Laporan: Firma Amerika Syarikat Tawar Bantuan Tutup Siasatan Negaranya Terhadap 1MDB

Staf BeritaBenar
2018.03.01
Washington DC
180301-my-1mdb-jho620.jpg Hartawan Malaysia Jho Low duduk semeja dengan penyanyi rap Amerika Syarikat, Ludacris, pada majlis mengumpul derma Angel Ball di New York, 20 Okt 2014.
[AFP]

Sebuah firma undang-undang Amerika Syarikat yang dilantik oleh ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, menawarkan bantuan yang dapat membuatkan Jabatan Kehakiman (DOJ) negara itu menggugurkan tuntutan saman berkaitan 1MDB dengan bayaran sebanyak AS$75 juta, yang akan dibayar dalam masa 180 hari jika ia berjaya dilakukan, lapor The Wall Street Journal pada Khamis.

Tawaran itu terkandung dalam draf perjanjian antara sebuah firma undang-undang California dan wakil kepada Low, yang menjadi sasaran tindakan undang-undang DOJ yang mendakwa beliau membantu menyelewengkan AS$4.5 bilion daripada dana pembangunan Malaysia milik negara itu antara 2009 dan 2015, lapor akhbar itu.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada perjanjian itu pernah ditandatangani, menurut Wall Street Journal yang melaporkan bahawa ia adalah antara "e-mel bertarikh tahun lalu" daripada akaun peguam Robin Rosenzweig dari Colfax Law Office Inc. dan suaminya, Elliott Broidy.

Dalam e-mel lain, Broidy, seorang pengumpul dana kanan dalam kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016, nampaknya menawarkan bahan perbincangan bagi kunjungan Perdana Menteri Najib Razak ke White House pada 2017, lapor akhbar itu. Tidak dapat dipastikan sama ada bahan perbincangan itu pernah digunakan, lapor Wall Street Journal.

Akhbar itu memetik jurucakap pasangan berkenaan yang mengesahkan bahawa firma undang-undang Rosenzweig terlibat "dalam memberi nasihat strategik sebagai sebahagian daripada pasukan besar kepada Encik Low."

"Sepanjang penglibatan ini, beberapa strategi telah dibincangkan ... Tetapi, Encik Broidy atau Cik Rosenzweig, atau sesiapa yang bertindak bagi pihak mereka, tidak pernah membincangkan kes Encik Low dengan Presiden Trump, mana-mana kakitangannya, atau sesiapa sahaja di Jabatan Kehakiman AS," lapor akhbar itu yang memetik jurucakap itu sebagai berkata dalam satu kenyataan.

Colfax Law atau Broidy tidak pernah mewakili Malaysia atau mana-mana pegawainya dalam sebarang kapasiti, kata kenyataan itu, dan menambah bahawa Wall Street Journal nampaknya telah memperoleh "draf dalaman dokumen yang tidak pernah digunakan" menerusi cara yang boleh dipersoalkan.

Dalam artikelnya, akhbar itu merujuk kepada "cache e-mel .... diberikan kepada Journal "tetapi tidak menjelaskan siapa yang memberikannya kepada mereka atau mengapa.

Jho Low (juga dikenali sebagai Low Taek Jho) telah menafikan sebarang salah laku dalam urusan 1MDB. Awal minggu ini, atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat, polis telah merampas kapal layar mewahnya di Bali selepas siasatan mendapati ia dibeli "dengan hasil rasuah," kata pegawai Indonesia.

Dalam satu kenyataan, seorang jurucakap Jho Low merungut tentang mengapa rampasan itu dibuat sedangkan pegawai-pegawai kehakiman AS "masih tidak mengambil sebarang langkah untuk membuktikan bahawa tiada ketidakpatuhan berlaku."

"Oleh itu adalah mengecewakan bahawa, daripada memikir dengan mendalam tentang dakwaan yang nyata silap dan bermotifkan politik itu, DOJ meneruskan tindakannya di seluruh dunia - semuanya hanya berdasarkan dakwaan salah laku yang tidak disokong sepenuhnya," kata jurucakap itu.

Najib, yang berdepan pemilihan semula dalam pilihan raya umum tahun ini, telah dikaitkan oleh pengkritik dengan skandal yang membelenggui hal ehwal 1MDB, tetapi Peguam Negara Malaysia memberitahu bahawa beliau tidak melakukan sebarang salah laku.

Najib menubuhkan dana kekayaan negara itu pada 2009. Pada 2013, beliau mengakui menerima hampir AS$681 juta dalam akaun bank peribadinya tetapi berkata bahawa ia adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Arab Saudi yang digunakan untuk membiayai calon-calon dalam pilihan raya umum 2013.

Semasa mengumumkan bahawa ia akan merampas asset-aset yang didakwa dibeli semasa "skim penipuan banyak tahun yang melibatkan berbilion dolar", pegawai Jabatan Kehakiman berkata dana itu telah "membiayai gaya hidup mewah mereka yang didakwa sebagai rakan subahat dengan perbelanjaan yang memudaratkan rakyat Malaysia. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.