Dua Sindiket Pengedaran Dadah Tumpas, $4.18 Juta Dadah Dirampas

Ali Nufael
2019.05.31
Kuala Lumpur
190531-MY-police-620.jpg Anggota polis Malaysia berkawal di luar lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, 12 Mei 2018.
AFP

Polis Malaysia merampas sejumlah 135 kilogram dadah pelbagai jenis dan 93.25 kilogram bahan kimia bagi tujuan memproses dadah bernilai 17.38 juta ringgit (AS$4.18 juta) dalam operasi dua hari awal minggu ini, kata pemangku ketua polis bahagian narkotik pada Jumaat.

Rampasan itu dibuat daripada dua sindiket tempatan yang aktif di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan negeri jiran Selangor dalam tempoh tiga bulan ini.

Selain rampasan itu, pihak polis turut menahan 10 individu yang merupakan ahli sindiket terbabit untuk siasatan, menurut Pemangku Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Kamarul Zaman Mamat.

“Kesemua yang ditahan berumur antara 28 hingga 69 tahun,” kata beliau dalam satu sidang akhbar pada awal hari ini.

Dadah yang dirampas ialah metamfetamin seberat 84.2 kilogram, serbuk Eramin 5 seberat 51 kilogram dan cecair kimia memproses dadah seberat 93.25 kilogram.

Menurut Kamarul Zaman sebahagian besar dadah yang dirampas ditemui dalam serbuan kedua di makmal memproses dadah di Kajang, Selangor pada 29 Mei.

"Serbuan dilakukan pada 28 dan 29 Mei di Cheras dan Kajang. 10 lelaki ditahan dan mereka berusia lingkungan 28 hingga 69 tahun."

"Dalam serbuan pertama di Cheras, kami menahan tujuh individu daripada sindiket pertama dan merampas 20.7 kilogram syabu."

"Keesokan harinya, kami menjalankan operasi di Kajang dan menjumpai makmal pemprosesan dadah yang digunakan oleh sindiket ini berserta dadah yang telah diproses. Tiga lelaki turut ditahan," katanya.

Tambah Kamarul Zaman lagi, pihak polis turut merampas 10 buah kereta, antaranya Toyota Vellfire, Volkswagen Jetta, Mazda 6 dan Lexus.

Nilai kenderaan yang dirampas adalah kira-kira 1.5 juta ringgit (AS$357,800).

Menurut Kamarul Zaman, seorang daripada suspek yang ditahan dalam serbuan kedua merupakan bekas banduan yang pernah dihukum penjara berkaitan kes dadah.

Menurut beliau lelaki berusia 69 tahun itu pernah ditahan pada 2004 di Semenyih.

"15 tahun dahulu, beliau hanya seorang "runner" yang akan mengedar dadah dan beliau juga sudah dijatuhi hukuman penjara dan sudah dibebaskan."

"Sekarang, beliau bukan lagi "runner" akan tetapi sudah "graduate" dan menjadi ahli kimia bagi memproses dadah sintetik," kata Kamarul Zaman kepada media.

Pada sidang media itu juga, Kamarul Zaman mendedahkan bahawa pihak polis turut menjumpai wang tunai berjumlah 200,000 ringgit (AS$47,708).

Polis juga percaya serbuk Eramin 5 seberat 84.2 kilogram itu mampu menghasilkan sejumlah 421,000 biji pil dan menampung 700,000 penagih dadah.

"Kami percaya bahawa hasil dadah ini akan disalurkan ke pasaran dadah tempatan dan antarabangsa," kata beliau yang tidak mendedahkan negara terbabit.

Antara dadah yang dirampas itu ada yang dibungkus dalam paket teh Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk proses penghantaran ke luar negara.

Menurut Kamarul Zaman lagi, sindiket yang mengendalikan makmal dadah itu turut menggunakan penapis udara bagi menapis bau yang dihasilkan agar tidak mendatangkan kecurigaan dalam kalangan jiran berdekatan.

Kesemua suspek yang ditangkap telah ditahan reman selama enam hari sehingga 3 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata pihak polis kini memburu saki-baki sindiket berkenaan.

Pihak berkuasa Malaysia pada Mac turut menumpaskan satu sindiket yang dipercayai menjadikan negeri di selatan tanah air, Johor, sebagai pusat transit dadah bagi pasaran antarabangsa selepas merampas lebih 2.06 tan syabu bernilai kira-kira 103.2 juta ringgit (AS$25.3 juta) dalam satu operasi, demikian menurut Mohmad Salleh yang merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman ketika itu.

Beliau berkata dadah itu dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut dari kawasan Segi Tiga Emas(Thailand, Myanmar dan Kemboja) dan telah dibungkus semula di Malaysia sebelum dieksport ke tujuh negara lain.

“Kami percaya sindiket ini baru sahaja bergiat sejak 2 minggu lalu dan menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membawa masuk dadah dari negara Segi Tiga Emas sebelum membungkusnya semula di beberapa buah makmal mini untuk pasaran tempatan dan juga di negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand,” kata Mohmad dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor Bahru, Johor.

Menurut Mohmad, dadah dipercayai jenis Syabu itu mampu menampung keperluan 10.3 juta penagih di rantau tersebut.

Dadah yang dirampas pada bulan Mac itu turut dibungkus dalam paket teh Cina.

Kejayaan itu merupakan yang kelima buat pasukan polis dalam melakukan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Minggu sebelumnya, polis menahan tujuh anggota satu lagi sindiket yang turut memasarkan dadah bagi pasaran antarabangsa serta merampas dadah bernilai hampir sejuta ringgit (AS$238,720) di Johor Bahru.

Pihak polis merampas sejumlah 15.15 kilogram dadah dipercayai syabu, 380 gram kokain dan 50.3 gram ekstasi.

Beliau berkata semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai 850,000 ringgit (AS$202,912) dan menyita empat kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Vellfire, Honda Civic dan PROTON Waja serta pelbagai barang kemas dan jam tangan mewah selain pelbagai mata wang dalam bentuk tunai bernilai 429,600 ringgit (AS$102,564) seperti dilaporkan agensi berita rasmi Bernama.

Pada 26 Feb pula, polis merampas sejumlah 72,000 pil yaba, 290 botol heroin dan syabu seberat 2.7 kilogram bernilai 1.15 juta ringgit (AS$274,556) selain menyita tiga kenderaan di Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, pada 3 Feb, polis menahan tiga individu dan merampas dadah jenis ketamin bernilai 5.6 juta ringgit (AS$1.33 juta)dalam dua serbuan di Persiaran Jengka dan Sungai Buloh, Selangor.

Pada Januari pula, polis menahan lapan orang dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai 2.93 juta ringgit (AS$699,522) selepas menumpaskan dua sindiket dadah dalam operasi berasingan di Johor dan Perak, termasuk sindiket mengedar dadah dalam penjara.

Pada penghujung 2018, Kementerian Dalam Negeri mendedahkan bahawa Kelantan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang mendahului senarai penyalahgunaan dadah selain mencatat jumlah penagih paling tinggi mengikut nisbah penduduk sepanjang 2018.

Menterinya Muhyiddin Yassin berkata Kelantan merekodkan sejumlah 16,918  penagih diikuti Pahang (16,150), Selangor (13,123), Johor (13,003)  dan Terengganu (10,576).

Secara keseluruhan, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah di seluruh negara sejak 2014 hingga September 2018 ialah 133,684 orang iaitu kira-kira 0.40 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.