Dua Anggota IS Ditahan Di Kuala Lumpur
2015.07.09

Polis Malaysia menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria kerana berkomplot untuk melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang.
Mereka dipercayai cuba melancarkan serangan keatas kedutaan-kedutaan asing dan terhadap beberapa bangunan milik syarikat multinasional negara Eropah di kawasan Lembah Klang.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis berkata, kedua-duanya ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis(2 Julai) dan Selasa (7 Julai) lepas.
Bagaimanapun beliau tidak memberi penjelasan terperinci mengenai penahanan kedua-dua lelaki itu.
Katanya, polis turut merampas buku-buku mengenai jihad dan fahaman Salafi Jihadi serta resit-resit pembelian alat-alat taktikal yang boleh digunakan dalam pertempuran.
Hubungan IS Eropah
Khalid berkata, suspek pertama, 28, berasal dari Kuala Lumpur dan ditangkap pada 2 Julai. Suspek tersebuk dipercayai mempunyai hubungan dengan beberapa warga Eropah yang merupakan anggota kanan kumpulan IS di Syria.
"Sejak pertengahan 2014, dua anggota kanan kumpulan pengganas IS warga Eropah itu telah memberi arahan kepada suspek supaya melancarkan serangan ke atas (bangunan atau tempat) yang ada kepentingan kepada negara barat di Kuala Lumpur dan tempat-tempat hiburan di sekitar Lembah Klang.
"Suspek mula terdedah dengan ideologi kumpulan militan IS sejak 2012 dan turut mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, rakyat Malaysia yang terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria pada 9 Nov 2014," kata Khalid dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, suspek kedua, 31, juga berasal dari Kuala Lumpur dan ditahan pada 7 Julai lalu, Suspek kedua dipercayai pernah menganggotai kumpulan pengganas di Syria antara awal 2014 sehingga Ogos 2014 sebelum kembali ke Malaysia kerana tercedera dalam satu pertempuran di Syria.
Katanya, kedua-dua suspek telah mengadakan beberapa pertemuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak penghujung 2014 di mana mereka berkomplot untuk melancarkan serangan di Malaysia.
“Tangkapan terbaru melibatkan suspek tempatan yang merancang untuk melancarkan serangan selepas berkomunikasi dengan anggota kanan IS di Syria. Ini merupakan trend terbaru yang amat membimbangkan.
"Ini selari dengan modus operandi serangan terbaru oleh individu-individu yang sama ada bersimpati, terpengaruh dengan ideologi pengganas atau menerima arahan daripada anggota kanan IS di Syria bagi melancarkan serangan di negara masing-masing seperti yang berlaku di Tunisia, Perancis dan Kuwait pada penghujung bulan lepas," kata Khalid.
Khalid berkata kedua-dua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata polis telah menahan 108 individu yang mempunyai elemen pembabitan dalam kegiatan militan IS sehingga 13 Jun lepas.
"Daripada jumlah itu, enam individu telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis dengan sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq," katanya.
Mahkamah Tinggi Malaysia baru-baru ini juga menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua beranak yang merupakan bekas anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.
Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Murad Halimmuddin Hassan, 49, bekas pejuang kumpulan IS di Syria atas pertuduhan berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia dan 18 tahun penjara lagi atas pertuduhan kedua iaitu memberi sokongan kepada perbuatan yang sama.
Bagaimanapun, Murad yang juga pemimpin kumpulan kerohanian “Fisabilillah” dan bekerja sebagai penjual buah tembikai bernasib baik kerana mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 5 April lalu.
Mahkamah juga memerintahkan anaknya, Abu Daud, 25, menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula tarikh yang sama, selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada perbuatan keganasan.
Dua beranak tersebut didakwa berpakat mempromosikan suatu perbuatan keganasan di Malaysia antara 30 Jan hingga 5 April tahun ini di No. 61, Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah.