Malaysia tamatkan subsidi ayam pada 1 Nov, subsidi telur diteruskan
2023.10.30
Kuala Lumpur
Malaysia akan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam pada 1 Nov ini dalam usaha kerajaan menjimatkan perbelanjaan selain melaksanakan subsidi bersasar bagi memanfaatkan golongan yang benar-benar memerlukan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata langkah itu akan menjimatkan perbelanjaan bulanan kerajaan sebanyak RM100 juta (AS$20.99 juta) namun ia mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengguna dan peniaga kecil mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga yang ketara bagi sumber protein utama rakyat di Malaysia.
“Rasional di sebalik penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi kerana ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang serta kos pengeluaran ayam telah mulai stabil yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling (RM9.40 sekilogram),” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Isnin.
Malaysia membelanjakan RM3.8 bilion (AS$797.9 juta) sejak Februari 2022 untuk subsidi telur dan ayam bagi menstabilkan harga susulan kenaikan mendadak kos bahan makanan serta benih ayam ekoran gangguan rantaian bekalan akibat penularan pandemik COVID-19.
Menurut data kerajaan pada 2021, purata keperluan ayam di Malaysia ialah 2.09 juta sehari atau 62.9 juta sebulan dan jumlah itu meningkat sewaktu perayaan.
Bagaimanapun, Mohamad mengumumkan bahawa subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam Gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisma sedia ada.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah menamatkan harga kawalan adalah bertujuan menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan dan membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi serta kebajikan rakyat termasuk dalam bentuk bantuan tunai.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang mempertimbang pengapungan harga ayam dan telur di pasaran, yang pada asalnya diberikan subsidi semasa musim perayaan dan telah diteruskan sejak 2022.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat beberapa hari kemudian, Anwar berkata pendekatan subsidi secara pukal sedia ada memberi keuntungan kepada 3.5 juta warga asing dan golongan ‘maha kaya.’
“Bukan antigolongan ini tetapi subsidi itu tidak patut diberikan kepada mereka ini yang berpendapatan RM100,000 (AS$21,000) ke atas sebulan.
“Jadi pendekatan yang kita ambil ialah melihat keadaan harga pasaran sekarang, bila harga itu kurang daripada harga siling seperti sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand itu lebih rendah daripada di Malaysia, maka ini adalah masa dan ketikanya kita apungkan,” kata beliau.
Bimbang harga meningkat
Biarpun memahami langkah kerajaan menamatkan subsidi pengeluaran ayam, pengusaha gerai makan Shabudin Kamih @Alwi meluahkan kebimbangan terhadap langkah menamatkan kawalan harga.
Beliau berkata lauk-pauk di gerainya dijual pada harga tetap dan jika harga ayam meningkat melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan, ia akan menyebabkan kerugian.
“Harga siling berfungsi sebagai panduan untuk kami menetapkan harga. Kami tidak boleh menjual lauk-pauk dengan harga berbeza-beza, misalnya hari ini ayam goreng dijual pada harga RM3 (AS$0.63) seketul namun esok naik kepada RM5 (AS$1.05).
“Sekarang harga yang kami tetapkan adalah berdasarkan harga siling RM9.40 sekilogram (AS$1.97). Jika harga ayam meningkat melebihi harga ini selepas diapungkan, ia boleh menyebabkan kami menanggung kerugian,” katanya kepada BenarNews.
Khairul Izzat Zakaria, penjual ‘chicken chop’ dari Sungai Buloh, Selangor turut berkongsi kebimbangan sama.
“Sebelum penetapan harga siling jualan ayam, harga kepingan untuk buat ‘chicken chop’ boleh naik mendadak dan berubah dalam masa seminggu. Ia pernah meningkat daripada RM25 (AS$5.25) bagi paket 2 kilogram kepada RM40 (AS$8.40) dalam tempoh seminggu.
“Sejak ada subsidi dan kawalan harga ni (saya berasa) lega sebab harga stabil di antara RM30 hingga RM33 (AS$6.30-AS$6.93). Jadi, saya bimbang langkah menarik balik subsidi dan kawalan harga, harga runcit ayam akan menjadi tidak stabil serta meningkat mendadak seperti sebelum ini.
“Harga makanan perlu ditetapkan. Tak boleh dalam menu hari ini ‘chicken chop’ RM12 (AS$2.52) esok naik RM15(AS$3.15) dan lusa harga bertukar lagi,” katanya kepada BenarNews.
Menurut Khairul, peniaga makanan boleh menerima jika tiada lagi subsidi pengeluaran ayam namun mereka berharap kerajaan akan mengekalkan kawalan harga supaya mereka mempunyai panduan semasa menetapkan harga menu.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah Mohamad Yusrizal Yusoff pula menyifatkan langkah itu sebagai terlalu drastik tanpa persediaan rapi untuk memastikan kestabilan harga setelah ia diapungkan.
“Kerisauan pengguna ialah apabila diapungkan, harga barangan akan naik. Jika tidak mendadakpun akan naik sedikit demi sedikit disebabkan kemungkinan ada pihak yang akan ambil kesempatan dalam kalangan penternak dan pemborong,” katanya.
Kebimbangan sama turut disuarakan Senthil Kumaran, 38, dari Kedah yang menggesa kerajaan agar memastikan kawalan harga dilaksana pada setiap musim perayaan secara konsisten seperti sebelum ini.
“Permintaan bahan mentah seperti ayam dan telur kebiasaannya akan meningkat ketika musim perayaan dan pengumuman ini dibuat beberapa minggu sebelum Deepavali.
“Saya memahami rasional di sebalik keputusan kerajaan itu supaya subsidi boleh diberikan kepada golongan yang berhak mendapat bantuan.
“Namun untuk menamatkan terus subsidi dan kawalan harga semasa perayaan akan membebankan rakyat terutama mereka yang bergelut dengan kenaikan harga barang kebelakangan ini,” katanya.
Tindakan wajar
Bagaimanapun, langkah itu disokong oleh komuniti perniagaan.
Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad dan pemilik bersama rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia berkata tindakan itu wajar serta tepat pada masanya.
Beliau berkata melalui pengapungan harga, peniaga akan bersaing secara lebih sihat untuk menarik pelanggan berbanding ketika kawalan harga dilaksana.
“Bila kita buat pengapungan harga, macam minggu ni harga ayam di pasaran adalah lebih rendah, jadi kita jual lebih murah,” katanya sambal menambah pada 1 Nov ini, Mydin akan mengadakan jualan ayam pada harga Rahmah iaitu RM7.90 (AS$1.66) sekilogram di semua cawangan.
“Kami mengalu-alukan rakan-rakan lain dalam industri untuk mengikut jejak sama bagi membantu meringankan beban rakyat,” katanya.