Rakyat Bangladesh Bergadai Nyawa Untuk Prospek Lebih Baik Di Luar Negara

Oleh Shahriar Sharif dan Jesmin Papri
2015.05.21
150521-MY-BD-BANGLA620 Pendatang Bangladesh dan Rohingya yang diselamatkan di laut, berehat di tempat perlindungan sementara dalam pusat sukan di Lhoksukon, Indonesia, 13 Mei 2015
AFP

Keadaan kini reda di kawasan tepi sungai di Teknaf, Bangladesh yang penduduk tempatan mengelarkannya sebagai "Lapangan Terbang Malaysia" kerana sejak sekian lama ia dijadikan pintu masuk bagi penghijrahan maritim haram ke arah Asia Tenggara.

Sejak bertahun-tahun lepas, tidak terkira ramainya warga Bangladesh dan etnik Islam Rohingya dari Rakhine, negeri di Myanmar, menaiki bot penyeludup di Teknaf dan 60 tempat berlepas lain di tenggara Bangladesh untuk mengikuti perjalanan laut yang berbahaya demi mencari kehidupan lebih baik di luar negara.

Aktiviti itu berakhir baru-baru ini di tengah-tengah tindakan keras kerajaan terhadap pemerdagangan manusia yang beroperasi di sepanjang sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Namun, pakar-pakar meramalkan aktiviti itu bakal bangkit semula selepas dunia hilang minat terhadap nasib beribu-ribu pendatang yang kini terkandas di laut dan mereka yang telah berjaya mendarat di pantai-pantai Asia Tenggara.

"Masalah ini tidak boleh diselesaikan semalaman, kerana ia sudah berleluasa sejak sekian lama," Tasneem Siddiqui, seorang profesor di Universiti Dhaka dan pengerusi Unit Penyelidikan Pergerakan Pelarian dan Penghijrah, memberitahu BeritaBenar.

"Hakikatnya ialah penghijrahan haram melonjak kerana pencari kerja mendapati sukar untuk ke luar negara secara sah," katanya.

Warga Rohingya melarikan diri ke luar negara kerana penindasan agama dan penafian hak ekonomi di Myanmar, tambahnya. Negara itu mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha

Masalah kesusahan hidup dan malapnya peluang pekerjaan dalam negara menyebabkan rakyat Bangladesh sanggup membayar sejumlah besar wang kepada penyeludup untuk membawa mereka melalui jalan laut ke negara-negara yang lebih makmur, kata pakar.

"Ini terutamanya kerana kekurangan peluang dalam negara yang mendorong mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Malaysia dan Thailand, yang sering menyebabkan mereka lemas, manakala yang bernasib baik untuk hidup sebaliknya mengalami penderitaan yang tidak terperi di…. negara-negara berkenaan," kata Omar Faruk Chowdhury, Pengarah Eksekutif Program Ovibashi Karmi Unnayan (Program Pembangunan Migran) kepada BeritaBenar.

Kesengsaraan Rimba

Kamal Hossain adalah antara rakyat Bangladesh yang menaiki bot penyeludup di “Lapangan Terbang Malaysia” untuk perjalanan ke selatan merentasi Teluk Bengal dan Laut Andaman.

Pada 2013, semasa berumur 22 tahun, Hossain dan beratus-ratus penumpang lain belayar selama lapan hari sehingga bot mereka mendarat di Thailand.

Di sana, para penyeludup membawanya ke dalam hutan dan terus tertakluk kepada penyeksaan kerana mereka menuntut wang tebusan, katanya.

"Selepas kira-kira seminggu, mereka meminta dua taka lakh [AS$2573] daripada keluarga saya jika mahu saya dilepaskan,” kata Hossain kepada BeritaBenar melalui telefon dari Teknaf.

Bapanya yang miskin dapat mengumpul 180,000 taka (AS$2,316), yang dibayar kepada broker di Teknaf.

"Penyeludup kemudian membawa saya ke Malaysia dan meninggalkan saya di sana," kata Hossain.

Di Malaysia, beliau bekerja secara haram dengan bergerak dari satu tempat ke tempat kerana bimbang polis menangkapnya.

Beliau akhirnya mengambil keputusan pulang ke Bangladesh, dan bapanya terpaksa menjual lot terakhir tanahnya untuk membayar tiket kapal terbang itu.

Negara-negara perlu selaras dasar: Pakar

Pemerdagangan manusia dari tenggara Bangladesh telah berlaku sejak dua dekad lepas. Namun, ia meledak pada 2012 apabila penghijrahan beramai-ramai Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan sektaria di Rakhine, melimpah ke seberang sempadan.

Penyeludup manusia mengeksploitasi keadaan.

Mereka mula memujuk Rohingya yang terdesak serta rakyat Bangladesh yang mencari peluang  lebih baik di luar negara untuk pergi ke Malaysia, sebuah negara Islam yang makmur yang pada mulanya bersimpati dengan nasib mereka.

Perdagangan haram melonjak, Malaysia mula mengetatkan sempadannya.

Menurut Tasneem Siddiqui, keadaan menjadi lebih buruk lagi pada 2012 apabila Malaysia berhenti mengambil pendatang sah dari Bangladesh.

Pada hujung tahun itu, kedua-dua negara memeterai perjanjian dengan Malaysia bersetuju menerima 50,000 pekerja asing Bangladesh setiap tahun tetapi hanya 7,000 orang sahaja yang  berhijrah secara sah ke Malaysia sejak itu.

Dalam usaha untuk mencari penyelesaian kekal kepada peningkatan krisis pemerdagangan manusia dan penghijrahan haram, beliau mencadangkan negara-negara terbabit - Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh - menubuhkan sebuah suruhanjaya bersama bagi menangani masalah itu.

"Tugas suruhanjaya ini adalah untuk menggalakkan penghijrahan secara sah supaya lebih ramai rakyat Bangladesh dan Myanmar boleh mencari pekerjaan secara sah di Malaysia dan Thailand," kata Siddiqui.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.