Cameron Bangkitkan Skandal Rasuah Kepada Najib: Laporan Media British

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.07.30
150730-MY-CAMERON620 Perdana Menteri Britain David Cameron tiba untuk berucap pada satu acara perniagaan dengan berlatarkan menara berkembar ikonik Malaysia di Taman Simfoni, Kuala Lumpur. 30 Julai, 2015. Cameron dalam rangka lawatan sehari ke Malaysia.
AFP

Perdana Menteri Britain, David Cameron pada Khamis menemui rakan sejawatnya Najib Razak, dan membangkitkan skandal rasuah yang membabitkan Najib di dalam perbincangan empat mata di Putrajaya, menurut media British.

Cameron turut mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin pembangkang Azmin Ali semasa lawatan seharinya ke Kuala Lumpur itu.

Di dalam pertemuan berasingan, Penasihat Keselamatan Cameron, Kim Darroch menemui Nurul Izzah, anak pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim yang kini menerima hukuman penjara. Rawatan untuk beliau turut dibangkitkan di dalam petemuan Cameron dan Najib.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan di pusat pentadbiran negara di Perdana Putra sebelum menghadiri mesyuarat dengan delegasi.

Terdahulu itu, Najib menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana, bersalaman dengan rakan sejawatnya dan membawa Cameron melakukan lawatan ringkas di sekitar pejabat Perdana Menteri Malaysia itu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak menemui media untuk mengulas lanjut mengenai pertemuan mereka.

1MDB

Akhbar-akhbar British melaporkan bahawa skandal dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara topik utama yang diperbincangkan.

Akhbar The Telegraph berkata, "tuduhan bahawa $700 juta (£450 juta) wang 1MDB yang didakwa telah didepositkan ke dalam akaun peribadi  Najib mengeruhkan lawatan yang dibuat untuk membina hubungan perdagangan."

Akhbar tersebut melaporkan, Cameron juga menggesa Najib untuk membersihkan kerajaannya di dalam pertemuan mereka pada Khamis.

The Guardian pula memetik pegawai Britain sebagai berkata, bahawa skandal 1MDB dan rawatan Anwar adalah di antara isu-isu yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu.

Lawatan kerja Cameron ke Malaysia adalah sebahagian daripada lawatan empat harinya ke empat buah negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan di United Kingdom.

Akhbar The Guardian dalam laporannya berkata, Cameron berusaha memerangi rasuah dikalangan ahli politik dan perniagaan dan ini merupakan antara tema utama lawatannya di mana beliau menekankan bahawa rasuah merupakan barah yang mencengkam sesebuah kerajaan dan boleh melemahkan ekonomi negara.

Teruskan lawatan

Bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, semasa melawat negara itu pada Rabu, Perdana Menteri Britain itu berkata, beliau akan meneruskan lawatannya ke Malaysia, walaupun mendapat kritikan sambil menegaskan semua perkara berbangkit akan dibincangkan di meja rundingan dengan rakan sejawatannya itu.

"Ini sangat penting di dalam agenda dan (saya) meminta pemimpin lain untuk mempertimbangkannya dan, ya, dalam meneruskan lawatan ke negara di mana terdapat isu-isu mengenai perkara-perkara ini [rasuah]

"Adalah lebih baik untuk bertemu mata dan berbincang mengenainya, bertanya, dan bukannya berpaling dan tidak mempedulikan isu tersebut. Semuanya akan dibawa ke meja perbincangan - kita akan membincangkan semua isu-isu ini " katanya seperti dilaporkan oleh akhbar itu.

Malaysia merupakan negara terakhir dalam siri lawatan rasmi Cameron ke Asia Tenggara.

Sementara itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negara mengeluarkan kenyataan media pada Khamis mengenai lawatan Perdana Menteri Britain itu, yang memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-bangsa  Bersatu.

Cameron adalah Perdana Menteri Britain pertama yang melawat Malaysia dalam dua penggal berturut-turut. Lawatan pertamanya pada April 2012.

Bincang soal Anwar

Dalam pada itu, satu pertemuan singkat dan peribadi telah berlangsung antara Cameron dan Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Azmin berkata, pada pertemuan itu, Cameron telah melahirkan kebimbangan terhadap keadaan bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

‘’Cameron beritahu saya bahawa beliau telah membangkitkan beberapa isu kepada Najib dalam pertemuaan mereka…. Ini termasuk kebimbangan terhadap keadaan Anwar, dan beliau mahu Anwar diberikan rawatan perubatan serta akses kepada buku-buku bacaan,” kata Azmin yang juga Menteri Besar Selangor selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri itu di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Semasa melawat Indonesia dan Singapura, Perdana Menteri Britain itu berkata, Britain akan mengukuhkan kerjasama dengan kedua-dua negara itu dalam memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS).

Presiden Joko "Jokowi" Widodo juga telah dilapor mengumumkan bahawa kerajaan Indonesia dan, Singapura akan berkongsi maklumat mengenai IS untuk menangani ancaman pejuang kumpulan jihad militan itu yang datang dari seluruh dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.