IMDB: Dua Bank Dikenakan Denda Oleh Pihak Berkuasa Singapura

Ray Sherman
2017.05.30
Kuala Lumpur
170530-my-MAS-620.jpg Bangunan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) yang terletak di Singapura, 30 Mei 2017.
AFP

Pihak berkuasa Singapura telah mengakhiri siasatan semakan dua tahun ke atas bank-bank di negara itu yang terlibat dengan dana pelaburan Malaysia 1Malaysia Development Berhad [1MDB] dan turut mengenakan tindakan penalti kewangan terhadap dua bank serta mengenakan perintah larangan [PO] terhadap tiga individu, demikian pengumuman yang dikeluarkan oleh bank pusat Singapura pada Selasa.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata dua buah bank itu ialah Credit Suisse dan United Overseas Bank (UOB) masing-masing telah didenda sebanyak S$0.7 juta dan S$0.9 juta [AS$1.5juta]kerana melanggar Notis 626 MAS – Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Keganasan.

MAS dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa itu juga memaklumkan mengenai pengeluaran notis yang mengenakan tindakan kawal selia yang sama terhadap tiga yang lain itu dengan melengkapkan siri pemeriksaan bank yang ada kaitan dengan aliran dana 1MDB.

“Denda dikenakan selepas semakan dua tahun berkaitan transaksi yang berkait-rapat dengan 1MDB yang telah diselesaikan selepas mendapati berlakunya pelanggaran Anti-pengubalan Wang Haram [AML] dan kecuaian kawalan,”  kata Ravi Menon, Pengarah Urusan MAS dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, kajian itu juga telah memberi pengajaran penting kepada MAS dan institusi kewangan di Singapura dalam usaha meningkatkan pengawasan AML dan telah mengukuhkan kawalan pencegahannya terhadap pengubahan wang haram sejak skandal itu dilaporkan.  

“Singapura juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap institusi dan individu yang  menyeleweng. Kini industri kewangan kami berada dalam kedudukan yang lebih baik hari ini daripada sebelumnya  apabila berlakunya penyalahgunaan aliran berpunca daripada 1MDB yang berlaku,” katanya.

Dana pelaburan 1MDB yang merupakan idea Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.

Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

MAS sebelum ini mengarahkan penutupan BSI Bank dan Falcon Bank ekoran kegagalan pengurusan kanan mengawal AML dan salah laku, selain mengeluarkan PO selama 10 tahun sehingga seumur hidup ke atas empat bekas pekerja institusi kewangan terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB.

Selain itu juga, ia telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB atas pelbagai pelanggaran keperluan AML.

Pada pengumuman PO 13 Mac lepas, MAS telah mengeluarkan arahan 15 tahun PO terhadap Jens Fred Sturzenegger, Yak Yew Chee dan Seah Mei Ying yang berkuatkuasa mulai 29 Mei lalu.

Sturzenegger adalah pengurus cawangan Falcon Private Bank Ltd, cawangan Singapura (Falcon Bank), manakala Yak dan Seah adalah pekerja BSI Bank Limited (BSI Bank).

Sturzenegger telah disabitkan atas jenayah kewangan termasuk memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa dalam usaha untuk menutup hubungan Falcon Bank dengan Low Taek Jho dan Yak.

Seah pula disabitkan atas pelbagai pertuduhan gagal melaporkan urus niaga mencurigakan dan memalsukan surat rujukan di BSI Bank bagi pihak Low.

Ketiga-tiga individu dilarang daripada memberikan apa-apa rundingan khidmat kewangan pasaran modal dan mengambil bahagian dalam pengurusan, yang bertindak sebagai seorang pengarah, atau menjadi pemegang saham utama mana-mana modal perkhidmatan pasaran atau firma penasihat kewangan di Singapura.

Pada Disember tahun lalu, seorang bekas eksekutif Goldman Sachs telah didakwa mengeluarkan surat rujukan palsu yang menggunakan kertas tulis rasmi syarikat berkenaan dan dihantar kepada sebuah institusi kewangan di Luxembourg pada Jun 2015 bagi pihak Low Taek Jho, orang utama dalam skandal 1MDB sehingga dihalang daripada menjalankan sebarang urusan perkhidmatan kewangan di Singapura selama satu dekad.

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.

Pada Julai tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang dalam merampas dan mendapatkan kembali  lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Aduan rampasan sivil dikemukakan oleh Jabatan Keadilan itu yang tidak menamakan Najib tetapi mengaitkannya dengan skandal 1MDB. Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ini merupakan "konspirasi antarabangsa" untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi Amerika.

Siri rampasan sivil itu juga telah menamakan Jho Low dan anak tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Riza Aziz dalam kertas pertuduhan.

Bagaimanapun, 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, telah menafikan sebarang salah laku.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.