Apa kata DeepSeek tentang Laut China Selatan?

Tidak banyak. Aplikasi AI buatan China ini mengelak daripada bincang topik yang "sensitif".
Staf RFA
2025.01.30
Apa kata DeepSeek tentang Laut China Selatan? Logo DeepSeek dipaparkan bersama aplikasi Chatbot AI pada telefon bimbit dalam gambar yang dirakamkan pada 28 Januari 2025.
[Florence Lo/Reuters]

Model kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka buatan China, DeepSeek dan Chatbot yang baru dilancarkan mencetuskan gelombang dan perbualan hangat dalam dunia teknologi global hingga menyebabkan harga saham syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) jatuh merudum.

Namun adakah DeepSeek benar-benar memberikan jawapan yang baik dalam topik yang dibincangkan oleh Radio Free Asia dan BenarNews? Kami memutuskan untuk menguji pengetahuannya tentang Laut China Selatan.

"Apa itu Laut China Selatan?"

DeepSeek memberikan jawapan dengan pantas: "Laut China Selatan adalah laut marginal yang merupakan sebahagian daripada Lautan Pasifik, merangkumi kawasan dari Selat Singapura dan Selat Melaka hingga Selat Taiwan."

Setakat ini, ia kelihatan baik.

Chatbot itu kemudian menjelaskan bahawa Republik Rakyat China "menuntut sebahagian besar laut dalam 'Sembilan Garis Putus-Putus' dan tuntutan ini dicabar oleh negara-negara lain di rantau ini serta 'tidak diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa terutamanya selepas Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda pada 2016 memutuskan bahawa tuntutan China itu tidak mempunyai asas undang-undang di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)."

Namun, jawapan itu hilang hampir serta-merta dan digantikan dengan pemakluman: "Maaf, perkara itu di luar skop saya sekarang. Mari kita bincangkan perkara lain."

Kami terus mengajukan soalan lain mengenai Laut China Selatan seperti "Berapakah jumlah pulau buatan yang dimiliki China?" "Di mana Terumbu Thomas Kedua?" dan "Apa yang sedang berlaku antara China dan Filipina di Laut China Selatan?"

Chatbot itu terus bertegas bahawa ia "tidak pasti bagaimana untuk memberikan jawapan kepada soalan tersebut", sebaliknya berulang kali mencadangkan agar pengguna beralih topik agar "berbual tentang matematik, pengkodan dan masalah logik!"

"Saya tidak terkejut," kata Greg Poling, seorang penganalisis maritim dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington mengenai kandungan AI dari DeepSeek.

"Saya tidak boleh menganggap diri saya sebagai pakar dalam pembelajaran mesin, tetapi saya rasa DeepSeek akan menghindari semua topik yang dianggap 'sensitif' di China," kata Poling.

"Cuba tanya tentang Tibet!" tambah Poling, merujuk kepada wilayah yang terkenal dengan pertikaian mengenai kedaulatan dan autonominya dengan China.

Kayla Blomquist, pengarah Oxford China Policy Lab, memberitahu BBC bahawa setakat ini kerajaan China secara dasarnya "tidak campur tangan" dengan aplikasi DeepSeek, tetapi keadaan itu mungkin berubah setelah Beijing mengumumumkan pelaburan besar dalam syarikat itu pada minggu lalu.

deepseek2.jpeg
Tangkap layar jawapan diberikan oleh DeepSeek kepada soalan-soalan mengenai Laut China Selatan yang diajukan BenarNews, 28 Januari 2025. [RFA]

Penapisan politik

Dibangunkan oleh sebuah syarikat China berpangkalan di Hangzhou, di tenggara China, aplikasi DeepSeek berkemungkinan akan tertakluk kepada peraturan kerajaan China, termasuk undang-undang berkaitan kandungan, privasi data dan penapisan politik yang ketat.

Pengguna telah melaporkan kesukaran mendapatkan maklumat tentang topik-topik sensitif seperti protes Tiananmen pada 1989 atau kemerdekaan Taiwan.

Laut China Selatan merupakan isu geopolitik yang kompleks melibatkan pertikaian wilayah, ketegangan ketenteraan dan tuntutan bertindih oleh negara-negara pesisir termasuk China.

Penganalisis mengatakan memandangkan laluan perairan itu merupakan salah satu kepentingan utama Beijing, ia turut disenaraikan sebagai "sangat sensitif" oleh pasukan penapisan.

DeepSeek akan berusaha untuk mematuhi peraturan kerajaan China walaupun di luar negara bagi mengekalkan akses di pasaran republik itu, kata penganalisis.

Beroperasi dengan kaedah yang sama dengan ChatGPT yang dibantu AI dari AS, DeepSeek mendakwa telah membangunkan aplikasi itu dengan kos yang jauh lebih rendah dan ia percuma untuk sebahagian besar pengguna.

Persoalannya, adakah ia memberikan cabaran besar besar kepada OpenAI, pembangun ChatGPT pada tahap pembangunannya sekarang?

Untuk soalan itu, kami bertanya kepada ChatGPT dan ini jawapannya:

"Tidak sama sekali! DeepSeek dan saya [ChatGPT] mempunyai tujuan dan pendekatan yang berbeza. Aplikasi seperti DeepSeek mungkin pakar dalam sesuatu yang lain sepenuhnya, seperti pencarian data lanjutan atau tugas teknikal tertentu," kata Chatbot OpenAI. "Anggap saja ia seperti kerja berpasukan berbanding persaingan!"

Laporan ini dihasilkan Radio Free Asia (RFA), sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.