Jenazah Kumpulan Kedua Mangsa Pemerdagangan Manusia Dikebumi

Oleh Adie Suri Zulkiflli
2015.06.29
150629-MY-SELAMAT620 Pengebumian kumpulan pertama, jenazah 21 mangsa pemerdagangan manusia dipercayai warga Islam Rohingya di tanah perkuburan khairiah Kampong Tualang di daerah Pokok Sena, Kedah. 22 Jun 2015
AFP

Kumpulan kedua 30 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di kem transit haram di Wang Kelian, Perlis, bulan lepas selamat dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang, daerah Pokok Sena, Kedah, awal pagi Isnin.

Pengebumian kumpulan kedua jenazah yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia itu melibatkan 28 lelaki dan dua wanita.

Kesemua jenazah dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star dengan trak polis ke tanah perkuburan tersebut.

Pengarah JAIK Noh Dahya berkata, kesemua jenazah lelaki itu dikebumikan dalam satu liang lahat manakala jenazah wanita dalam liang lahat berasingan.

Katanya, baki 55 jenazah mangsa pemerdagangan Wang Kelian yang masih menjalani proses bedah siasat di hospital itu, dijangka dikebumikan sebelum Aidilfitri.

"Insya Allah minggu depan kita mampu kebumi 40 jenazah manakala bakinya, 15 jenazah yang terakhir, maksudnya ada dua kali pengebumian lagi," kata Noh kepada pemberita pada Isnin.

Pengebumian itu turut dibantu oleh penduduk tempatan, anggota polis dan persatuan kebajikan Rohingya Kedah.

Kerajaan negeri Kedah telah mengebumikan kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia itu, di tanah perkuburan yang sama pada 22 Jun lepas.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata jumlah jenazah tersebut terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita, merupakan kumpulan pertama daripada kesemua 106 mayat yang ditemui di kedua-dua kem transit haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 25 Mei lepas, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Penemuan kubur itu adalah susulan operasi yang dilancarkan oleh polis Malaysia, selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai beberapa kubur besar yang mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing di kem-kem transit haram di sekitar Padang Besar di daerah Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand, awal Mei lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.