Malaysia: Pegawai Kehakiman AS Dapatkan Semula AS$49 Juta Lagi Dana 1MDB

Ray Sherman
2020.05.07
Kuala Lumpur, Malaysia
200507-MY-US-1mdb-620.JPG Seorang lelaki berjalan melewati sebuah papan tanda 1Malaysia Development Berhad di Kuala Lumpur, 1 Mac 2015.
(Reuters)

Kerajaan Amerika Syarikat berjaya mendapatkan semula AS$49 juta lagi wang yang dikaitkan dengan skandal rasuah membabitkan dana negara Malaysia 1MDB yang telah digunakan untuk membeli hartanah mewah di California dan New York City, umum Jabatan Kehakiman (DOJ).

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sesawangnya pada Khamis pagi (waktu Kuala Lumpur), DOJ berkata ia telah mencapai satu penyelesaian dalam kes pelucuthakan sivil terhadap seorang warganegara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khadem al Qubaisi, yang pernah menerajui International Petroleum Investment Co (IPIC) Abu Dhabi.

“Dana ini tidak digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia seperti yang dihasratkan sebaliknya digunakan oleh pihak yang bersubahat untuk membiayai pemerolehan aset peribadi, hartanah mewah dan pelaburan perniagaan di Amerika Syarikat serta tempat lain,” menurut Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski dalam siaran akhbar itu.

“Persetujuan penyelesaian ini memastikan bahawa hampir AS$50 juta (RM216 juta) dari dana yang diseleweng akan didapatkan kembali dan menghantar isyarat jelas bahawa DOJ komited dalam mengesan, merampas dan melucuthak hasil jenayah yang digubah menerusi sistem kewangan AS.”

Al Qubaisi telah ditahan pada 2016 di UAE atas pertuduhan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut Wall Street Journal.

Dana itu dipercayai digubah menerusi institusi kewangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

“Aset terbabit tertakluk kepada persetujuan penyelesaian termasuk hasil jualan hartanah mewah di Beverly Hills dan sebuah emper mewah di Bandaraya New York yang didakwa diperoleh al Qubaisi dengan dana yang dikesan mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,” menurut DOJ dalam siaran akhbar itu.  

Di bawah terma penyelesaian itu, Atlantic Property Trust, yang memantau aset terbabit, bersetuju dengan saman pelucuhakan itu tertakluk kepada aduan yang mempunyai potensi kepentingan, kata DOJ tanpa mendedahkan butiran aduan tersebut. Isteri Al Qubaisi, yang bertindak sebagai pemegang amanah, dikehendaki bekerjasama dan membantu pindahan, pengurusan dan pelupusan aset terbabit secara teratur.

Calvin Shivers, Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Biro Penyiasatan Persekutuan FBI, berkata kes itu membuktikan bahawa capaian FBI adalah luas.

“Biarkan perkara ini menjadi mesej kepada sesiapa yang mungkin berhasrat menggunakan pasaran Amerika Syarikat untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram: Anda tidak akan mendapat keuntungan dan anda akan disiasat dan diheret ke muka pengadilan,” katanya.

AS$1 bilion diperoleh semula

Penyelesaian ini merupakan tambahan kepada lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) aset yang AS peroleh semula atau bantu peroleh semula, menurut DOJ.

Pada 14  April, para pegawai mengumumkan bahawa DOJ telah mengembalikan sejumlah AS$300 juta (RM1.3 bilion) yang didakwa diseleweng oleh pembiaya kewangan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Menjadi buruan di peringkat antarabangsa, Low berdepan pertuduhan jenayah di Malaysia bagi peranannya dalam menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB menerusi hubungan beliau dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 untuk mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dananya adalah bertujuan bagi digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

1MDB sebaliknya menanggung kerugian berbilion dolar. Pada 2016, DOJ menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutu menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Najib, yang berdepan sejumlah 42 pertuduhan jenayah, kini dibicarakan atas pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB serta anak syarikat 1MDB iaitu SRC International. Beliau mungkin berdepan perbicaraan lain.

Perbicaraan 1MDB Najib, yang ditangguh pada 12 Mac susulan kebimbangan pasukan pembelaannya mungkin terdedah kepada wabak COVID-19, akan bersambung pada 13 Mei, lapor perkhidmatan berita Bloomberg.

Pada Mac, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin berkata pegawai pasukan khas telah memberikan taklimat kepadanya bahawa 1.4 bilion ringgit ($323 juta) yang dikaitkan dengan skandal 1MDB telah dipulangkan dan sejumlah RM6.9 bilion (AS$1.6 bilion) lagi telah dikesan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan agar usaha mengesan dan mendapatkan semula dana 1MDB dari pelbagai negara diteruskan,” menurut pejabatnya ketika itu.

Para pegawai Malaysia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu pada Khamis, yang merupakan cuti umum susulan perayaan Hari Wesak, yang meraikan kelahiran, pencerahan agung dan kematian Buddha.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.