Follow us

Tentera Indonesia, Malaysia, Filipina Berlatih Sebagai Pasukan Serantau

Ismira Lutfia Tisnadibrata
Jakarta
2019-06-12
E-mel
Komen
Share
Mejar Jeneral Sisriadi, jurucakap tentera Indonesia, menjawab soalan pemberita, 12 Jun 2019.
Mejar Jeneral Sisriadi, jurucakap tentera Indonesia, menjawab soalan pemberita, 12 Jun 2019.
[Ismira Lutfia Tisnadibrata/BeritaBenar

Selepas memulakan rondaan udara dan laut secara bersepadu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Indonesia, Malaysia dan Filipina akan melancarkan latihan darat bersama pada Ogos, melalui inisiatif pencegahan keganasan yang mungkin menyaksikan pasukan tentera serantau dihantar ke selatan Filipina suatu hari nanti, kata para pegawai Indonesia pada Rabu.

Latihan Indomalphi 2019 akan berlangsung di Pulau Tarakan di wilayah Kalimantan Utara, Indonesia dan membabitkan latihan berkaitan teknik tembakan dan pertempuran jarak dekat, kata jurucakap tentera Indonesia Mejar Jeneral Sisriadi kepada BeritaBenar.

“Setiap negara dijangka menghantar satu kompeni tentera dan lima pemerhati,” kata Sisraidi merujuk kepada unit tentera yang biasanya terdiri daripada 80 hingga 150 anggota tentera dan diperintah oleh seorang mejar atau kapten.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan operasi bersama di kawasan sempadan darat, sebagai sebahagian daripada usaha bagi menjangkakan jenayah rentas sempadan dan mewujudkan kesan pencegahan terhadap aktiviti keganasan di kawasan sempadan,” katanya.

Delegasi dari tiga negara Asia Tenggara itu kini menghadiri mesyuarat dua hari di Bali, yang bermula pada Rabu, bagi membincangkan satu persetujuan rasmi berkaitan latihan darat tiga pihak, kata beliau.

Ryamizard Ryacudu, menteri pertahanan Indonesia, berkata latihan selama sebulan itu berpotensi ke arah penghantaran tentera bersama ke selatan Filipina, yang masih bergelut dengan militan dikaitkan dengan Negara Islam di kawasan terpencil di wilayah Mindanao. 

“Kami akan berdepan dengan generasi ketiga pengganas, mereka yang sebelum ini berjuang di Timur Tengah namun telah kembali,” kata Ryamizard kepada BeritaBenar pada Rabu. “Kebanyakan mereka adalah di Indonesia dan Filipina, dan mereka hanya melintasi Malaysia.”

Beliau berkata latihan itu akan membiasakan anggota tentera dengan pertempuran gerila, sambil mengakui bahawa penghantaran tentera asing ke selatan Filipina akan terlebih dahulu memerlukan sokongan dari penggubal undang-undang dan para pegawai Filipina.

“Kita perlu memberikan alasan untuk berbuat demikian terlebih dahulu kepada para pegawai dan penggubal undang-undang terbabit,” katanya. “Kita tidak boleh terus melakukannya.”

Perlembagaan Filipina 1987 menyatakan bahawa “pangkalan, anggota tentera atau kemudahan asing tidak boleh dibenarkan di Filipina kecuali di bawah satu perjanjian yang dipersetujui oleh Senat dan, apabila Kongres mengkehendakinya, disahkan oleh majoriti undi rakyat dalam satu referendum nasional yang diadakan bagi tujuan itu, dan diiktiraf sebagai satu perjanjian oleh Negara lain yang menandatangani kontrak.”

Di Kuala Lumpur, para pegawai Malaysia enggan menjawab soalan daripada BeritaBenar mengenai perkara itu.  Sementara itu, para pegawai pertahanan di Manila tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan kerana Filipina menyambut Hari Kemerdekaannya, yang merupakan cuti umum, pada Rabu.

Terdahulu pada awal bulan ini, Ryamizard  bertemu rakan sejawatnya dari Malaysia dan Filipina di luar Dialog Shangri-La, satu mesyuarat keselamatan serantau tahunan di Singapura, yang menyaksikan “mereka bersetuju membentuk satu pasukan tentera darat bagi memerangi keganasan,” kata Brigidier Jeneral Totok Sugiharto, jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, kepada BeritaBenar.

“Ini adalah satu peningkatan kerjasama berbanding rondaan bersepadu sebelum ini bagi memerangi keganasan di Laut Sulu, Filipina,” kata Totok sambil menambah bahawa semasa latihan, ketiga-tiga negara juga akan bertukar-tukar maklumat risikan mengenai militan.

Satu pasukan tentera serantau akan memerlukan “keputusan politik” daripada pemimpin ketiga-tiga negara, kata seorang pegawai atasan kementerian pertahanan kepada BeritaBenar, yang enggan identitinya didedahkan.

“Proses ini bukanlah mudah,” kata beliau. “Itulah sebabnya kami mengadakan rondaan bersepadu maritim dan udara, bukannya rondaan bersama, dan kami memberi tumpuan untuk menjaga sempadan antara ketiga-tiga negara.”

Melihat kemungkinan tambah rondaan darat bersama

Ketiga-tiga negara memulakan rondaan tiga pihak pada Jun tahun lepas setelah militan pro-IS mengepung bandar Marawi di selatan Filipina. Pertempuran selama lima bulan berakhir pada Oktober 2017 dan meragut sekurang-kurangnya 1,200 nyawa, kebanyakannya militan, termasuk pemimpin IS Filipina yang terkenal, Isnilon Hapilon.

Ketika berucap di Dialog Shangri-La, Ryamizard membayangkan bahawa ketiga-tiga negara kini meneliti kemungkinan untuk menambah rondaan darat bersama kepada rondaan udara dan laut tiga pihak sedia ada yang menyasarkan militan pro-IS di rantau ini.

“Pada masa akan datang, dua bulan dari sekarang, kami akan meningkatkan dan menaik taraf kerjasama ini menerusi operasi bersama tentera darat,” kata Ryamizard.

“Tujuan operasi bersama ini ialah untuk mengesan ISIS di selatan Filipina dan menghentikannya daripada tersebar,” katanya yang menggunakan nama lain untuk IS.

Pertempuran Marawi telah menyebabkan sel ganas lain di Asia Tenggara yang bersekutu dengan IS yang berpangkalan di Syria dan Iraq bertambah berani, menurut penganalisis.

Antara sejumlah 31,500 pejuang asing yang menyertai IS di Syria, kira-kira 800 orang berasal dari Asia, termasuk 400 dari Indonesia, negara majoriti umat Islam terbesar di dunia, kata Ryamizard pada 2 Jun 2018, memetik data risikan kerajaannya.

Ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu melakukan persiapan dari segi keselamatan beberapa bulan selepas Amerika Syarikat dan sekutunya mengumumkan kekalahan Negara Islam, yang pernah menguasai sebahagian besar kawasan Iraq dan Syria.

Dengan kejatuhan “khalifah” IS di Syria, para pegawai Barisan Demokratik Syria menganggarkan bahawa lebih 12,000 wanita dan kanak-kanak asing kini ditahan di kem-kem di Syria sahaja,  dan kira-kira 1,000 pejuang asing kini ditahan di penjara-penjara negara itu.

Kebanyakan kerajaan bimbang untuk menyambut kepulangan warganegaranya yang berjuang untuk IS kerana boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Semasa pertempuran di Marawi, Presiden Filipina Rodrigo Duterte meletakkan keseluruhan wilayah selatan Mindanao di bawah undanh-undang tentera dalam usaha menyelesaikan krisis keselamatan terbesar yang melanda negara itu. Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa bekas pejuang IS masih berupaya menembusi sempadan di selatan Filipina menerusi Malaysia dan merentasi Laut Sulu.

Duterte secara terbuka mengakui bahawaa pasukan keselamatan mungkin telah meremehkan senjata api yang dimiliki militan, namun mengalah dengan para pegawai pertahanannya yang meminta bantuan risikan penting daripada Amerika Syarikat, sekutu tentera tertua negara itu yang sebelum ini beliau selar apabila mengambil langkah untuk menjalin hubungan lebih erat dengan China dan Rusia.

Satu perjanjian tiga hala mengenai kemungkinan mewujudkan pasukan tentera darat serantau membawa satu “dimensi psikologi” yang boleh mencegah “sebarang gangguan keselamatan rentas sempadan,” kata Mufti Makarim, seorang pemerhati tentera dan keselamatan Indonesia, kepada BeritaBenar.

“Perjanjian ini tidak bermakna bahawa pasukan tentera setiap negara boleh memasuki negara lain,” kata beliau “sebaliknya ia lebih kepada mereka boleh menyelaras apabila mereka mengadakan rondaan di kawasan sempadan di wilayah masing-masing, jadi setiap negara tahu bahawa jiran mereka sedang mengambil langkah yang sama dengan mereka dan melakukan apa yang perlu untuk menjaga kawasan sempadan.”

Lihat Laman Penuh