minyak di mana ia melibatkan kapal dirampas sementara menunggu 'kapal hantu' memindahkan minyak.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan jenayah merompak dan mencuri itu didalangi sindiket yang merangkumi pemain seperti dalang, perekrut perompak, pemberi maklumat, perompak, kapal hantu dan pembeli.

Komandan Gugus Keamanan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) Wilayah Barat, Abdul Rasyid Kacong dan Ketua Keamanan Laut Zon Maritim Barat, U.K Agung yang hadir di  persidangan media yang sama, turut memberi jaminan untuk meneruskan kerjasama rapat termasuk berkongsi maklumat dan membangunkan modal insan dengan APMM dalam mencegah rompakan dan menjamin keselamatan di Laut China Selatan.


Aditya Surya di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.