Polis Malaysia Tahan 45 Suspek Pengganas Asing Pada 2017

Hata Wahari & N. Nantha
2017.10.13
Kuala Lumpur
fuzi.jpeg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan gambar 13 suspek ‘pengganas asing’ yang didakwa di mahkamah Malaysia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Polis Malaysia pada Jumaat mengeluarkan senarai 45 rakyat asing yang ditahan di negara itu sejak awal Januari kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan Negara Islam [IS] atau kumpulan pengganas lain, dengan jumlah penahanan “pejuang pengganas asing’ mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Antara suspek berkenaan adalah rakyat Iraq, Turki, Albania, Yaman, Maldives dan China serta dari negara-negara berdekatan termasuk Bangladesh, Indonesia dan Filipina, kata Ketua Polis Polis Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan.

Sesetengah suspek mempunyai kaitan dengan IS, termasuk tiga lelaki Iraq yang pernah berpangkalan di Iraq atau Syria, di mana kubu utama kumpulan ekstremis itu semakin lemah susulan serangan pasukan kerajaan, kata Ketua Polis Malaysia.

"Mereka telah diperintahkan untuk menyusup masuk ke beberapa negara di seluruh dunia bagi melancarkan serangan untuk Daesh," kata Fuzi, yang menggunakan nama berbeza untuk IS.

Beliau berkata, kerjasama dan perkongsian perisikan dengan agensi perisikan dan penguatkuasaan asing telah membantu membawa kepada penangkapan berkenaan.

"Polis DiRaja Malaysia akan terus mengambil tindakan terhadap elemen keganasan rakyat asing dalam mengekang sebarang rancangan serangan ke atas Malaysia," kata Fuzi.

Kesemua 45 suspek yang ditangkap sehingga 6 Okt lalu termasuklah sembilan anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG), tiga anggota Fetullah dari Turki, seorang daripada sel pengganas Albania yang dikaitkan dengan Negara Islam, dan seorang lagi dari Jamaatul Mujahideen Bangladesh, katanya.

"Baki 31 pejuang pengganas asing adalah dari pelbagai negara yang dipercayai terlibat dengan IS, termasuk tiga pejuang pengganas asing dari negara Iraq yang merupakan komander IS di selatan Iraq," kata beliau.

Tiga belas daripada mereka telah didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala 12 orang lagi dihantar pulang ke negara asal mereka. Polis telah mengenal pasti mereka dan mengeluarkan gambar ,kesemua 25 rakyat asing itu.

Tiga warga Turki - Turgay Karaman, Ihsan Aslan, dan Ismet Ozcelik - ditangkap pada Mei lalu kerana disyaki mengancam keselamatan Malaysia. Pihak berkuasa negara itu berkata, mereka adalah anggota kumpulan Fetullah yang diketuai oleh seorang ulama Turki yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fetullah Gulen, dan Turki telah melabel kumpulan berkenaan sebagai organisasi pengganas.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa terkejut dengan keputusan Malaysia untuk mengusir ketiga-tiga lelaki itu kembali ke Turki, dengan menyatakan tindakan itu boleh menyebabkan nyawa mereka  dalam bahaya.

Mengenai suspek 20 yang lain, Fuzi berkata, seorang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan, tujuh lagi dibebaskan manakala 12 yang lain masih di bawah siasatan polis.

Bilangan warga asing yang ditahan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017 menunjukkan peningkatan ketara dalam penahanan suspek asing di Malaysia dari 2013 hingga 2016, menurut maklumat yang diberikan oleh Ketua Cawangan Anti-Keganasan Ayob Khan Mydin Pitchay pada akhir tahun lepas .

Pada ketika itu, Ayob memberitahu BeritaBenar bahawa daripada 264 militan yang ditangkap dalam tempoh empat tahun, hanya 34 daripada mereka adalah rakyat asing.

Rancangan keganasan digagalkan

Antara suspek militan asing yang ditangkap di Malaysia pada 2017 ialah Hajar Abdul Mubin, 25, (alias Abu Asrie), rakyat Filipina dan dalang yang didakwa merancang keganasan semasa temasya Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos lepas. Rancangan keganasan tu dapat dipatahkan polis.

Hajar, yang dikenal pasti tentera Filipina sebagai orang kanan seorang pemimpin utama ASG, telah didakwa  pada 25 Sept lalu kerana disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas bersama-sama tiga suspek ASG lain, menurut dokumen mahkamah.

Pada Jumaat, Fuzi turut mengesahkan bahawa pegawai polis anti-keganasan telah menahan beberapa individu di Kelantan minggu ini kerana disyaki mempunyai hubungan dengan pengganas, termasuk seorang remaja yang dipercayai pembuat bom.

"Ia terlalu awal untuk mendedahkan apa-apa butiran tetapi saya akan mengeluarkan  kenyataan dalam dua hingga tiga hari akan datang," katanya.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada Jumaat berkata, kementerian itu sedang menyiasat firma-firma keselamatan berhubung kemungkinan menggaji anggota militan sebagai pengawal keselamatan, kata Ketua Setiausahanya Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan.

"Sekiranya siasatan membuktikan syarikat kawalan keselamatan yang terlibat cuai dalam proses pengambilan pekerja untuk bekerja sebagai pegawal keselamatan, maka syarikat tersebut boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan lesen,” " katanya yang mengulas mengenai penangkapan melibatkan tujuh lelaki yang dipercayai militan ASG yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Lembah Klang pada 14 Sept lepas.



Polis mengeluarkan gambar 12 warga asing yang telah diusir keluar  dari Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas. (Ihsan Polis DiRaja Malaysia)

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.