Waris sifatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine kembalikan memori hitam MH17

Muzliza Mustafa dan Nisha David
2022.07.15
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
coffin.jpg

Mohamed Salleh menyentuh keranda anak perempuannya, Nur Shazana, seorang pramugari Malaysia Airlines dan merupakan antara 298 orang yang maut apabila penerbangan MH17 terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine, semasa upacara pengebumian di Putrajaya, Malaysia, 22 Ogos 2014. [Mohd Rasfan/AFP]

army.jpg

Anggota tentera membawa keranda seorang mangsa rakyat Malaysia, yang terkorban dalam tragedi penerbangan MH17 ditembak jatuh, dari ruang kargo sebuah jet selepas ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 22 Ogos 2014. [AFP]

judge.jpg

Hakim Hendrik Steenhuis (kanan) yang mengetuai panel yang mendengar perbicaraan kes itu bersama hakim lain dan beberapa peguam melihat bangkai pesawat Malaysia Airlines penerbangan 17 yang dibina semula di Pangkalan Udara Gilze-Rijen, Belanda, 26 Mei 2021. [Peter Dejong/Pool/AP]

shoe.jpg

Sebelah kasut kelihatan berhampiran timbunan bangkai pesawat penerbangan MH17, dua hari selepas ia terhempas di sebuah padang yang dipenuhi bunga matahari di timur Ukraine, 19 Julai 2014. [Dominique Faget/AFP]

Waris rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat ditembak jatuh di ruang udara Ukraine oleh pejuang pemisah yang disokong oleh Rusia lapan tahun lepas menyambut ulang tahun insiden itu dalam kepedihan baharu apabila wilayah di mana nahas itu berlaku kini terlibat dalam peperangan yang telah meragut berpuluh-puluh ribu nyawa.

Ammar Syarif berkata pencerobohan oleh Rusia ke atas Ukraine telah mengembalikan perasaan seakan tidak percaya susulan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan 17 ditembak jatuh di ruang udara wilayah Donetsk di utara Ukraine, berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Bapanya, penyelia penerbangan Malaysia Airlines Mohd Ghafar Abu Bakar, adalah antara 283 penumpang dan 15 anggota kru yang menaiki pesawat malang Boeing 777 itu.

“Adakah mereka tidak mengambil iktibar daripada insiden itu? Semua keganasan ini dan peperangan, hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat,” kata Ammar.

“Apa yang berlaku kepada MH17 mungkin berulang. Negara yang berbeza, orang yang berbeza, mungkin. Tapi saya harap ia tidak akan berlaku,” kata Ammar kepada BenarNews. “Saya tidak boleh menyalahkan Rusia sahaja, Ukraine turut memainkan peranan. Ini tidak akan berlaku jika tiada konflik antara kedua-dua negara.”

Penerbangan MH17 telah berlepas dari Amsterdam dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur apabila sebutir peluru berpandu menembak jatuh pesawat itu, yang terhempas di sebuah padang yang dipenuhi bunga matahari di sebuah kampung di Donetsk.

pilot.jpg
Penyelia penerbangan Malaysia Airlines Mohd Ghafar Abu Bakar terkorban apabila sebutir peluru berpandu buatan Rusia terkena penerbangan MH17 di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai 2014. [Foto ihsan ahli keluarga]

Noraini Mohd Noor, yang kehilangan kakaknnya, Rahimah Mohd Noor, meluahkan kebimbangan sama.

“Kini, dengan tercetusnya peperangan antara Rusia dan Ukraine, terdapat kemungkinan berlaku lagi tragedi seperti MH17,” katanya kepada BenarNews.

Kesakitan kedua-dua keluarga bertambah parah apabila mereka menerima barangan milik orang tersayang yang ditemukan di lokasi pesawat itu terhempas.

“Kami menerima sebuah kotak kira-kira setahun selepas tragedi itu, saya rasa. Ia mengandungi tanda nama ayah saya,  baju kemeja dan buku keselamatan beliau antara lain,” kata Ammar.

“Saya cam kemeja itu kerana kami selalu melihat apa yang beliau bawa setiap kali melakukan perjalanan. Sehingga hari ini, kotak itu masih belum dibuka. Ibu saya enggan membukanya. Saya hormati keputusan beliau.”

Noraini berkata kakaknya telah membelikan hadiah untuk ahli keluarga kerana beliau merancang untuk menghabiskan masa selama tiga bulan di Malaysia berbanding kunjungan biasa selama dua minggu sebelum itu.

“Selepas tidak berjumpa kami selama enam tahun, beliau memenuhi mengisi bagasinya dengan cenderamata untuk kami – kebanyakannya adalah pakaian,” katanya. “Tetapi semasa ia dikembalikan kepada keluarga, kami memutuskan untuk tidak menyimpan apa-apa. Kami biarkan suami dan dua anaknya mengambil semua itu. Ia adalah keputusan kami sekeluarga.

“Katanya beliau ingin baiki rumah ibu, beliau ingin berikan sedikit derma untuk anak yatim dan mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama kami,” katanya.

flowers.jpg
Presiden Ukraine ketika itu Petro Poroshenko (kanan) dan Kees Klompenhouwer, yang merupakan Duta Besar Belanda ke Ukraine, melutut di depan timbunan bunga bagi memperingati mangsa MH17di Kedutaan Belanda di Kyiv, 21 Julai 2014. [AFP/Perkhidmatan Akhbar Presiden/MykhayloMarkiv]

Rahimah, penjawat awam yang bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, telah dihantar ke pejabat di Geneva tiga dekad sebelum itu di mana beliau bertemu dan berkahwin dengan suaminya serta mempunyai dua orang cahaya mata. Noraini berkata beliau rapat dengan kakaknya itu.

“Kami bercakap di telefon empat kali seminggu. Setiap perbualan boleh bertahan sehingga berjam-jam. Beliau suka bercakap mengenai keluarganya, masanya di Geneva dan saya suka mendengar cerita beliau,” kata Noraini.

“Dan ya, beliau akhirnya kembali ke tanah air, untuk selamanya, apabila mereka membawa jasadnya yang sudah tidak bernyawa untuk dikebumikan di tempat kelahiran kami di Ipoh, Perak.”

court.jpg
Hakim Hendrik Steenhuis (dua dari kanan) yang mengetuai panel perbicaraan serta hakim lain mendengar keterangan seorang wanita yang kehilangan bapa dan ibu tirinya apabila penerbangan MH17 terhempas di Ukraine, 6 Sept 2021. [Peter Dejong/AP]

Tindakan mahkamah

Pada Jun, perbicaraan tiga rakyat Rusia dan seorang rakyat Ukraine berakhir selepas dua tahun. Keempat-empat individu dikaitkan dengan sebutir peluru berpandu, yang ditembak daripada pelancar dari atas sebuah trak ke arah Ukraine dan ia kemudian dikembalikan ke sebuah pangkalan tentera Rusia setelah peluru itu menjatuhkan MH17.

Hakim Hendrik Steenhuis berkata paling awal, keputusan kes itu akan diumumkan pada akhir November, menurut laporan media. Pada 2018, sebuah pasukan siasatan jenayah antarabangsa yang diterajui Belanda secara rasmi merumuskan bahawa peluru berpandu itu berasal dari sebuah unit ketenteraan antipesawat Rusia.

missile.jpg
Anggota pasukan siasatan bersama membentangkan keputusan awal siasatan jenayah ke atas insiden penerbangan MH17 ditembak jatuh di Nieuwegein, Belanda, 28 Sept 2016. [Emmanuel Dunhand/AFP]

Pada awal tahun ini, Australia dan Belanda telah memulakan prosiding perundangan terhadap Persekutuan Rusia di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Dalam satu siaran akhbar pada 14 Mac, kerajaan Australian berkata Rusia enggan berunding dengan kedua-dua negara selepas menarik diri daripada rundingan pada Oktober 2020.

“Keengganan Persekutuan Rusia untuk mengambil tanggungjawab bagi peranannya menjatuhkan Penerbangan MH17 adalah tidak boleh diterima dan kerajaan Australia sentiasa berkata ia tidak akan megetepikan sebarang pilihan perundangan demi menegakkan keadilan,” menurut kenyataan itu.

“Meskipun kita tidak boleh menghapuskan duka mereka yang kehilangan orang tersayang yang terkorban akibat tindakan Rusia, kerajaan Australia akan melakukan segalanya bagi memastikan Rusia dipertanggungjawabkan atas tragedi ngeri ini agar ia tidak akan berulang.”

Agensi berita rasmi Bernama di Kuala Lumpur pula melaporkan bahawa Malaysia telah bersetuju untuk turut serta dengan Australia dan Belanda.

“Saya menyokong keputusan kita untuk mengambil bahagian dalam saman itu,” kata Ammar mengenai tindakan perundangan itu.

Noriani pula berkata beliau sememangnya tidak menjangkakan apa-apa dari Moscow, yang menceroboh Ukraine pada 24 Feb dan menakluki sebahagian besar kawasan Donbas, menurut laporan berita.

“Saya tahu mereka [Rusia] tidak akan mengaku bahawa mereka yang melakukannya. Apa lagi yang boleh kita buat jika orang tidak mahu mengaku bahawa mereka bersalah? Tiada apa-apa. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Anda juga tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Azmi Hassan, felo kanan Nusantara Academy for Strategic Research, sebuah badan pemikir di Selangor, pula mempertikai penglibatan Malaysia dalam prosiding perundangan itu kerana ia tidak membabitkan pihak yang sedang berunding dengan Rusia.

“Tindakan mahkamah ini adalah hasil keputusan Rusia untuk berhenti berunding. Malaysia bukan sebahagian daripada pihak yang berunding. Saya tidak rasa ia adalah satu keputusan yang bijak untuk kita menjadi sebahagian daripada tindakan perundangan itu buat masa ini,” katanya kepada BenarNews.

Kerajaan Malaysia perlu bersikap neutral, kata Azmi.

“Isu MH17 telah digunakan sebagai alat geopolitik oleh beberapa negara terhadap Rusia dan oleh Rusia terhadap negara lain, jadi Malaysia telah melakukan yang sebaik mungkin untuk tidak terjebak dalam permainan geopolitik ini,” katanya. “Kita perlu mengambil pendirian yang neutral sehingga kita mempunyai bukti konkrit bahawa Rusia terlibat secara langsung dalam isu MH17 dan mengambil pendirian serupa dalam isu perang Rusia-Ukraine – iaitu kita perlu menjadi seneutral yang mungkin.”

Pada Ahad ini, Noriani dan keluarganya akan memberikan tumpuan kepada Rahimah.

“Kami tidak pernah gagal melakukan sesuatu yang istimewa untuknya setiap tahun. Kami adik-beradik akan berkumpul dan melakukan solat khas untuknya serta membacakan doa-doa khusus kepada beliau,” katanya.

candles.jpg
Rakyat Malaysia berhimpun di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur untuk acara memperingati mangsa MH17, 18 Julai 2014. [Nicolas Asfouri/AFP]

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.