Najib Mahu PRU15 Disegerakan, BN Perlu Ambil Peluang Atas Kepincangan Lawan

Menurut beliau, BN dan UMNO mungkin kalah jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih berlengah.
Ray Sherman, Noah Lee dan Nisha David
2022.06.01
Kuala Lumpur
Najib Mahu PRU15 Disegerakan, BN Perlu Ambil Peluang Atas Kepincangan Lawan Bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, berucap di konvensyen gabungan politik itu sempena ulang tahunnya yang ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 1 Jun 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri keenam Malaysia Najib Razak, antara pemimpin kanan UMNO yang pernah mengetuai Kerajaan Persekutuan, menggesa gabungan parti pemerintah mempertimbang langkah memanggil pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin agar dapat mengambil peluang atas kelemahan pembangkang yang kini dalam keadaan kucar-kacir dan memberi amaran bahawa mereka mungkin kalah sekali lagi sekiranya masih berlengah.

Malaysia perlu mengadakan PRU selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023 dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan media asing awal minggu ini bahawa kadar inflasi serta harga barang makanan yang tinggi ketika ini menunjukkan ia bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Najib dalam ucapannya di Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Rabu berkata gabungan politik itu mengalami kekalahan pada PRU14 empat tahun lepas kerana kerajaan pimpinan beliau telah menangguhkan pilihan raya yang pada awalnya dirancang diadakan sebaik sahaja Malaysia selesai menganjurkan Sukan SEA 2017.

“Bilakah pilihan raya akan diadakan? Saya tidak pasti. Tetapi saya mahu kongsikan perkara ini untuk pertama kali… saya hendak mengaku kita (patut) mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Sukan SEA.

“Jika kita adakan PRU selepas itu, barangkali BN menang besar tetapi kerana desakan pihak tertentu kita tangguh, dan bila bertangguh, keadaan berubah.

“Sekarang ini, pembangkang berada dalam keadaan yang kucar-kacir. Jadi untuk BN, walaupun kita mungkin ada masalah, kita masih kukuh dan bersatu,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Najib merujuk kepada keputusan mengadakan PRU14 pada 2018, yang menyaksikan kerajaan BN pimpinan beliau tumbang selepas tewas kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang diterajui bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Ia merupakan kali pertama BN kalah di peringkat Persekutuan selepas lebih 60 tahun memerintah Malaysia.

Beliau berkata situasi politik negara kini sudah berubah dan kembali menyebelahi BN dan ini dapat dilihat daripada kemenangan gabungan politik itu dalam beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini. Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa BN memiliki rekod yang baik memerintah negara dan rakyat sudah merindui gabungan itu.

Pada Isnin, agensi media Nikkei memetik Ismail Sabri sebagai berkata Malaysia perlu menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kerana negara itu sedang berdepan inflasi dan kenaikan harga barang. Pandangan beliau dilihat tidak selari dengan kemahuan pimpinan UMNO yang mendesak agar PRU segera diadakan.

“Pilihan raya tidak boleh ditangguhkan lebih daripada jangka masa yang ditetapkan dalam Perlembagaan (Persekutuan) tetapi untuk mempercepatkannya, kita perlu melihat situasi semasa,” katanya kepada Nikkei.

Rakyat sudah muak

Sementara itu, penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memberitahu BenarNews bahawa Najib mungkin mahu pilihan raya diadakan sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes jenayahnya yang dijadualkan pada Ogos depan.

Beliau berkata BN bukanlah sekuat yang didakwa oleh Najib sebaliknya hanya memiliki kelebihan meraih lebih banyak undi disebabkan perpecahan dalam kalangan parti pembangkang.

“Pembangkang tidak dapat membuat satu gabungan yang mantap, bukan kerana perbezaan ideologi atau polis, tetapi lebih kepada pertembungan personaliti antara elitis,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Mohar berkata sentimen dan mood pengundi tidak akan kekal sama selamanya.

Beliau berkata sejak Pakatan Harapan ditumbangkan oleh pengkhianatan politik Bersatu dan kemudian UMNO, parti lain dalam gabungan politik itu telah berusaha mendapatkan kembali sokongan pengundi dengan mengetengahkan muka baharu.

Ini termasuk kemenangan Rafizi Ramli dalam pemilihan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. PKR adalah parti pimpinan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula percaya gesaan Najib bersifat objektif selain mempunyai kepentingan sendiri.

Beliau berkata pilihan raya awal boleh memberikan kemenangan besar kepada UMNO yang seterusnya membolehkan kumpulan utama dalam parti itu memilih calon Perdana Menteri mereka sendiri dan Najib mungkin menjadi antara pilihan.

“Tetapi secara objektifnya, keadaan ekonomi Malaysia mungkin tidak dapat pulih dalam masa terdekat dan sudah tentu ia tidak akan berlaku sebelum tarikh akhir pilihan raya harus diadakan tahun depan. Keadaan mungkin bertambah buruk kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan terkesan dengan ekonomi global.

“Dengan menangguhkan lagi pilihan raya, ia mungkin menjadikan keadaan lebih teruk untuk UMNO kerana biasanya parti pemerintah akan dipersalah apabila ekonomi berada dalam keadaan yang buruk,” katanya kepada BenarNews.

Tiada kemenangan mudah

Bagi pensyarah Universiti Utara Malaysia Azizuddin Mohd Sani, BN kini memiliki momentum yang cukup baik untuk memenangi pilihan raya namun ia masih belum menjamin kemenangan mudah untuk mereka.

“BN kini adalah gabungan tiga parti, tidak seperti sebelum ini di mana mereka mempunyai 13 komponen. Ia perlu membuktikan bahawa BN bukan lagi parti gabungan berhaluan kanan. Hari gemilang BN dahulu adalah bila ia dilihat sebagai pihak tengah.

“Oleh itu, mereka perlu menganjakkan pendekatan mereka untuk lebih berada di tengah-tengah bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya,” katanya.

Ahli akademik itu berkata pembangkang memiliki peluang yang baik dalam pilihan raya sekiranya mereka dapat bersatu namun perkara itu tidak berlaku ketika ini.

Beliau juga berkata terdapat kemungkinan berlaku perkahwinan untuk kesenangan selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan namun memberi amaran bahawa kerjasama sebegitu “tidak menjamin kestabilan kerajaan.”

“Mereka perlu menjadi gabungan yang kukuh,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.