Pemimpin Malaysia Mahathir Sahkan Keputusan Bebas Pelarian Uighur

Lex Radz dan Hadi Azmi
2018.10.15
Kuala Lumpur
181015-MY-Uyghurs-Mahathir-1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (tiga dari kiri) berjalan dengan para pegawai dan pembantu di Parlimen, 15 Okt 2018.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengesahkan pada Isnin bahawa kerajaan Malaysia telah membebaskan 11 orang kaum Uighur yang beragama Islam, dan berkata pelarian terbabit tidak melanggar undang-undang negara itu, satu langkah yang dilihat bertentangan dengan permohonan Beijing agar mereka dihantar pulang.

Malaysia telah membenarkan pelarian Uighur itu berlepas ke Turki minggu lalu selepas menggugurkan pertuduhan di bawah akta imigresen terhadap mereka – kesemuanya lelaki, kata peguam mereka kepada BeritaBenar pada Khamis.

“Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan di negara ini, jadi mereka telah dibebaskan,” kata Mahathir kepada pemberita di parlimen.

China, yang telah mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi mereka, pada Jumaat berkata bahawa ia membantah “sekeras-kerasnya” keputusan Malaysia untuk membebaskan 11 orang pelarian Uighur itu, menurut Reuters.

“Kesemua mereka adalah rakyat China. Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan menghantar mereka ke negara ketiga,” lapor Reuters yang memetik kenyataan Kementerian Luar China.

Kesemua 11 lelaki adalah sebahagian daripada sekumpulan 20 orang yang melarikan diri ke Malaysia pada November 2017 selepas memboloskan diri dari sebuah pusat tahanan di selatan Thailand dengan menggali lubang di sebuah dinding.

Penangkapan dan penahanan mereka diketahui umum pada Februari apabila para pegawai China mengemukakan permohonan agar mereka dihantar pulang ke Beijing.

Malaysia menerima tekanan daripada China untuk menghantar pulang pelarian Uighur itu, namun beberapa misi diplomatik Barat telah mengemukakan permohonan bagi menghalang Kuala Lumpur menghantar mereka pulang, menurut laporan tempatan.

Pada Ogos tahun ini, Mahathir telah mengumumkan penangguhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai China sebanyak $20 bilion dan sebuah projek pembinaan saluran paip gas asli di Sabah. Pemimpin berusia 93 tahun itu telah mengeluarkan kenyataan kepada pemberita di Beijing semasa lawatan lima hari beliau ke China bahawa Malaysia tidak mampu membiayai projek terbabit.

Semasa kempen pilihan raya umum pada Mei, Mahathir telah menyelar apa yang disifatkannya sebagai perjanjian-perjanjian “tidak adil” dengan China, yang diluluskan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini berdepan dengan pertuduhan rasuah berhubung skandal penyelewengan berbilion dolar yang dikaitkan dengan dana negara 1MDB.

James Chin, Pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania, memberitahu BeritaBenar bahawa ini bukanlah kali pertama Kuala Lumpur membenarkan pelarian Uighur meninggalkan Malaysia untuk ke negara ketiga.

“Ini adalah satu isu sensitif dan kita mungkin melihat China bertindak balas terhadapnya. Bagaimanapun ini bukan kali pertama kita membenarkan sekumpulan pelarian Uighur meninggalkan Malaysia untuk ke negara ketiga dan China sedar akan perkara ini,” katanya. "Kali terakhir ia berlaku di bawah pentadbiran PM Najib tetapi saya tidak begitu pasti mengenai butirannya.”

‘Diselubungi rahsia’

China telah menolak dakwaan yang dibangkitkan oleh satu panel PBB pada Ogos bahawa sejuta pelarian Uighur mungkin ditahan dalam apa yang menyerupai “satu kem tahanan besar-besaran yang diselubungi rahsia” di wilayah bergolak Xinjiang, di mana Beijing telah menghabiskan masa berdekad lamanya untuk mengekang sentimen pro-kemerdekaan. 

Menurut peguam Fahmi Abdul Moin, yang mewakili 11 pelarian Uighur, pihak berkuasa Malaysia telah membebaskan anak guamnya dan membenarkan mereka terbang ke Turki selepas menggugurkan pertuduhan imigresen terhadap mereka.

Fahmi telah memohon agar pertuduhan di bawah akta imigresen itu dibatalkan dan berhujah bahawa penindasan sistematik ke atas etnik Uighur yang majoriti beragama Islam di  Xinjiang telah memaksa kebanyakannya melarikan diri dari negara mereka.

“Oleh itu, anak guam saya adalah mangsa pergolakan yang berlaku di wilayah Xinjiang dan telah dipaksa melarikan diri,” kata Fahmi kepada BeritaBenar pada Khamis.

Pihak berkuasa China sebelum ini telah menafikan kewujudan kem-kem tahanan terbabit sebaliknya berkata cuma penjenayah secara kecil-kecilan telah dihantar ke “pusat-pusat latihan pekerjaan.”

Agensi berita rasmi China Xinhua telah memetik kenyataan seorang pegawai kanan China pada Sabtu bahawa orang Islam di Xinjiang perlu mengamalkan “Islam ala China” untuk mempromosi solidariti etnik dan keharmonian agama di wilayah bergolak itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.