Thailand Serah Dalang Sindiket Penyeludupan Manusia Kepada Malaysia
2015.06.15
Thailand telah menyerahkan beberapa orang dalang sindiket penyeludupan manusia kepada Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.
Beliau berkata anggota sindiket penyeludupan manusia itu kini sedang disoalsiasat oleh polis Malaysia sebelum sebarang pendakwaan dilakukan.
Ditanya berapa ramai anggota sindiket yang diserahkan oleh pihak berkuasa Thailand, Ahmad Zahid enggan mendedahkan jumlahnya sebaliknya berkata kegiatan itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang dalang.
Beliau menambah maklumat yang diperolehi membolehkan pihak polis mengenalpasti siapa ‘Yassin’, yang dipercayai dalang utama atau ‘kingpin’ dari Myanmar, dan pemerdagangan kaumnya sendiri.
Tiga warga Rohingya anggota sindiket
Sementara itu sumber polis yang dihubungi, memberitahu BeritaBenar, seramai tiga orang warga Rohingya telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand dan diserahkan kepada Malaysia bulan lepas.
Penyerahan itu dipercayai dibuat selepas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar bertemu Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Somyot Poompanmoung semasa menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand mengenai Aktiviti Jenayah ke-23 di Phuket, Thailand.
Bagaimanapun wartawan BeritaBenar di Bangkok dan di selatan Thailand yang cuba mendapatkan pengesahan mengenai penyerahan tiga dalang itu, gagal memperolehi sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa Thailand yang dihubungi.
"Terima kasih kepada pihak Thailand yang memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk masuk ke kawasan mereka mencari suspek yang terlibat sebagai dalang atau 'kingpin' dalam penyeludupan manusia," kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Isnin.
Beliau berkata, polis berjaya mengenal pasti 'Yassin' yang dipercayai memainkan peranan sebagai ejen kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.
Namun, katanya, individu berkenaan telah melarikan diri ke Thailand dan polis akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa negara itu untuk membawa 'Yassin' ke Malaysia bagi tujuan pendakwaan.
Sementara itu, sumber polis memberitahu BeritaBenar, bahawa ‘Yassin’ dipercayai berusia sekitar 30 tahun dan mempunyai kediaman di Perlis serta selatan Thailand, adalah individu yang bertanggungjawab membeli dan menjual warga Rohingya dan Bangladesh.
“Hasil siasatan sejak dua bulan lalu, mendapati ‘Yassin’ beroperasi dengan lebih 30,000 pelarian Rohingya dan menempatkan mereka di beberapa pulau di daerah Satun.
“Pelarian ini akan dikawal di pulau-pulau berkenaan oleh anggota sindiket yang lengkap bersenjata sementara menunggu bayaran tebusan sebelum di bawa masuk ke Malaysia,’’ kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu, pulau-pulau berkenaan terletak tidak jauh dari Malaysia dan boleh dilihat dari Jeti Kuala Perlis, Perlis.
Siasat ahli perniagaan Malaysia
Pada 25 Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.
Penemuan kubur itu adalah susulan operasi yang dilancarkan oleh polis Malaysia, selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing di kem-kem transit haram di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand, awal Mei lepas.
Dalam pada itu, akhbar The Star melaporkan, beberapa orang ahli perniagaan Malaysia, yang menjadi contoh dalam perniagaan import dan eksport tetapi merupakan tiga dalang utama yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan antarabangsa.
Menurut laporan itu, pasukan polis elit Bukit Aman yang menyiasat aktiviti penyeludupan manusia Rohingya dan Bangladesh di sempadan Malaysia-Thailand mengenal pasti suspek utama selepas tangkapan lebih daripada 70 pekerja mereka.
Pasukan tersebut terdiri daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc), Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) dan Cawangan Khas yang diselaraskan oleh Bukit Aman.
Mereka bertindak memantau suspek yang berpangkalan di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah termasuk transaksi perbankan mereka.
Ketua Polis Kedah Zamri Yahya mengesahkan bahawa pegawai polis dari negeri itu, juga sedang bekerjasama dengan Interpol untuk mengesan penglibatan Malaysia dalam aktiviti penyeludupan manusia ini.
"Kita hanya menunggu masa untuk membawa mereka ke muka pengadilan," katanya.
Beliau berkata pasukan itu berjaya mengenal pasti pemimpin sindiket itu selepas mengumpul perisikan hasil dari penangkapan 70 pekerja bawahan mereka dalam satu operasi khas yang dipanggil Ops Pintas Utara sejak beberapa bulan lepas.
Turut terlibat dalam aktiviti penyeludupan adalah rakyat Malaysia, Bangladesh dan juga Rohingya yang memegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR).
"Kita tidak akan melindungi pihak yang terlibat biarpun mereka tokoh berpengaruh. Anggota polis juga antara yang dikenal pasti terlibat," katanya.
Zamri berkata pasukan khas juga meminta bantuan dari Bank Negara untuk meneliti semua transaksi perniagaan daripada suspek utama sejak beberapa tahun yang lalu.
Akhbar itu, sebelum ini melaporkan bahawa seorang ahli perniagaan tempatan yang mempunyai perniagaan di Georgetown dan Butterworth, di Pulau Pinang merupakan dalang dalam rangkaian penyeludupan tempatan.