Satu Lagi Premis Bersangkut Siasatan 1MDB Digeledah

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.11
Kuala Lumpur
180611-MY-1mdb-620.jpg Pasukan carian dari Jabatan Siasatan Komersil Bukit Aman yang melakukan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dilihat di sebuah banglo di Putrajaya, Malaysia, 11 Jun, 2018.
Alfian Z.M. Tahir/BeritaBenar

Polis Malaysia pada Isnin telah melakukan penggeledahan di sebuah banglo kerajaan di Presint 10, di pusat pentadbiran negara di Putrajaya, premis ke tujuh, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan siasatan kes skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa dari Jabatan Jenayah Siasatan Komersil Bukit Aman tiba di kediaman yang tiada penghuni itu pada tengahari dan bergerak meninggalkan  banglo tersebut tiga jam selepas itu bersama empat buah kotak dan beg yang dikatakan mengandungi tas tangan dan juga dokumen bersangkut siasatan kes berkenaan.

Banglo tersebut yang berdekatan dengan kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, dikatakan tiada penghuni sejak setahun lepas, kata seorang jiran yang tidak mahu dikenali. Menurut pemberi maklumat, penghuni sebelum itu merupakan bekas setiausaha sulit kepada Najib, Shukry Mohd Salleh, yang dilantik sebagai pengerusi Bank Rakyat tahun lepas.

Pengarah JSJK Amar Singh Ishar Singh mengesahkan bahawa pihak beliau telah menggeledah premis tersebut.

“Penggeledahan dilakukan dibawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(AMLA),” menurut beliau.

Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berdepan kemungkinan kehilangan jawatan sebagai polis nombor 1 di Malaysia atas kegagalan beliau menyiasat kes jenayah berkaitan 1MDB, menurut sumber.

Masih tidak diketahui jika Fuzi sudah diberitahu mengenai cadangan untuk menyingkirkan beliau. Straits Times Singapura dalam laporan pada Isnin berkata bahawa pihak Cawangan Khas Bukit Aman sudahpun mencadangakn tiga nama kepada Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan sebagai calon pengganti.

Fuzi adalah ketua polis yang dilantik oleh Najib selepas KPN terdahulu tamat perkhidmatan tahun lepas.

Najib dan isteri Rosmah Mansor disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersabit kes SRC International dan juga jumlah RM2.6 billion yang dijumpai di dalam dua akaun peribadi milik Najib.

Polis Malaysia bulan lepas turut menjumpai wang tunai berjumlah RM114 million (US $29 million) di dalam beg yang dirampas dalam serbuan di beberapa premis di Kuala Lumpur yang ada kaitan dengan Najib.

Turut dirampas adalah beg-beg yang dikatakan mengandungi barangan kemas dan jam berjenama mewah dan juga 284 kotak yang mengandungi tas tangan mewah seperti Birkin buatan jenama Hermés.

Serbuan pada 18 Mei lepas melibatkan tiga buah kediaman mewah. Dua antaranya didiami oleh anak lelaki Najib, Ashman, dan satu lagi didiami oleh anak perempuan beliau, Nooryana. Polis turut menjumpai 72 buah beg dan 284 buah lagi di kediaman ketiga yang tiada penghuni.

Serbuan yang dijalankan selama beberapa hari turut melibatkan bekas kediaman rasmi Najib di Putrajaya, Pejabat Perdana Menteri dan juga rumah Najib di Langgak Duta.

Menurut polis, serbuan di rumah anak perempuan Najib, mendapati sejumlah 150 tas tangan berjenama mewah yang turut dirampas bersama beberapa set jam tangan mewah, manakala wang tunai sebanyak 500,000 ringgit ($125,620) ditemui di kediaman peribadi Najib.

Najib dalam kenyataan media pada Isnin berkata bahawa dakwaan yang dilakukan keatas beliau adalah fitnah dan tiada bukti yang kuat untuk mendakwa beliau atas dakwaan-dakwaan yang dilemparkan.

“Dalam cubaan menyakinkan rakyat Malaysia yang saya telah mencuri jutaan ringgit dari 1MDB, (perdana menteri) Mahathir sekarang berkata bahawa tiada bukti kuat untuk menangkap atau mendakwa saya, di mahkamah (nanti) akan menjadi sukar,”

Dengan kenyataan tersebut, Najib berkata Mahathir dan sekutu beliau di dalam Pakatan Harapan mengakui bahawa mereka telah menuduh beliau tanpa bukti yang kukuh.

“Ia turut menunjukkan bahawa kertas dakwaan yang dikeluarkan untuk mendakwa saya di mahkamah pada tahun 2015 telah dibuat-buat dan merupakan sebahagian dari konspirasi untuk menjatuhkan saya,” kata Najib.

Najib mendakwa bahawa beliau tidak mencuri daripada 1MDB atau sesiapapun.

“Tidak seperti Perdana Menteri yang ke-4, (Mahathir) anak saya tidak memiliki kereta-kereta mewah dan tidak menerima sebarang kontrak kerajaan,” kata beliau.

SPRM cari saksi kes 1MDB

Pihak berkuasa agensi anti rasuah kebangsaan hari ini mengeluarkan notis untuk mencari empat orang rakyat Malaysia bersangkut kes 1MDB.

Mereka ialah: Geh Choh Eng, 47, Loo Ai Swan, 45, Tan Kim Loong, 40 dan Tang Keng Chee, 53.

SPRM minggu lepas telah mengeluarkan satu notis carian terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas pengarah pengurusan anak syarikat 1MDB, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Jho Low, beberapa jam selepas notis dikeluarkan, turut mengeluarkan kenyataan media mengatakan beliau sanggup bekerjasama dengan SPRM. Beliau turut menghantar emel kepada SPRM untuk menyatakan kesanggupannya dalam membantu siasatan kes 1MDB.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memberitahu media minggu lepas bahawa Jho Low merupakan penjenayah utama dalam skandal 1MDB.

Pihak Pengadilan Amerika Syarikat berkata kes 1MDB merupakan skandal kleptokrasi paling teruk pada abad ini merujuk kepada lebih dari AS$4.5 billion (17.9 billion ringgit) yang telah dicuri dari dana syarikat tersebut yang diilham dan ditubuhkan oleh Najib pada 2009 sehingga pembubaran ahli penasihat pada 2016.

Menurut dokumen yang dilihat oleh BeritaBenar, Pihak Kehakiman AS telah mendakwa Jho Low atas tuduhan mengubah wang berjumlah AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB melalui pembelian hartanah di California, New York dan London, pembelian jet bernilai AS$35 million dan bot mewah yang bernilai AS$250 juta.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.