Malaysia Gesa Kemboja Panggil Mesyuarat Pemimpin Kanan ASEAN Bincang Isu Myanmar

Negara anggota ASEAN mungkin perlu ubah dasar tidak campur tangan kepada sikap mengambil berat dalam isu Myanmar
Iskandar Zulkarnain dan Nisha David
2021.11.01
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Gesa Kemboja Panggil Mesyuarat Pemimpin Kanan ASEAN Bincang Isu Myanmar Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan baharu di Kementerian Luar Negeri di Putrajaya pada 1 Nov 2021.
[Gambar Ihsan Kementerian Luar Negeri].

Malaysia telah menggesa Kemboja, sebagai Pengerusi ASEAN yang baharu, supaya memanggil  mesyuarat pemimpin kanan negara anggota persatuan itu bagi membincangkan langkah lanjut mengenai isu Myanmar, kata Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah pada Isnin.

Beliau berkata ASEAN perlu mula mengamalkan sikap mengambil berat dan bukan lagi menggunakan pendekatan tidak campur tangan dalam isu kemanusiaan di Myanmar, yang kini ditadbir junta tentera  selepas satu rampasan kuasa.

Katanya ASEAN perlu memikirkan semula pendirian dalam isu berkaitan krisis di Myanmar dan berhenti berselindung di sebalik semangat tidak campur tangan untuk membelakangi rakyat negara itu.

"Ketua Setiausaha saya telah memaklumkan Pengerusi SOM [Mesyuarat Pegawai Tinggi] supaya mesyuarat itu dimulakan secepat mungkin bagi membincangkan langkah seterusnya.

"Kita tidak boleh sekadar menunggu. Mesti ada cara, walaupun tiada cara, kita juga mahu supaya bantuan kemanusiaan sampai kepada kumpulan yang memerlukan walaupun beberapa hari lepas tidak ada insiden tetapi kita mesti memastikan bahawa AHA [Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN] dibenar menghantar bantuan kemanusiaan," katanya.

Dua hari lepas, pertempuran antara junta dan kumpulan pemberontak telah menyaksikan lebih 160 kediaman di Thantlang, sebuah pekan di barat Negeri Chin, musnah dalam kebakaran yang dicetuskan oleh tembakan meriam tentera, menurut laporan media tempatan.

Saifuddin berkata apabila SOM diadakan, Malaysia akan mengajukan beberapa perkara termasuk keperluan mengekalkan duta khas ASEAN di Myanmar iaitu Erywan Yusof, yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Kedua Brunei, dan akses untuk bertemu dengan Aung San Suu Kyi.

Beliau berkata ASEAN perlu mengambil pendekatan berbeza dalam isu berkaitan Myanmar kerana konsep tidak campur tangan yang diamalkan blok itu sudah tidak boleh digunakan.

"Adakah ASEAN lupa apa terjadi sebelum ini? Dulu ada sebuah lagi negara dalam ASEAN yang melihat pembunuhan beramai-ramai. Dua juta orang dibunuh. ASEAN tidak berbuat apa-apa,” katanya tanpa menyebut nama negara itu.

Walaupun Saifuddin tidak menyebut nama negara itu secara spesifik namun beliau dipercayai merujuk kepada Kemboja.

Pembunuhan beramai-ramai di Kemboja berlaku dalam tempoh empat tahun pada era pemerintahan Khmer Rouge antara 1975 hingga 1979 dan ia terhenti selepas tentera Vietnam menewaskan rejim tersebut.

Kebimbangan Malaysia

Saifuddin berkata kebimbangan Malaysia mengenai situasi di Myanmar mempunyai asas yang kukuh kerana ia kini menempatkan lebih 200,000 pelarian Rohingya.

"Kenapa kami amat bimbang? Kerana apabila tiada keamanan, tidak ada penghantaran pulang (pelarian) dan kami sudah ambil 200,000 orang. Lebih tidak stabil keadaan di Myanmar maka lebih ramai lagi akan datang ke negara kami.

"Walaupun kami bukan negara yang menandatangani UNHCR tetapi Malaysia sentiasa menunjukkan simpati dalam cara yang tersendiri dan kami tidak sewenang-wenangnya menghalau orang yang dalam kesusahan," katanya.

Charles Santiago, Ketua Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, memuji pendirian Malaysia dalam isu Myanmar dan berkata ia selari dengan pandangan badan bukan kerajaan.

"Apa yang dikatakan Saifuddin adalah benar dan berasas. Kita perlu berhenti bercakap dan mula bertindak, setiap hari terdapat orang yang terbunuh di sana.

"Jadi, saya setuju dengan pendekatan mengambil berat bagi menangani isu di Myanmar dan berbanding pendirian tidak campur tangan, ia adalah apa yang kami pejuang hak asasi manusia telah cadangkan sejak dahulu lagi," katanya.

Santiago juga berkata sesiapa sahaja yang akan dilantik sebagai wakil baharu ASEAN ke Myanmar perlu memberikan kemas kini mengenai progres tugasannya di negara itu.

Md Mahbubul Haque, pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin turut berkongsi pandangan sama.

Beliau berkata pendirian Malaysia mengenai krisis Myanmar adalah tepat kerana Malaysia turut memikul beban dan merupakan antara mangsa keadaan dalam isu itu meskipun ia bukan negara jiran Myanmar yang terdekat.

Mahabul turut menyuarakan kebimbangan sama ada Kemboja akan bertegas dalam menangani isu pelanggaran hak kemanusiaan di Myanmar.

"Isu hak manusia dan masalah dalaman di Kemboja adalah serupa dengan apa yang berlaku di Myanmar...  sudah tentu mereka tidak akan ambil tindakan yang konkrit terhadap Myanmar.

"Jadi sekarang ini negara ASEAN yang lain perlu mengambil tindakan dan menyelesaikan isu di Myanmar," katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh