Follow us

Pasukan Petugas Siasatan 1MDB Ditubuhkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sedia Soal Siasat Najib

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-21
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (dua dari kiri) tiba di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya buat kali pertama sejak pilihan raya umum 9 Mei untuk menghadiri perhimpunan bersama-sama penjawat awam, 21 Mei 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (dua dari kiri) tiba di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya buat kali pertama sejak pilihan raya umum 9 Mei untuk menghadiri perhimpunan bersama-sama penjawat awam, 21 Mei 2018.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Siasatan Malaysia berhubung skandal rasuah, yang menjadi antara punca kerajaan sebelum ini ditumbangkan pada pilihan raya umum, kembali memperoleh momentumnya pada Isnin dengan pembentukan satu pasukan petugas mengenai perkara itu selain bekas Perdana Menteri Najib Razak bakal tampil di pejabat suruhanjaya pencegahan rasuah untuk disoal siasat.

Hanya beberapa jam sebelum hadir di  pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan mengenai dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB, Najib mengupah pasukan peguamnya yang baru, menurut laporan media dan seorang daripada peguamnya yang  bercakap kepada media bagi pihaknya.

Mahathir Mohamad, Perdana Menteri yang baru berkata, pasukan petugas itu akan bertemu buat pertama kali pada Selasa dan menyiasat jenayah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditubuhkan Najib pada 2009 sebagai syarikat pelaburan strategik untuk menyokong pembangunan ekonomi di negara itu.

Mahathir mengumumkan pembentukan pasukan petugas itu pada hari sama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, memperkenankan istiadat mengangkat  sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia untuk 13 menteri dalam kabinet perdana menteri di Istana Negara.

Mereka mengangkat sumpah 11 hari selepas gabungan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam pilihan raya yang mencatatkan sejarah itu.

"Pasukan petugas khas itu diharap dapat mengembalikan maruah negara yang tercemar akibat skandal ini di samping mengembalikan wang dan aset milik rakyat Malaysia,” kata Mahathir dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Isnin.

Beliau berkata, pasukan petugas itu juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan negara-negara lain seperti yang diperlukan.

"Ia telah diberi mandat untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua aspek termasuk penyiasatan, mengesan pergerakan dana dan penyitaan aset yang diperoleh dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang disimpan atau diubah di dalam dan di luar Malaysia," kata Mahathir dalam kenyataan itu.

Najib, yang turut memegang portfolio menteri kewangan semasa dalam perkhidmatan, telah dipanggil untuk hadir di ibu pejabat SPRM di  Putrajaya. Beliau akan disoal siasat secara khususnya mengenai SRC International, satu daripada unit yang pernah berada di bawah 1MDB.

Siasatan terhadap SRC International menumpukan kepada penemuan kira-kira RM2.6 bilion (AS$ 681 juta) dalam dua akaun bank peribadi milik Najib.

Pada 2015, satu siasatan berasingan terhadap skandal 1MDB berakhir selepas Najib menamatkan perkhidmatan Peguam Negara ketika itu, Gani Patail, semasa beliau sedang menyediakan kertas pendakwaan terhadap Perdana Menteri. Pengganti Gani, Apandi Ali, yang dipilih oleh Najib, bagaimanapun membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB pada Januari 2016, yang menyebabkan penyiasatan itu berakhir. Minggu lalu, kerajaan baru Malaysia telah mengarahkan Apandi supaya bercuti.

Gani adalah seorang daripada ahli pasukan petugas baru itu. Turut menganggotai pasukan berkenaan ialah bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed, yang turut diketepikan Najib semasa beliau meneliti hal ehwal urusan 1MDB. Dua lagi ahli pasukan petugas itu ialah bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Abdul Hamid Bador dan ketua pesuruhjaya SPRM pada masa ini, Mohd Shukri Abdull.

Jabatan Kehakiman A.S. menyifatkan hal ehwal 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama," yang menarik perhatian kepada lebih daripada AS$ 4.5 bilion yang dicuri daripada syarikat pelaburan itu sejak penubuhannya pada 2009.

Najib menafikan sebarang salah laku jenayah, dengan menyatakan bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun banknya adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi. Pada hujung minggu, semasa melawat negeri asalnya di Pahang, Najib mengulangi dakwaannya itu.

"Saya tidak mencuri wang rakyat," lapor Reuters.

Polis yang melakukan serbuan di beberapa hartanah persendirian di Kuala Lumpur, yang mempunyai kaitan dengan Najib, telah merampas barangan mewah termasuk beg tangan, jam tangan dan wang tunai. Dalam serbuan berasingan di unit kondominium dan pejabat Najib, yang dijalankan lebih daripada sehari, polis berkata, mereka telah merampas 284 kotak beg tangan berjenama yang mahal harganya serta 72 beg pakaian berisi wang tunai, barang kemas dan barangan mewah lain.

Amar Singh Ishar Singh, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) polis negara itu, mengesahkan bahawa penggeledahan itu dilakukan berkaitan dengan kes 1MDB.

Dalam satu kenyataan menerusi peguamnya berikutan pengeledahan itu, Najib menyifatkan barangan yang dirampas itu adalah "sumbangan dan hadiah" dan menegaskan bahawa serbuan itu bertujuan mengganggu beliau.

Najib tukar pasukan peguam


Pada Isnin, Najib menukar pasukan peguam yang mewakilinya, menurut peguam Harpal Singh Grewal, yang berperanan sebagai jurucakap bekas PM itu sebelum ini. Harpal mengesahkan laporan media mengenai penukaran itu.

Menurut portal berita, Malaysia Decides, Harpal dan peguam lain, M. Athimulan, telah dimaklumkan bahawa perkhidmatan mereka tidak lagi diperlukan dan Najib menggantikan mereka dengan bekas peguam cara negara Yusof Zainal Abiden dan pasukan enam peguamnya.

Harpal mengesahkan penukaran pasukan peguam itu kepada BeritaBenar tetapi menegaskan bahawa beliau tidak dipecat.

"Ya, saya telah menarik balik," [IV1] katanya dalam satu teks mesej sejurus sebelum tengah malam. "Yusuf mahukan pasukan guamannya sendiri."

Sementara itu, pada hujung minggu ketika berita mengenai rampasan barangan mewah menguasai tajuk berita dan memenuhi ruang media sosial Malaysia, isteri Najib, Rosmah Mansor, mengeluarkan satu kenyataan menerusi peguamnya yang meminta pihak berkuasa untuk menghentikan penyebaran kebocoran berhubung siasatan itu.

"Kami berharap pihak berkuasa akan mematuhi undang-undang dan proses sewajarnya, untuk mengelakkan perbicaraan yang ‘pramatang’ oleh orang awam," menurut kenyataan itu, yang dilaporkan pelbagai saluran berita.

"Agensi penguatkuasaan tidak sepatutnya menyebabkan munculnya pelbagai ejekan atau sindiran dalam media sosial, tetapi perlulah mematuhi dan menegakkan profesionalisme yang ketat pada setiap masa," kata kenyataan itu.

Amar Singh berkata, beliau akan menyiasat dakwaan yang dibuat  terhadap para pegawainya dengan serius.

"Pegawai berkenaan akan diberi peringatan oleh saya sendiri supaya menjalankan penggeledahan secara profesional dan menunjukkan rasa hormat kepada penghuni berkenaan," kata Amar Singh, sambil memberitahu bahawa mereka turut diingatkan  bahawa hartanah berkenaan didiami oleh bekas perdana menteri dan keluarganya.

Untuk memastikan penggeledahan itu dijalankan secara profesional dan menghalang perbicaraan oleh media, Amar Singh berkata, beliau telah melarang pegawainya daripada membawa telefon bimbit mereka semasa bertugas.

Pengecualian diberikan kepada pegawai komander lapangan dan timbalannya, "dan ia hanya untuk tujuan berkomunikasi."

"Pihak polis menyeru pihak-pihak berkaitan untuk memberikan butiran gambar-gambar yang bocor itu, jika ada, untuk membolehkan kami menjalankan siasatan bagi mengesahkan sama ada gambar berkenaan adalah daripada pihak polis," kata Amar Singh, sambil memberitahu bahawa anggota keluarga dan rakan-rakan Najib berada di lokasi semasa penggeledahan itu dijalankan.

Kepimpinan siap sedia


Menteri-menteri kabinet baru, yang pelantikan secara rasminya dibuat pada Isnin, diketuai oleh Wan Azizah Wan Ismail, presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan isteri bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini dibebaskan daripada penjara selepas diberi pengampunan diraja berhubung sabitan kes liwat. Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.

Penyingkiran Anwar dibuat pada 1998 yang menyebabkan beliau berpatah arang, berkerat rotan dengan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir, lalu memulakan pergerakan "Reformasi" Malaysia untuk menggulingkan kerajaan Mahathir. Hubungan kedua-dua pemimpin itu kembali bertaut kerana mereka mahu menumpukan kepada usaha untuk mengalahkan Najib dan gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei.

Selepas sekali lagi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Mahathir mengumumkan senarai menteri bagi kabinet barunya dengan mengagihkan jawatan itu di kalangan empat parti dalam gabungan  Pakatan Harapan. Beliau  belum memilih menteri luar negeri.

Dengan menggambarkan  Pakatan Harapan yang memerintah sebagai tidak berpengalaman, Mahathir turut mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan yang berperanan dalam menasihati perkara-perkara berhubung ekonomi dan kewangan semasa tempoh peralihan.

"Sudah tentu kami sedar yang ramai di antara kami  tidak mempunyai pengalaman atau hanya mempunyai pengalaman sedikit dalam mengendalikan kerajaan. Sudah tentu, kepakaran mestilah daripada mereka yang berpengalaman dalam mengendalikan kerajaan terdahulu, atau memegang beberapa jawatan penting,"kata Mahathir.

Semasa berucap kepada para penjawat awam pada pagi Isnin, Mahathir berkata, Malaysia tidak lagi dihormati di pentas global seperti dahulu.

"Menjadi  tugas kita semua untuk memulihkan imej negara supaya kita kembali dipandang tinggi dan dihormati di seluruh dunia," katanya dalam ucapan pertamanya sejak menjadi perdana menteri, jawatan yang pernah disandangnya selama lebih dua dekad sebelum melepaskannya pada 2003.

Lihat Laman Penuh