Dua Rakyat Malaysia Ditahan Pihak Berkuasa Turki Cuba Masuki Syria

A. Ariffin
2016.11.04
Kuala Lumpur
161104-my-IS-turki620.jpg Pasukan Polis DiRaja Malaysia membawa suspek (baju kelabu) yang berusia 24 tahun dan berasal dari Miri, Sarawak, sebaik saja menahannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 30 Oktober 2015.
Photo: Benar

Pihak berkuasa Turki telah menahan dua rakyat Malaysia yang dipercayai cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS), kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan di Istanbul pada 28 Okt lepas, dan kemudiannya dihantar pulang ke tanahair.

“Mereka ditahan oleh sepasukan anggota Polis DiRaja Malaysia [PDRM] sebaik saja tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Oktober lepas,

“Suspek pertama merupakan seorang juruteknik kilang berusia 29 tahun dan berasal dari Johor manakala rakannya, pembantu jurukimpal berumur 24 tahun berasal dari Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai telah direkrut oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang pejuang IS yang berpangkalan di Syria untuk menyertai kumpulan pengganas itu.

Wanndy yang juga dikenali sebagai Abu Hamzah al-Fateh dipercayai mengarahkan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir Kuala Lumpur, yang mencederakan lapan orang pada 28 Jun lepas, dan merupakan serangan pertama yang diakui oleh IS di Malaysia

Setakat hari ini, dipercayai lebih 250 rakyat Malaysia yang terlibat menyertai kumpulan pengganas IS telah ditahan dalam negara, seramai 32 telah meninggal dunia di Iraq dan Syria, manakala lebih 60 orang masih berjuang untuk ideologi songsang tersebut.

Kedua-dua suspek tersebut kini di bawah tahanan pihak polis dan bakal disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747), Khalid berkata.

Keluar melalui Thailand


Khalid berkata, Muhammad Wanndy yang aktif merekrut anggota baru di kalangan rakyat Malaysia merupakan dalang yang dipercayai memujuk kedua-dua lelaki berkenaan untuk menyertai kumpulan itu.

“Muhammad Wanndy dipercayai bertanggungjawab menyelaras rancangan penyusupan masuk kedua-dua lelaki itu ke Syria serta menyalurkan dana untuk membiayai kos penerbangan mereka ke negara tersebut,” katanya.

Khalid berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa kedua-dua suspek telah menaiki kereta api daripada Butterworth, Pulau Pinang ke Bangkok, Thailand pada 23 Oktober sebelum menaiki kapal terbang dari Bangkok ke Abu Dhabi dan kemudiannya ke Istanbul.

“Tangkapan ini adalah hasil kejayaan pertukaran inteligen pihak cawangan khas dengan pihak berkuasa Turki.

Pada lewat September dan awal Oktober, 14 daripada 16 daripada mereka terdiri daripada anggota kumpulan yang dikenali sebagai Gagak Hitam, diketuai oleh Wanndy telah ditahan.

Sumber yang rapat dengan siasatan tersebut mendakwa seorang guru kaunseling di Kedah mengetuai rangkaian Gagak Hitam di Malaysia itu dan menghantar wang kepada Wanndy di Syria, sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali.

Di ambang sambutan Hari Merdeka pada Ogos 31 lepas, polis Malaysia telah menahan tiga suspek anggota IS selepas menggagalkan cubaan melakukan serangan di pusat-pusat hiburan di Kuala Lumpur dan Kuil Batu Caves serta balai polis. Ketiga-tiga suspek itu menerima arahan dari Wanndy.

Sementara itu, Profesor Zaini Othman, yang mengetuai Pusat Penyelidikan Keselamatan Strategik berkata punca utama peningkatan rekrut dari Malaysia menyertai kumpulan pengganas IS adalah kerana ketaksuban melulu dalam sesuatu perkara tanpa memahami perkara tersebut.

Dr. Zaini berkata, tanpa asas dan pemahaman yang kukuh terhadap sesuatu perkara boleh membuatkan seseorang itu melakukan sesuatu secara membuta tuli walaupun ajaran tersebut songsang.

“Apabila seseorang yang tidak betul-betul memahami akar umbi sesuatu perkara, sebagai contoh dalam konteks ini ialah Islam, ini membuatkan mereka  mudah dipengaruhi dan mengikut secara buta tuli.

"Di zaman moden sekarang ini, kita tidak lagi mendapatkan atau memahami sesuatu perkara melalui saluran yang betul seperti dari seorang Ustaz yang bertauliah, Sekolah Pondok, atau Jabatan Kemajuan Agama Islam, sebaliknya lebih percaya dan berpandukan kepada ceramah agama di Facebook, Youtube dan sebagainya,” katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia pada 27 Oktober lalu telah melancarkan unit operasi bersepadu khas yang pertama, berfungsi sebagai unit tindak balas segera terhadap serangan pengganas serta menangkis ancaman tersebut.

Para pegawai terdiri daripada anggota polis, tentera serta penguatkuasa maritim Malaysia dari pelbagai pangkat telah dibentuk dalam mewujudkan pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF), yang akan menjadi barisan hadapan menangkis serangan pengganas sekiranya senario tersebut berlaku kelak.

Pasukan berkenaan terdiri daripada 17 pegawai dan seramai 170 anggota yang berpusat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur dan akan menjalankan tugas menangani ancaman daripada kumpulan pengganas IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.