BRN, tentera Thailand berbalah mengenai identiti mayat dalam sungai di sempadan

Pemberontak mendakwa seorang pejuang mereka, Zahri Bin Abdullah, (juga dikenali sebagai Yahree Dueloh) telah diculik, diseksa dan dibunuh.
Mariyam Ahmad dan Muzliza Mustafa
2022.10.27
Pattani, Thailand dan Kuala Lumpur
BRN, tentera Thailand berbalah mengenai identiti mayat dalam sungai di sempadan Beberapa pegawai tempatan memeriksa tapak letupan bom di Chanae, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat di selatan Thailand, 21 Okt 2022.
[BenarNews]

Pemberontak di selatan Thailand mendakwa seorang lelaki yang ditemukan mati dalam sebatang sungai di sempadan Malaysia adalah pejuang kanan mereka meskipun keputusan ujian DNA belum dikeluarkan manakala pihak tentera Thailand menafikan perkara itu.

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah bersenjata paling berpengaruh di wilayah sempadan selatan, telah tampil dengan kenyataan keras mengenai penemuan satu mayat yang sudah kembung dan berwarna hitam di Sungai Kolok pada 29 Sept. Mayat itu adalah milik seorang pejuang BRN yang telah diculik dan diseksa, dakwa kumpulan pemberontak itu. 

“BRN mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan BRN. Tindakan itu adalah pencabulan langsung terhadap Konvensyen Geneva,” menurut BRN dalam kenyataan yang dihantar kepada BenarNews pada 19 Okt.

Komander tentera bagi wilayah sempadan selatan Thailand menafikan dakwaan itu dan berkata mayat itu bukan milik Zahri bin Abdullah (juga dikenali sebagai Yahree Dueloh), pejuang BRN yang berusia 42 tahun, seperti yang dikenal pasti oleh kumpulan pemberontak itu.

“Pemeriksaan cap jari mayat itu menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai hubungan dengan keluarga [Yahree Dueloh]. Kedua-duanya [si mati dan Yahree] adalah orang yang berbeza,” kata Leftenan Jeneral Santi Sakuntanak kepada BenarNews melalui mesej teks pada Jumaat.

Sementara itu, seorang aktivis tempatan berkata organisasi beliau telah mendokumenkan enam penculikan rentas sempadan sejak sedekad lalu termasuk pada akhir September lepas membabitkan lelaki yang ditemukan di Sungai Kolok dua hari kemudian.

Menurut sumber yang rapat dengan BRN, Yahree berkhidmat sebagai ketua sayap pemuda kumpulan pemberontak itu di Narathiwat, antara wilayah di Selatan Thailand, dan telah menetap di utara Malaysia.

“Kami mungkin perlu menggali semula mayat itu dan memeriksanya sekali lagi [untuk melihat] mayat itu milik siapa,” kata Santi. “Namun para pegawai telah mengesahkan bahawa ia bukan mayat Yahree. Apapun, kita perlu menunggu polis mengesahkannya [identity mayat itu].”

Para pegawai polis tempatan bagaimanapun belum memberi maklum balas kepada pertanyaan BenarNews sama ada identiti mayat itu sudah dikenal pasti selepas kenyataan Santi minggu lepas.

Menurut Arfan Wattana, setiausaha Patani iaitu sebuah kumpulan aktivis tempatan, mayat Yahree telah ditemukan terapung di Sungai Kolok di bahagian sempadan Thailand pada 29 Sept.

Pada Khamis, isteri Yahree berkata tiada keraguan lagi bahawa mayat itu adalah milik suaminya namun ahli keluarga mangsa tidak membenarkan ia dibedah siasat untuk pemeriksaan lanjut. Katanya beliau mengenal pasti mayat itu dengan mengecam satu parut yang tersendiri.

“Beberapa hari lepas, para pegawai telah menziarahi kami dan meminta kami untuk ke balai polis serta meminta izin untuk menggali kubur arwah. Tetapi saya telah menolaknya. Itu mayat dia. Saya boleh ingat parut di kakinya,” kata Nuraining Deromae kepada BenarNews dalam satu temu bual telefon.

“Saya tidak mempunyai keraguan bahawa itu adalah mayat dia, Saya pasti. Bagaimanapun, pendakwaan perlu diteruskan,” katanya.

Contoh darah daripada mayat itu telah dihantar ke Universiti Prince of Songkla untuk ujian DNA namun hasilnya belum diketahui, kata Arfan dan Nuraining.

‘Di mana dia sekarang?’

Sementara itu, ketua panel yang mewakili BRN dalam rundingan damai yang dipelopori Malaysia dengan Thailand tetap bertegas bahawa lelaki yang mayatnya ditemukan dalam sungai itu adalah milik anggota kumpulan pemberontak tersebut yang hilang.

Katanya kenyataan beliau minggu lepas bahawa identiti Yahree telah dikenal pasti melalui ujian DNA adalah berdasarkan kepada “maklumat yang diterima pada masa itu.”

Selain itu, BRN mempercayai maklumat yang dikongsikan oleh keluarga Yahree berbanding sumber lain, kata Anas tanpa mengulas lanjut.

Pegawai BRN itu amat lantang bersuara.

“Jika pihak tentera mengatakan bahawa ia bukan milik Yahree, di mana dia sekarang? Dia kini tidak berada di Malaysia mahupun Thailand,” katanya.

 

Zahri bin Abdullah (juga dikenali sebagai Yahree Dueloh) dalam foto tidak bertarikh yang diedarkan oleh para pegawai Thailand.
Zahri bin Abdullah (juga dikenali sebagai Yahree Dueloh) dalam foto tidak bertarikh yang diedarkan oleh para pegawai Thailand.

Patani telah menyiasat lima kes penculikan rentas sempadan lain sejak 10 tahun lepas selain kes Yahree, menurut Arfan. 

“Terdapat lima insiden di mana kami memiliki beberapa petunjuk yang membuktikan bahawa beberapa pegawai Thailand dan Malaysia yang bersikap penyangak terlibat. Bagaimanapun bagi kes ini, kami tidak mempunyai petunjuk mengenai pelakunya,” katanya kepada BenarNews dalam satu temu bual melalui telefon.

Sementara itu, pertempuran terus berlaku di Selatan Thailand selepas BenarNews melaporkan buat pertama kali penemuan mayat itu.

Pada 21 Okt, lima anggota tentera Thailand cedera dalam insiden pengeboman di pinggir jalan yang meninggalkan kawasan berbentuk kawah (seperti dalam gambar) di Chanae, sebuah daerah di Narathiwat.

Pada Selasa, dua anggota polis telah ditembak dan mengalami kecederaan manakala seorang suspek pemberontak terbunuh semasa insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Thailand yang mengelilingi rumah suspek di Thepha, sebuah daerah dalam wilayah Songkhla, kata pihak berkuasa.    

Sejak puak pemisah menghidupkan semula pemberontakan di Selatan Thailand pada Januari 2004, sekurang-kurangnya 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 cedera dalam keganasan di seluruh wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu, menurut data yang dikemas kini sehingga Mac 2022 oleh Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Matahari Ismail menyumbang kepada laporan ini dari Narathiwat, Thailand.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.