Pejuang IS Malaysia dan Keluarga di Syria Mahu Pulang Ke Tanah Air: Penasihat Polis

Alfian Z.M. Tahir
2018.06.14
Kuala Lumpur
180614-MY-syria-620.jpg Anggota pasukan keselamatan kerajaan mengawal bas yang membawa para pejuang yang berkaitan dengan al-Qaeda semasa pemindahan mereka dari kem pelarian di Yarmouk, berhampiran Damsyik, Syria, 30 April 2018.
SANA melalui AP

Puluhan rakyat Malaysia yang berhijrah ke Syria untuk menyertai atau berjuang bagi kumpulan Negara Islam kini terdesak untuk pulang ke tanah air kerana keadaan kehidupan yang teruk selain sentiasa membimbangkan nyawa mereka, menurut seorang pakar dalam menangani pengganas dan seorang pegawai kanan polis.

Selepas tumbangnya kubu IS di Timur Tengah, para pejuang IS Malaysia merasa bimbang dengan nyawa mereka dan keluarga yang menyertai mereka di Syria, kata Ahmad El-Muhammady, penasihat Polis DiRaja Malaysia bagi program pemulihan untuk tahanan pengganas kepada BeritaBenar.

"Hasrat mereka semakin memuncak selepas kejatuhan Mosul, Raqqa dan Aleppo. NGO antarabangsa memberitahu polis mengenainya tetapi polis berwaspada kerana bimbangkan aspek keselamatan,"kata Ahmad. "Hari ini senarionya berbeza. Ramai yang telah mati dan banyak pejuang asing telah pun pulang ke tanah air mereka, termasuklah rakyat Malaysia. "

Katanya, beliau mula mendengar tentang kebimbangan itu pada 2016, tetapi akibat rasa takut ditangkap, para pejuang itu dan keluarga mereka mencari perlindungan dengan beberapa NGO di Turki dan Syria.

Ahmad berkata, beliau tidak tahu berapa ramai pejuang Malaysia yang ditinggalkan di Syria. Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas anti-pengganas Polis Malaysia berkata, lebih daripada 48 orang masih berada di negara itu tetapi  beliau tidak dapat memberi jumlah anggota keluarga para pejuang itu.

"Tetapi, apa yang saya tahu, mereka hidup dalam keadaan yang teruk dan mahu pulang ke tanah air. Bukan hanya kerana banyak kubu IS telah dikalahkan, tetapi juga kerana anggota IS yang ditangkap ketika bertempur telah dibunuh dan diseksa, "kata Ahmad.

Katanya, beliau telah melihat gambar sekumpulan pejuang Malaysia yang ditahan di sebuah perkampungan luar bandar di Syria dan terpaksa menjalani kehidupan dengan makanan dan air yang terhad.

"Mereka tidak dibenarkan keluar dari perkampungan dan mereka kelihatan sangat uzur," katanya.

Wanita-wanita itu pula berada di Syria kerana mengikuti suami mereka. "Wanita  berkenaan sayangkan dan mahu menjaga suami mereka. Itulah sebabnya mereka mematuhi apa sahaja yang dikatakan golongan lelaki itu, "kata Ahmad.

Ayob berkata, seorang wanita Malaysia telah meminta bantuan pada Januari lalu supaya dia dan anak-anaknya yang masih kecil dapat pulang ke tanah air setelah suaminya terbunuh dalam pertempuran.

"Dia berharap dapat pulang ke tanah air dan kami sedang mempermudahkan kes itu," katanya kepada BeritaBenar.

Ayob enggan mendedahkan identiti suami wanita itu, dan menyatakan bahawa ia boleh menjejaskan proses penghantaran pulang balu itu dan keluarganya ke Malaysia.

Daripada 11 keluarga yang pergi ke Syria untuk menyertai IS, dan mengisytiharkan kekalifahan mereka, sebanyak enam telah kembali ke tanah air setelah mengalami realiti yang mereka sebut sebagai ‘perang suci’, kata Ayob. Tetapi, di antara lima keluarga yang tinggal itu, separuh daripada mereka tidak mahu pulang ke tanah air, menurut laporan risikan.

Balu dan anak-anak Mohamad Wanndy Mohamad Jedi adalah antara lima keluarga, walaupun para pegawai tidak dapat menentukan sama ada dia ingin pulang ke Malaysia. Wanndy, pengganas yang paling dikehendaki di Malaysia, telah terbunuh dalam serangan udara berhampiran Raqqa pada April 2017.

Beliau mengaku bertanggungjawab bagi serangan bom tangan di sebuah kelab malam di pinggir Kuala Lampur pada Jun 2016, di mana lapan orang cedera dalam satu-satunya tindakan atau yang pertama didakwa dilakukan oleh kumpulan pelampau Negara Islam di bumi Malaysia.

Ekstremis Malaysia yang terakhir terbunuh di Syria, Muhammad Fudhail Omar, adalah pengganti Wanndy. Dia terbunuh dalam serangan udara di Raqqa dua bulan kemudian.

Ayob berkata, seramai 53 rakyat Malaysia masih tinggal di Syria, termasuk lima keluarga berkenaan, tetapi maklumat berhubung pecahan jumlah pejuang bagi setiap keluarga adalah sulit dan tidak didedahkan.

Sejak Februari 2013, Bahagian Cawangan Khas Anti-Keganasan telah menggagalkan 18 plot pengganas dan menahan 310 suspek militan termasuk 21 militan Indonesia.

Perlu laksanakan pemulihan ketat

Penganalisis keselamatan Aruna Dewi Gopinath berkata, kerajaan Malaysia perlu membantu membawa pulang mana-mana warganegara yang masih berada di Syria, tetapi negara berkenaan mestilah menubuhkan program pemulihan yang ketat.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu menjadi seperti militan tertentu di Filipina yang menjalani pemulihan selama beberapa bulan tetapi kemudian bergabung semula dengan kumpulan militan," katanya kepada BeritaBenar.

"Kita mesti mengubah pemikiran mereka. Ia mungkin mengambil masa beberapa tahun tetapi itu satu-satunya cara sebelum kita boleh membiarkan mereka menyertai masyarakat. "

Ahmad bersetuju tentang perkara itu.

"Dari  segi keselamatan, kita boleh mengumpul maklumat berharga daripada mereka selepas mereka kembali," katanya. "Sudah tentu kita perlu melakukan proses pemulihan dan mereka yang kembali mesti ditahan terlebih dahulu dan menjalani proses pemantauan yang ketat supaya mereka tidak akan mengancam orang ramai."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.