Pemerdagangan Manusia: Thailand Setuju Ekstradisi 10 Rakyatnya

Hata Wahari
2016.08.30
Kuala Lumpur
160829_MY_TH_Trafficking_1000.jpg Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan (kiri) bersama-sama rakan sejawatannya dari Malaysia Ahmad Zahid Hamidi ketika pertemuan dua hala di Putrajaya, 29 Ogos 2016.
Gambar ihsan dari KDN

Kerajaan Thailand bersetuju mengekstradisi 10 rakyatnya ke negara jiran, Malaysia, yang dipercayai menjadi dalang dalam kes pemerdagangan manusia termasuk perkuburan besar di Wang Kelian, Perlis yang ditemui pihak berkuasa negara itu pada Mei tahun lalu.

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat dua hala di antara Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, Malaysia pada Isnin.

Pegawai Khas Ahmad Zahid, Norzihan Tamdi ketika dihubungi BeritaBenar pada Selasa mengesahkan 10 yang bakal diekstradisi itu merupakan warga Thailand.

Walaubagaimanapun, pihak Thailand tidak memberi pengesahan kewarganegaraan 10 individu terbabit.

Ahmad Zahid selepas pertemuan itu berkata, ekstradisi itu, yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, adalah bagi mengambil tindakan perundangan dan mengheret individu terbabit ke mahkamah di Malaysia.

“Sepuluh individu terbabit yang berusia lingkungan 35 hingga 60 tahun dikenal pasti turut terbabit dengan kes penemuan perkuburan besar di Wang Kelian, Perlis pada Mei tahun lalu dan mereka sangat dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

“Nama 10 individu ini sudah diberikan kepada pihak berkuasa Thailand semasa lawatan saya ke Bangkok awal bulan ini. Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka,’’ kata beliau, seperti yang dilaporkan media tempatan selepas pertemuan dua hala itu.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand berada di Malaysia untuk lawatan kerja sehari.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, sebahagian daripada individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia sudah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

"Namun, ekstradisi ini perlu menjalani beberapa proses dan aspek perundangan serta harus dilihat kesesuaiannya berdasarkan International Transfer of Prisoners," jelasnya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada mesyuarat dua hala itu, Malaysia turut memohon kerjasama Thailand untuk mengenal pasti rakyatnya yang mempunyai dwi-kewarganegaraan bagi mengelak timbul masalah berkaitan isu keselamatan.

Malaysia juga meminta pihak berkuasa Thailand membekalkan cap jari atau biometrik untuk mengenal pasti nama yang mempunyai kerakyatan Thailand dan Malaysia bagi mengelakkan timbul masalah kerumitan berkaitan keselamatan, katanya.

Pada Mei tahun lepas, pihak berkuasa menemui 139 kubur haram dan 106 mayat yang dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh di kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia- Thailand di Wang Kelian.

Awal bulan sama, sebuah perkuburan besar yang mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat, dijumpai di sempadan sebelah Thailand.

Berikutan itu, Thailand melaksanakan tindakan keras keatas penyeludup manusia yang mengakibatkan tercetusnya krisis kemanusiaan dengan kebanjiran hampir 3,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh ke Malaysia dan Indonesia.

Seramai 92 orang termasuk seorang jeneral kini didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Thailand.

Semasa melancarkan  Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang baru-baru ini, Ahmad Zahid menegaskan  Malaysia menyasarkan status Tahap 1 pada tahun 2020 dengan melaksanakan pelan  yang merangkumi penguatkuasaan, perundangan, perlindungan dan publisiti.

Pada Jun lalu, Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia [TIP] 2016 dengan Jabatan Negara itu meletakkan Malaysia pada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian, setahun selepas ia terjebak dalam kontroversi dengan negara Asia Tenggara itu apabila ia menaikkan kedudukannya ketahap itu daripada tahap paling rendah, Tahap 3.

“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum untuk membanteras pemerdagangan manusia, bagaimanapun, ia sedang melaksanakan usaha-usaha penting untuk menangani masalah tersebut,"kata Pejabat bagi Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia jabatan itu dalam laporan tahunannya mengenai keadaan pemerdagangan manusia di seluruh dunia.

Malaysia sabitkan hanya tiga individu

Mahkamah Malaysia setakat ini hanya menjatuhkan hukuman penjara terhadap tiga pesalah, susulan penemuan kubur haram di Wang Kelian pada Mei tahun lepas.

Pada 19 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kangar di Perlis, negeri di utara Malaysia, telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap dua lelaki Myanmar selepas Shahidullah @ Syahidullah dan Momotin @ Dus Mohamad, masing-masing berusia 18 tahun, mengaku bersalah menyeludup seorang pendatang Myanmar yang dikenali sebagai Mohd Belai di Bukit Wang Burma antara Ogos 2014 and Mac 2015.

Shahidullah dan Momotin memberitahu mahkamah bahawa mereka melakukan kerja itu secara terpaksa untuk mengelak daripada dipukul.

Di MahkamahTinggi yang sama pada Jun lalu, seorang lelaki Bangladesh, Nurul Islam, 32, telah dijatuhkan hukuman penjara selama10 tahun selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menyeludup dan memperdagang manusia.

Nurul Islam juga mendakwa dia dipaksa melakukan kesalahan itu oleh seorang ejen sindiket penyeludupan, yang akan memukulnya jika beliau enggan mengikut arahan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.