Pegawai AS: Aset Jho Low Kepunyaan Malaysia

Noah Lee & Nat Shu
2019.10.31
Kuala Lumpur, Malaysia
191031-MY-jho-low-620.jpg Penunjuk perasaan di Kuala Lumpur mahu Jho Low ditangkap, turut mengambarkannya sebagai seorang lanun pada plakad yang dibawa, dalam peranannya terhadap kecurian berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad, 14 April 2018.
(AP)

Amerika Syarikat [AS] memberi petunjuk bahawa beratus-ratus juta dollar aset yang diperolehi dalam penyelesaian kerajaan negara itu dengan pembiaya kewangan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikaitan dengan skandal dana negara 1MDB akan dikembalikan kepada Malaysia.

Pada Rabu, Jabatan Kehakiman AS mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai penyelesaian dengan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low serta aset keluarganya bernilai AS$700 juta (2.925 bilion ringgit) yang dikatakan dibeli  dengan menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyelesaian itu termasuk yang sebelumnya menjadikan ia kira-kira AS$1 bilion (sekitar 4 bilion ringgit) yang berjaya diperolehi.

Penolong Setiausaha Negara AS David R. Stilwell yang berada di Kuala Lumpur berkata aset yang diperolehi dalam penyelesaian tersebut serta berkuatkuasa, dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Hampir RM4 bilion (AS$1 bilion) telah dikembalikan kepada pemilik yang sah - rakyat Malaysia - dan AS berasa sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada usaha itu," katanya kepada sekumpulan hadirin semasa berucap di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Malaysia), di Kuala Lumpur.

Stilwell berkata aset itu diperoleh semula di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

"Bersama dengan keluarganya, Jho Low didakwa menyalahgunakan dana daripada 1MDB dan pengubahan aset tersebut melalui institusi kewangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg," kata Stilwell.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata aset yang diperolehi itu seharusnya dikembalikan kepada Malaysia.

"Aset-aset itu dibeli dengan menggunakan wang Malaysia. Kami mempunyai bukti bahawa ia adalah wang Malaysia dan kami akan membuat tuntutan itu kepada kerajaan Amerika," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Johor.

Jurucakap Jabatan Kehakiman AS tidak mengulas lanjut apabila ditanya mengenai proses memulangkan dapatan penyelesaian kepada Malaysia sambil memaklumkan yang pentadbiran AS itu telah menyerahkan AS$200 juta (835 juta ringgit) ke Kuala Lumpur bermula pada Mei.

"Wang itu akan dikembalikan untuk faedah orang yang dianiaya oleh rasuah," kata Peter Carr kepada BeritaBenar.

Tetapi tidak semua aset yang dirampas akan dikembalikan kepada Malaysia, menurut Jabatan Kehakiman. Dalam siaran medianya pada Rabu, ia mengumumkan AS$15 juta (62.67 juta ringgit) akan diberikan kepada peguam Low, termasuk bekas Gabenor New Jersey, Chris Christie, untuk membayar yuran guaman.

Christie mengeluarkan kenyataan memuji kerajaan AS dan Low yang bekerjasama dalam merundingkan seperti apa yang dipanggil sebagai satu resolusi bersejarahnya.

Ia adalah salah satu penyelesaian sivil terbesar dalam sejarah AS yang mewakili pulangan secara sukarela bagi setiap aset yang dituntut oleh DOJ, oleh itu menyelesaikan tuntutan ini secara keseluruhannya tanpa pengakuan salah atau kesalahan oleh pemerintah," katanya dalam pernyataan.

DOJ mengumumkan "beberapa aduan pelupusan sivil yang timbul daripada konspirasi jenayah 1MDB kekal belum selesai terhadap aset yang berkaitan dengan konspirasi lain yang didakwa," tanpa memperincinya.

Pertuduhan jenayah


Jho Low menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia dan Amerika Syarikat atas peranannya dalam menggelapkan berbilion ringgit daripada 1MDB menerusi hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Pembiaya kewangan yang melarikan diri dari Malaysia dan menjadi subjek pemburuan, menyiarkan satu kenyataan di laman web yang mengumumkan perjanjian itu sambil mengekalkan sikap tidak bersalahnya.

Beliau menyalahkan tuduhan di blog, kebocoran kerajaan yang tidak betul dan tuntutan yang tidak terbukti yang difailkan di mahkamah, "di mana saya tidak pernah diberikan kesempatan untuk memastikan rekod yang betul."

"Saya akan terus melawan tuduhan meluas, tanpa pengecualian, tiada bukti, berat sebelah dan bermotifkan politik terhadap saya, dan saya yakin bahawa fakta-fakta akan hadir, kebenaran akan menentukan," katanya.

Pihak pendakwaan Malaysia, AS dan negara-negara lain mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) telah dicuri dan dialihkan menerusi pengambilalihan hartanah, karya seni dan hartanah mewah oleh Najib dan rakan-rakannya, termasuk Low. Jabatan Kehakiman AS menganggap 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi terburuk pada zaman ini."

Antara barangan itu adalah kapal layar mewah, "Equanimity" yang pihak berkuasa mengatakan bahawa Low telah membelinya dengan harga AS$250 juta (1 bilion ringgit) menggunakan dana 1MDB.

Kerajaan Indonesia merampas kapal layar itu pada 2018 dan menyerahkannya kepada Malaysia yang kemudiannya menjual kapal mewah itu dengan harga AS$126 juta (514 juta ringgit) pada April 2019.

Najib, telah didakwa di mahkamah Malaysia atas pertuduhan menyalahgunakan berbilion-bilion ringgit daripada 1MDB, sedang berdepan dengan perbicaraan di dua mahkamah berasingan di Kuala Lumpur. Beliau juga dijangka menghadapi pertuduhan tambahan terhadap sejumlah 43 pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan 1MDB, dana pembangunan negeri yang diwujudkan pada 2009 untuk meningkatkan ekonomi negara melalui pelaburan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.