Singapura: Larangan Seumur Hidup Terhadap Bekas Perancang Kewangan Berkait 1MDB

Ray Sherman
2017.12.19
Kuala Lumpur
171219-my-bsi-620.jpeg Pusat Kewangan Singapura telah mengarahkan penutupan BSI Bank Singapura yang dikaitkan dengan skandal rasuah dana negara 1Malaysia Development Berhad yang menyelubungi Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
AFP

Pusat Kewangan Singapura [MAS] pada Selasa melarang seorang bekas perancang kewangan bank BSI yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada mengambil bahagian dalam semua hal pengurusan atau nasihat kewangan di negara itu selama-lamanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, MAS berkata larangan ke atas Yeo Jia Wei, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 54 bulan atas pelbagai tuduhan berkaitan skandal 1MDB termasuk melabur wang haram dan menipu bekas majikannya, berkuatkuasa mulai 18 Oktober lalu.

"Yeo dilarang daripada memberi apa saja nasihat kewangan kepada mana-mana pasaran modal, atau mengambil bahagian dalam, atau menjadi pengarah, atau menjadi pemegang saham besar di dalam mana-mana pasaran modal, atau firma penasihat kewangan di Singapura," kata bank pusat itu.

Tambah MAS, di samping Yeo, larangan selama tiga tahun juga dikenakan ke atas Kevin Scully, iaitu bekas ketua eksekutif firma penasihat kewangan NRA Capital - sebuah firma yang dilantik menjalankan penilaian ke atas PetroSaudi Oil Services Limited (PSOSL).

"Scully gagal memastikan penilaian NRA ke atas PSOSL dijalankan dengan berhati-hati, serta penuh pertimbangan dan objektiviti semasa mengendalikan hal berkenaan."

Tindakan terkini itu sekaligus menyaksikan seramai lapan individu telah dikenakan larangan oleh pihak berkuasa Singapura berhubung skandal 1MDB, menurut kenyataan berkenaan.

Pada Oktober lalu, MAS melarang dua individu, iaitu Kelvin Ang Wee Keng, dan Lee Chee Waiy, yang mempunyai hubungkait dengan 1MDB, daripada terlibat dalam industri kewangan negara berkenaan, untuk tempoh selama enam tahun.

Kelvin Ang, seorang petugas dengan Maybank Kim Eng Securities Pte, juga didenda sebanyak S$9,000 (RM27,974) pada Mei lalu, demikian menurut laporan sebelum ini, iaitu selepas lelaki berkenaan mengaku memberi ‘rasuah’ kepada Lee yang bekerja di NRA Capital Pte, untuk mempercepatkan persiapan sebuah laporan penilaian berkaitan dengan PetroSaudi Oil Services Limited.

MAS juga telah pada masa itu, mencadangkan supaya  larangan tersebut dikenakan selama-lamanya ke atas Yeo.

Yeo merupakan individu yang dikenakan hukuman paling berat berbanding dengan semua pesalah yang terlibat dalam skandal 1MDB di Singapura, dan bekas majikannya, iaitu bank BSI Singapura, juga telah diarahkan tutup oleh MAS.

Selain hukuman penjara 54 bulan, Yeo, 33, juga telah terdahulu, dijatuhi hukuman penjara 30 bulan atas empat tuduhan mengganggu saksi pada tahun lalu. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman keatasnya dijalankan serentak.

Kaut untung berjuta

Yeo, berkhidmat dengan BSI sebagai pegawai perancang aset di antara bulan Disember 2009 dan Julai 2014, dan semasa itu dipercayai telah berjaya mengaut keuntungan bagi dirinya mencecah RM80.66 juta (S$26 juta) daripada pelbagai sumber, termasuk melalui skim haram yang menipu majikannya.

Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.

Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.

Selain larangan ke atas individu dan bank berkaitan 1MDB, Singapura juga telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB kerana melanggar pelbagai peraturan AML.

Yeo sebelum ini, berulang kali menafikan hubungan rapatnya dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa Singapura sebagai orang yang mempunyai kaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan dalam transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan 1MDB.

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat (AS).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.