Follow us

RCI Wang Kelian: Buih Sabun di Sungai Bawa Kepada Penemuan Kem Sementara

Radzi Razak
Kuala Lumpur
2019-04-17
E-mel
Komen
Share
Saksi yang dipanggil pada hari pertama pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), ASP Azizie Mohd (tengah)bersama dua saksi lain, Mat Ten (kanan) dan Yusof Islam Hasan (kiri), meninggalkan dewan selepas prosiding pada Rabu berkaitan penemuan kem PATI dan kubur di Wang Kelian di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, 17 April 2019.
Saksi yang dipanggil pada hari pertama pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), ASP Azizie Mohd (tengah)bersama dua saksi lain, Mat Ten (kanan) dan Yusof Islam Hasan (kiri), meninggalkan dewan selepas prosiding pada Rabu berkaitan penemuan kem PATI dan kubur di Wang Kelian di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, 17 April 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Buih sabun di sebatang sungai di hutan terpencil sempadan Malaysia-Thailand telah membawa dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada penemuan kem sementara yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia bagi menempatkan Pendatang Tanpa Izin (PATI) pada 19 Jan 2015, panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dimaklumkan pada Rabu.

Saksi pertama, Koperal Mat Ten dari unit PGA Bidor, Perak yang bertugas di Perlis berkata penemuan jejak manusia di kawasan pembalakan berdekatan Taman Negeri Perlis telah membawa beliau dan pegawai atasan ke kawasan sungai itu.

“Pada 18 Jan 2015, saya menjumpai kesan jejak manusia di kawasan pembalakan itu ke arah Bukit Wang Burma. Saya kemudiannya melaporkan perkara itu kepada pegawai. Tiada pencarian dilakukan pada hari itu tetapi sehari selepas itu, kami mula melakukan pencarian”.

“Jejak itu membawa kami ke satu kawasan curam bukit yang kami terpaksa panjat selama sejam sehingga kami menemui sungai.

“Ada buih di sungai tersebut dan pegawai saya meminta saya menghidunya. Ia berbau seperti sabun. Jadi kami terus menyusuri kawasan sungai dan ternampak seorang wanita dan kemudiannya seorang lelaki (di kawasan) berdekatan.

“Kami membuat keputusan untuk mengekori wanita itu. Jarak kami dan wanita itu agak-agak dalam 10 meter jauh. Kami kemudiannya sampai di satu kawasan terbuka yang mempunyai struktur kayu seperti kedai dan juga empat struktur kayu yang menyerupai menara kawalan,” kata Mat yang bertugas sebagai anggota polis sejak tahun 1978.

Beliau turut menceritakan secara terperinci tentang keadaan kawasan itu kepada panel RCI yang memakan masa selama dua jam.

Mat turut memberitahu panel bahawa beliau dan pegawainya pada awalnya mengesyaki kem itu adalah kem sindiket pengedaran dadah.

Seramai empat saksi dari PGA dipanggil untuk berkongsi informasi berkaitan penemuan kem PATI di sempadan Perlis itu. Sesi RCI yang tamat pada pukul 5 petang akan bersambung selama dua hari lagi iaitu pada Khamis dan 22 April.

Pendengaran awam RCI Wang Kelian pada Rabu berlangsung di hadapan tujuh panel yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria manakala bekas Ketua Polis Negara Norian Mai bertindak sebagai timbalan pengerusi. 

Anggota lain ialah bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Razali Ismail, bekas Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara Noorbahri Baharuddin, bekas Ketua Penyelidik Kamar Peguam Negara Junaidah Abdul Rahman, bekas Duta Besar Malaysia ke Thailand Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Tan Seng Giaw.

Menurut Mat, selepas melihat kawasan itu, beliau dan pegawainya kembali ke Pos Wang Kelian dan memaklumkan hasil penemuan mereka kepada pegawai atasan.

Katanya, sekitar jam 12 tengah hari, satu pasukan terdiri daripada 10 anggota diketuai Mohd Mossadique telah pergi ke lokasi itu semula untuk “peninjauan” lanjut.

“Sebaik sahaja menghampiri kawasan itu, saya ternampak wanita tadi memegang telefon.

“Tiba-tiba terdengar telefon berbunyi seperti mesej masuk dan wanita itu kemudian menjerit polis datang,” katanya.

Katanya, selepas itu sekumpulan individu lari bertempiaran dari kawasan itu dan yang tinggal hanya enam individu yang berada di bahagian pondok berkunci.

Beliau kemudian mengumpulkan beberapa barang seperti buku nota yang mengandungi tulisan Siam, lesen memandu Thailand, sebuah telefon bimbit Nokia, tiga keping kad sim serta pemain VCD dan beberapa keping CD sebelum menyerahkannya kepada Mohd Mossadique.

Mat turut berkata beliau membantu mengangkat seorang daripada enam PATI yang ditahan untuk turun dari tempat itu lantaran keadaannya yang lemah dan tercedera.

“Ada seorang daripada PATI itu fasih berbahasa Melayu dan pernah tinggal di Malaysia selama empat tahun sebelum ini,” kata beliau menceritakan pengalaman tersebut.

Saksi kedua, Yusof Islam Hassan turut bercerita mengenai enam individu itu yang berada dalam keadaan lemah dan berpakaian kotor.

Beliau turut berkata polis terpaksa memecahkan mangga kunci yang merantai kawasan berkenaan dengan tukul yang dijumpai di kawasan itu dan parang yang dibawa untuk membebaskan mereka.

“Saya membuka pagar dengan tukul dan parang. Anggota lain kemudian membawa mereka turun ke pos kawalan Wang Kelian.

“Saya diberitahu oleh Koperal Mat bahawa ada orang yang sudah lari,” katanya sambil menambah keadaan di situ agak kucar-kacir dan ada pagar yang patah, dipercayai akibat dilanggar mereka yang melarikan diri.

Tiada SOP

Sementara itu, prosiding RCI agak tegang apabila saksi ketiga mengaku tiada prosedur operasi standard (SOP) yang beliau tahu berhubung pengendalian PATI.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi RCI Norian Mai mempertikai kenyataan seorang lagi saksi, Mohd Mossaddique, kerana beliau gagal menjawab dengan jelas mengenai prosedur selepas menahan enam PATI terbabit serta tidak bertanya mengenai latar belakang mereka walaupun ada yang boleh berbahasa Melayu.

Norian, yang juga bekas Ketua Polis Negara, turut menegur tindakan Mohd Mossadique sebagai seorang pegawai apabila tidak mengambil maklumat lengkap mereka semasa proses dokumentasi selepas beliau kerap menjawab “tidak pasti” terhadap soalan yang dikemukakan.

“Kenapa tidak pasti? Awak sebagai Inspektor sepatutnya tahu dengan lebih terperinci mengenai kemasukan orang asing,” kata Norian.

Menurut Mohd Mossaddique, beliau juga tidak mendapat taklimat mengenai  kegiatan PATI di tempat itu walaupun telah bertugas selama empat tahun di kawasan tersebut dan sentiasa berkomunikasi dengan pegawai polis daerah serta cawangan khas.

Dalam prosiding itu, Mohd Mossadique berkata bahan bukti yang dirampas dalam insiden tersebut berada dalam simpanannya selama seminggu sebelum diserahkan kepada  Pegawai Tatatertib Asisten Superintenden Azizie Mohd  pada 28 Jan 2015.

Panel turut mempertikai tindakan beliau yang tidak menggunakan borang serah bahan bukti yang menjadi amalan polis dalam mengendali bahan bukti setiap kes.

Azizie, yang juga saksi keempat, berkata beliau kemudian menyerahkan bahan bukti  tersebut kepada Inspektor Jamaluddin Shah dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Pengumuman mengenai RCI ini telah dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bulan lalu dan ia bertujuan mencari kebenaran mengenai penemuan kubur besar pada Mei 2015 yang dipercayai menjadi destinasi terakhir mangsa pemerdagangan manusia kaum Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh serta sindiket yang didalangi rakyat Thailand dan Malaysia.

Lihat Laman Penuh