Pihak Berkuasa Thai Cekup Ketua Didakwa Terlibat Dalam Jual Beli Gading, Pasport Haram


2015.03.20
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
150320-TH-MY-crime-620 Pihak polis Thailand mengatur gading yang dirampas semasa satu sidang akhbar di Bangkok, 19 Mac, 2015.
AFP

Pada minggu ini, pihak berkuasa Thailand berjaya membanteras jenayah antarabangsa di negaranya dengan penangkapan dua orang Asia Tenggara yang didakwa mengendalikan kumpulan penyeludupan gading Afrika, dan juga memberkas seorang lelaki Iran yang disyaki mengendalikan salah satu kumpulan pasport palsu yang paling besar di negara itu.

Pada hari Khamis, pihak berkuasa Thai telah memberkas dua orang ketua yang didakwa menjalankan perdagangan gading rentas negara.

Mereka yang ditahan dikaitkan dengan rampasan 51 gading Afrika bernilai kira-kira 5.8 juta baht (AS $176,000) pada 31 Disember di wilayah timur laut Surin, Associated Press melaporkan dengan memetik polis negara Thailand sebagai berkata.

Suspek yang ditahan dikenali sebagai Boon Ching Teo, rakyat Malaysia berusia 51 tahun, dan Sirichai Sridanont, rakyat Thai berusia 50 tahun, dituduh berdagang gading Afrika dan menyeludup barang gelap tersebut merentasi sempadan selatan Thailand, AP memetik ketua polis negara Jeneral Somyot Pumpanmuang sebagai berkata.

Jika disabit bersalah, kedua-dua mereka akan dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun.

Negara Thailand, yang merupakan salah satu pasaran utama di Asia bagi penyeludupan gading yang diperoleh daripada pemburuan gajah Afrika dan badak, menghadapi risiko akan dikenakan sekatan kerana tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam memerangi penyeludupan seperti itu, mengikut laporan AP.

Pada hari Jumaat, pejabat Asia Tenggara TRAFFIC, sebuah rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar global, memuji pihak berkuasa Thai dengan penangkapan yang dibuat.

"Kami gembira melihat usaha penguatkuasaan positif yang dilakukan oleh Thailand dalam beberapa bulan kebelakangan ini," kata pengurus program serantau TRAFFIC Kanitha Krishnasamy, yang berpangkalan di Selangor, Malaysia, dalam satu kenyataan akhbar.

TRAFFIC juga melaporkan satu pengumuman yang dibuat sehari lebih awal oleh James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, yang berkata bahawa pegawai-pegawai kastam telah merampas 4,624 gading gajah dari tahun 2011 hingga 2014.

Timbalan menteri itu juga mendedahkan bahawa dua rakyat Malaysia dan seorang warga China telah disabitkan bersalah di bawah undang-undang negara kerana memiliki dan berniaga gading haram, kata TRAFFIC.

Rakyat negara China itu dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dan denda 250,000 ringgit (AS $76,000) kerana memiliki dan mengeksport 16 gading; salah seorang rakyat Malaysia itu telah didenda 200,000 ringgit (AS $60,000) atau 36 bulan penjara kerana memiliki sembilan gading gajah; dan seorang rakyat Malaysia lagi didenda RM2,000 (AS $610) kerana memiliki dua gading gajah, mengikut laporan TRAFFIC.

Memudahkan perjalanan haram

Pada hari Rabu, pihak polis Thai mengumumkan penangkapan seorang warganegara Iran, yang dikenal pasti sebagai Murel Gurat, berusia 45 tahun, AP melaporkan.

Selama lebih daripada satu dekad, dia telah mengendalikan salah satu kumpulan pemalsuan pasport terbesar di negara itu dan penangkapan dia merupakan hasil daripada siasatan dua tahun, AP memetik pihak berkuasa sebagai berkata.

Gurat ditahan pada hari Ahad dalam satu serbuan di perairan wilayah Chonburi.

Pihak polis dan pegawai-pegawai di Jabatan Siasatan Khas merampas peralatan pemalsuan dan 1,053 pasport daripada lebih 60 buah negara yang dicuri, AP memetik polis Kol Songsak Raksaksakul, pesuruhjaya agensi untuk jenayah rentas negara itu, sebagai berkata.

"Anda tidak pernah melihat lebih daripada 1,000 pasport daripada 65 buah negara yang hilang muncul di satu tempat yang sama. Ini ialah bukti yang menunjukkan bahawa rangkaian ini mempunyai hubungan dengan kumpulan-kumpulan lain di seluruh dunia," Songsak berkata dalam satu sidang akhbar.

Kebanyakan pasport palsu atau dicuri itu milik rakyat Eropah. Kumpulan yang diketuai oleh Murel itu membeli dan mengubah suai pasport bagi mereka yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke negara dunia ketiga atas sebab-sebab haram, AP memetik pegawai berkuasa sebagai berkata.

Pihak berkuasa Thai sangat bimbang pasport palsu jatuh dalam tangan pengganas dan mereka yang terlibat dalam jenayah merentasi sempadan.

Di Indonesia, sebagai contoh, empat lelaki Uyghur dari wilayah Xinjiang China didakwa mempunyai hubungan dengan militan Negara Islam (IS) sedang dalam penahanan and menunggu perbicaraan atas tuduhan pungutan derma bagi membantu radikal Indonesia melakukan perjalanan ke luar negara untuk menyertai kumpulan pejuang jihad itu.

Keempat-empat mereka dituduh menggunakan pasport palsu Turki yang dibeli di Thailand untuk memasuki Indonesia secara haram melalui Malaysia.

Gurat sedang menghadapi pelbagai tuduhan, termasuk pemalsuan pasport dan dokumen palsu, dan juga menerima harta curi, AP melaporkan. Kesalahan-kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.