FBI Mahu Jumpa Polis Indonesia mengenai Penyerahan Kapal Layar Mewah

Anton Muhajir & N. Nantha
2018.03.08
Denpasar, Indonesia & Kuala Lumpur, Malaysia
180308-MY-yacht-620.jpg Pegawai-pegawai Indonesia bersedia untuk menaiki kapal layar mewah ‘Equanimity’ di Teluk Benoa, Bali, 28 Feb. 2018.
[AFP]

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah meminta untuk bertemu dengan polis Indonesia berhubung penyerahan sebuah kapal layar mewah yang didakwa dibeli dengan wang diselewengkan daripada dana pelaburan negara, 1MDB, kata pegawai-pegawai di Indonesia pada Khamis.

Minggu lalu, pihak berkuasa Indonesia dan Amerika Syarikat merampas ‘Equanimity’, sebuah kapal layar yang memasang bendera Kepulauan Cayman, ketika ia berlabuh di pulau Bali di Indonesia.

"FBI bertanya kepada saya jika mereka boleh bertemu dengan saya mengenai proses penyerahan kapal layar itu," kata Ketua Polis Bali, Petrus Reinhard Golose, kepada BeritaBenar.

"Kapal itu masih ditahan di Pelabuhan Benoa mengikut perintah mahkamah," katanya, sambil memberitahu bahawa kapten kapal layar itu, Rolf Andrian Henry Berry dari Afrika Selatan, dan 29 anak kapalnya masih berada di dalam kapal layar tersebut.
Sementara itu, agensi-agensi berita melaporkan bahawa Indonesia sedang bersedia untuk menyerahkan kapal layar tersebut kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Penyerahan kapal "sedang dalam proses untuk dilakukan," lapor Agence France-Presse yang memetik detektif kanan polis nasional Indonesia, Daniel Silitonga, pada Khamis.

Dalam tuntutan mahkamah sivil yang difailkan pada Jun 2017, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa bahawa hartawan perniagaan Malaysia, Jho Low atau nama penuhnya Low Taek Jho, telah membayar US$250 juta untuk Equanimity yang berkeluasan 100 meter (300 kaki) dengan menggunakan sebahagian daripada $4.5 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi Jho Low bukanlah antara 34 orang yang berada di dalam kapal layar itu ketika pihak berkuasa menyerbunya lapan hari lalu, kata para pegawai. Low masih tidak diketahui  berada di  mana.

Ketua Polis Malaysia, Mohamad Fuzi Harun, berkata, pihaknya masih menunggu maklumat tentang rampasan Equanimity.

"Polis Malaysia belum menerima apa-apa maklumat, sama ada daripada pihak berkuasa Indonesia atau FBI, mengenai rampasan Equanimity pada 28 Feb lalu," kata Fuzi kepada BeritaBenar pada Khamis.

Inspektor Jeneral Setyo Wasisto, jurucakap polis nasional Indonesia, memberitahu pemberita pada Jumaat bahawa Sistem Identifikasi Automatik kapal layar itu, yang membolehkan satelit untuk menentukan lokasinya, telah dimatikan beberapa kali di perairan Singapura dan Filipina, sebelum memasuki perairan Indonesia pada November 2017.

Surat daripada FBI


Polis Indonesia merampas Equanimity selepas menerima surat daripada FBI pada 21 Feb yang meminta bantuan untuk menguatkuasakan perintah mahkamah itu, kata para pegawai.

Rampasan itu dibuat beberapa hari sebelum tarikh akhir 16 Mac yang diberikan mahkamah kepada DOJ untuk memfailkan laporan pertamanya mengenai status siasatan jenayah itu.

Pada Ogos 2017, DOJ meminta sebuah mahkamah California untuk mengetepikan  kes sivil yang telah difailkan bagi membolehkan jabatan itu mendapatkan semula hartanah dan aset lain dalam usaha pihaknya melindungi bukti dan saksi dalam siasatan jenayah yang masih berterusan itu.

DOJ tidak mengumumkan siapa sasaran siasatan jenayahnya.

1MDB, yang terlibat dalam penyiasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland dan Singapura, ditubuhkan pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek-projek yang akan memberi manfaat kepada warganegara Malaysia melalui projek-projek pembangunan yang bergantung terutamanya kepada penerbitan sekuriti hutang, kata pegawai AS.

Tetapi, menurut dokumen mahkamah, ia sebaliknya digunakan untuk menampung gaya hidup mewah mereka yang berkuasa dalam tempoh lima tahun iaitu antara 2009 dan 2014.

Low, yang bertindak sebagai penasihat bagi penubuhan TIA, entiti terdahulu 1MDB, telah secara terbuka menafikan sebarang penglibatan dengan dana negara itu, menurut dokumen mahkamah itu. Beliau tidak pernah memegang jawatan rasmi di 1MDB.

Dokumen mahkamah yang diperoleh oleh BeritaBenar menunjukkan bahawa DOJ menuduh Low melakukan pengubahan wang lebih $400 juta yang dicuri daripada 1MDB menerusi pengambilalihan hartanah di California, New York dan London. Selain kapal layar itu, beliau juga membelanjakan berjuta-juta dolar untuk lukisan selain sebuah jet yang berharga $35 juta.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang mengasaskan 1MDB pada 2009, berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihat dana itu tetapi Peguam Negara Apandi Ali telah membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

Najib dan pegawai-pegawai dana negara itu juga menafikan dakwaan menggelapkan wang itu.

Dana dihantar melalui pelbagai akaun

Equanimity, yang dibina oleh Oceanco pada 2014 di Rotterdam, Belanda, dilengkapi dengan pad helikopter, gim, panggung wayang, bilik urut, sauna dan kolam renang, menurut dokumen mahkamah.

Pada Khamis, jurucakap DOJ Nicole Navas Oxman juga mengesahkan bahawa Red Granite Pictures, sebuah syarikat penerbitan yang diasaskan oleh anak tiri Najib, Riza Shahriz bin Abdul Aziz, bersetuju membayar kerajaan Amerika Syarikat sebanyak $60 juta bagi menyelesaikan tuntutan saman DOJ, yang mendakwa bahawa filem-filemnya dihasilkan dengan menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Red Granite Pictures, yang menghasilkan filem "Wolf of Wall Street," yang dibintangi Leonardo DiCaprio, dan komedi berbajet besar "Daddy's Home" dan "Dumb and Dumber Two," akan membayar jumlah itu dalam tiga ansuran dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh BeritaBenar. Perjanjian penyelesaian itu difailkan di Mahkamah Daerah AS di California pada Selasa.

"Jabatan Kehakiman terus berusaha merampas aset bernilai hampir $1.7 bilion yang diperolehi dengan menggunakan dana awam, yang jabatan ini mendakwa bahawa ia adalah wang yang disalahgunakan daripada 1MDB," kata Navas Oxman kepada BeritaBenar dalam kenyataan menerusi e-mel.

"Penyelesaian bayaran itu tidak membebaskan mana-mana individu atau entiti daripada liabiliti jenayah," katanya.



Roni Toldanes di Washington turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.