Tiga Lagi Dalang Pemerdagangan Manusia Ditahan

Oleh Hata Wahari
2015.07.14
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
150714-MY-MAYAT620 Polis Diraja Malaysia membawa keluar bungkusan yang berisi mayat, selepas mengali di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis. Bungkusan-bungkusan itu diletakkan di dalam trak polis untuk dihantar ke hospital. 28 Mei 2015.
AFP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lagi dalang yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Perlis, sempadan Malaysia-Thailand pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, polis turut menyita kesemua harta benda milik ketiga-tiga dalang berkenaan.

“Saya mengesahkan bahawa, tiga dalang lagi telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia yang membabitkan penemuan kubur besar di Wang Kelian serta kami juga merampas harta benda yang dimiliki oleh mereka,” katanya di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, termasuk kewarganegaraan dan jumlah mereka yang ditahan setakat ini.

Khalid turut berkata, operasi menahan mereka yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia itu masih giat dilaksanakan terutamanya mengesan dalang utama yang dikenali sebagai ‘Yassin’.

"Siasatan polis bukan setakat mengebumikan mayat yang menjadi mangsa tetapi kami akan tetap meneruskan siasatan sehingga dapat mengesan dalang sebenar sindiket berkenaan.

"Polis masih lagi berkongsi maklumat dengan rakan kita (polis Thailand) dan kami akan menjejaki suspek utama kes ini,’’ katanya.

Pada 20 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan membawa seorang lelaki warga Rohingya, dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia, ke muka pengadilan selepas proses mengekstradisi di Thailand selesai.

Beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai “Yassin”, berusia 30 tahun, telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand baru-baru ini, dan kerajaan Malaysia kini sedang dalam proses mengekstradisi lelaki berkenaan.

"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari (Malaysia) mengikut undang-undang negara, " katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila “Yassin” akan dibawa ke Malaysia.

Sehingga kini, seramai 19 orang dipercayai telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia sejak 10 Mei lepas.

Pada Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian itu.

Sebanyak 106 rangka mayat, dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan, ditemui di sekitar kawasan berkenaan dan operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa ditamatkan pada 8 Jun lepas.

Seramai 99 jenazah mangsa sindiket itu telah dikebumikan oleh kerajaan Malaysia secara berperingkat-peringkat di Tanah Perkuburan Khairiah Kampong Tualang, daerah Pokok Sena, di negeri Kedah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Noh Dahya berkata tujuh jenazah terakhir dijangka dikebumikan selepas sambutan Aidilfitri kerana beliau difahamkan terdapat sedikit kelewatan oleh pihak forensik, Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dalam tugas mengenalpasti mayat-mayat.

Pengurusan pengebumian kesemua jenazah itu diuruskan oleh JAIK, Majlis Keselamatan Negara dan Polis DiRaja Malaysia serta dibantu oleh penduduk tempatan, dan anggota persatuan kebajikan Rohingya Kedah.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.