Follow us

Warga Indonesia Didakwa Rancang Buka Kem Latihan IS di Malaysia

Muzliza Mustafa dan Noah Lee
Kuala Lumpur
2020-01-31
E-mel
Komen
Share
Anggota unit antikeganasan Malaysia mengambil bahagian dalam satu perbarisan polis di Kuala Lumpur, 25 Mac 2017.
Anggota unit antikeganasan Malaysia mengambil bahagian dalam satu perbarisan polis di Kuala Lumpur, 25 Mac 2017.
AP

Mahkamah Malaysia pada Jumaat telah mendakwa seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan militan Negara Islam (IS), sekali gus menjadikan beliau individu pertama diheret ke muka pengadilan tahun ini kerana jenayah berkaitan keganasan.

Individu itu, yang berasal dari Aceh, turut berhasrat membuka sebuah kem latihan militan untuk anggota IS di Malaysia sebelum beliau ditangkap oleh pihak berkuasa, kata sumber yang merupakan pegawai tinggi dalam kerajaan.

Sumber itu berkata Irwanzir, juga dikenali sebagai Abu Ali dan Iskandar, yang bekerja sebagai buruh di Pulau Pinang turut cuba mempengaruhi penyokong IS di Malaysia dalam satu grup aplikasi WhatsApp untuk menyertai beliau berjihad di Indonesia.

“Irwanzir mempunyai niat membuka kem latihan ketenteraan di sini untuk Daesh dan telah memilih hutan serta kawasan berbukit di Batu Gajah dan Ipoh di Perak sebagai lokasi kem. Selain cuba mempengaruhi penyokong Daesh dalam grup Abshorullah At Tauhid, beliau turut cuba mempengaruhi yang lain dalam grup yang dinamakan Sayap Merah, Tauhid dan Ghuroba untuk bersama-sama dengan beliau dalam jihad di Indonesia kerana merasakan ia lebih mudah dilakukan di sana,” kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Selain itu, beliau merancang membunuh sesiapa sahaja yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Allah dan Nabi Muhammad, menurut sumber sambil menambah suspek akan mengenal pasti individu yang berbuat demikian melalui media sosial dan berita.

“Kemudian dia merancang untuk menculik dan membunuh mereka,” kata sumber itu.

Menurut maklumat, Irwanzir yang kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan, telah berbaiah kepada pemimpin IS di Indonesia pada 2017 dan sekali lagi berbaiah bersama-sama ahli grup Anshorullah At Tauhid pada akhir tahun yang sama kepada pemimpin IS iaitu Abu Ibrahim Al Hashimi Al Qurashi di Batu Gajah, Perak.

Irwanzir, yang ditangkap oleh pihak berkuasa pada 6 Jan di Pulau Pinang, didakwa pada Jumaat di bawah Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh dan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang kerana dipercayai melibatkan diri dengan aktiviti berkaitan keganasan serta memiliki bahan-bahan berkaitan keganasan dan IS.

Jika didapati bersalah, Irwanzir boleh dijatuhi hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Norsalha Hamzah. Tiada pengakuan diambil dan Hakim Norsalha menetapkan 5 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Dua didakwa di Perak

Sementara itu, seorang tukang urut dan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing didakwa di Perak atas pertuduhan terbabit dengan kegiatan IS dan memiliki barangan berunsur keganasan dan yang berkaitan kumpulan militan tersebut.

Wan Amirul Azlan Jalaludin, 35, dan Mohamad Ayub Musa, 36, adalah ahli grup WhatsApp Anshorullah At Tauhid.

Mereka didakwa menyokong IS dengan berbaiah kepada kumpulan militan itu di Batu Gajah, Perak.

Wan Amirul turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki barangan berkaitan IS, berbaiah dengan organisasi pengganas itu dan mengeluarkan ancaman terhadap pemimpin tertinggi kerajaan Malaysia.

Kedua-duanya didakwa secara berasingan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh Azman Abu Hassan. Tiada pengakuan direkodkan.

Mereka tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 20 Mac untuk menyebut semula kes itu.

Selain insiden letupan bom tangan pada 2016 yang didalangi Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, anggota IS rakyat Malaysia di Syria yang kemudiannya terbunuh dalam serangan dron setahun selepas itu, Malaysia bebas daripada serangan pengganas tidak seperti jirannya iaitu Indonesia dan Filipina.

Menurut Bernama, pihak berkuasa Malaysia telah berjaya melumpuhkan 25 rancangan serangan pengganas di dalam negara sejak 2013.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, memberitahu Bernama bahawa undang-undang pencegahan memainkan peranan penting dalam membendung keganasan dan tanpa undang-undang tersebut, polis akan berdepan kesukaran untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Undang-undang pencegahan ialah untuk memberhentikan pengganas sebelum mereka melancarkan sebarang serangan,” katanya kepada Bernama.

Lihat Laman Penuh