Malaysia, Indonesia Tahan 6 Suspek Atas Dakwaan Punya Hubungan Keganasan

Anis Natasha
2017.01.31
Kuala Lumpur
170131-MY-is-620.jpg Dalam foto yang dikaburkan oleh polis, menunjukkan pegawai anti-keganasan Malaysia sedang menjalankan tugas mereka dalam operasi untuk menangkap seorang pengawal keselamatan di Kuantan, Pahang, 27 Jan, 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Polis Malaysia berkata, mereka telah menahan tiga lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS), manakala pihak berkuasa di negara jiran Indonesia mengumumkan penahanan tiga suspek berkaitan dengan satu letupan bom di Jawa Tengah, bulan lepas.

Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Pahang antara 27 dan 29 Januari. Mereka terdiri daripada seorang penganggur yang didakwa merancang serangan bom; seorang pegawai keselamatan, dan warga Indonesia yang bekerja dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, kata Ketua Polis Negara.

"Dua yang ditahan adalah warga Malaysia manakala individu ketiga merupakan warga Indonesia yang memiliki status penduduk tetap," kata Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa tanpa menamakan suspek.

Penangkapan itu berikutan pengumuman oleh Khalid pada minggu lepas di mana pihak berkuasa telah berjaya mematahkan sel baru yang merancang untuk menggunakan negeri Sabah sebagai transit bagi militan untuk meneruskan perjalanan bagi menyertai kumpulan yang berkaitan dengan IS di selatan Filipina.

Empat orang - seorang rakyat Malaysia, dua warga asing dari Bangladesh dan Filipina – ditahan dalam pembongkaran mengenai sel itu, tetapi kenyataan Khalid pada Selasa tidak menyatakan sama ada mereka ada kaitan dengan tiga tangkapan terbaru ini.

Khalid menyifatkan suspek terbaru yang ditahan berusia 38-tahun- seorang penganggur dan penyokong IS.

"Semasa ditangkap, suspek mengaku dia seorang penyokong Daesh dan turut mengaku bahawa rancangan untuk melancarkan serangan bom keatas Jabatan Mufti dan Agama Islam Negeri Sembilan yang didakwa gagal mengikut syariat Islam," kata Khalid, yang menggunakan istilah  Daesh untuk IS.

Lelaki itu ditahan pada Ahad di Kuala Lumpur dan turut mengaku membuat ugutan untuk membunuh serta mahu melancarkan serangan bom melalui akaun media sosial Facebooknya, menurut Khalid.

Pengawal Keselamatan

Dua suspek ditahan dalam operasi berasingan di ibu negeri Pahang, Kuantan, pada Jumaat.

Salah seorang daripada mereka adalah seorang warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja dengan Malaysia Airlines, tetapi ketua polis itu tidak memaklumkan jika suspek merancang untuk melakukan serangan melibatkan syarikat penerbangan itu.

"Lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan anggota IS, rakyat Malaysia yang berada di Syria, dengan turut merancang untuk membawa isterinya untuk menyertai IS di negara berkenaan," kata Khalid.

Siasatan mendedahkan bahawa warga Indonesia itu, pernah ke Turki pada 2013, Khalid bagaimanapun tidak menyatakan sama ada suspek berpindah ke Syria pada ketika itu.

Khalid juga memberitahu yang pasukannya merampas pistol airsoft  bersama tiga salinan buku "Tarbiyah Jihadiyah," , buku oleh Allahyarham Abdullah Yusuf Azzam, yang dianggap sebagai bapa kepada pergerakan pelampau Islam global.

Pegawai dan anggota daripada pasukan khas polis itu turut menahan seorang lagi pengawal keselamatan berusia 32 tahun di sebuah syarikat swasta di satu lokasi rahsia di Kuantan, Pahang, kata Khalid sambil menambah yang lelaki berkenaan merancang untuk menyertai IS di Syria.

"Polis turut merampas senapang patah Trusty PM4," katanya.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman di bawah Akta Keselamatan Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 271 orang yang terlibat dalam IS sejak 2013, termasuk dengan penahanan terkini pada Selasa,  66 orang telahpun dibebaskan,  menurut perangkaan kerajaan yang dikemaskini.

Suspek Bom

Di Indonesia, Skuad Anti-keganasan Polis Negara Densus 88 menahan tiga lelaki di wilayah Jawa Tengah sejak dua hari lalu kerana didakwa terlibat dalam pembuatan bom dan menyembunyikan maklumat mengenai letupan, pihak polis mengumumkan pada Selasa.

Polis Indonesia menahan seorang lelaki berusia 31 tahun, yang hanya dikenalpasti sebagai J, di Gemolong, sebuah bandar di daerah Sragen pada pagi Selasa. Pada masa yang sama, skuad berkenaan juga menahan seorang lelaki lain yang dikenali sebagai SG, 38, di rumahnya di Gondangrejo, daerah Karanganyar.

Pada petang Isnin, pihak berkuasa menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dikenali sebagai S, di daerah Grobogan, kerana didakwa memiliki bom yang meletup di rumah sewanya pada 11 Disember 2016.

Di Jakarta, jurucakap Polis Negara Boy Rafli Amar berkata, ketiga-tiga mereka terlibat dalam  letupan pada bulan Disember.

"Kesemua mereka disyaki membuat bom yang kemudiannya meletup di dalam rumah yang disewa itu," detik.com memetik Boy sebagai berkata dalam merujuk kepada S, sambil menambah yang lain membantu menutup kejadian itu daripada pengetahuan jiran dan polis.

Tiada yang cedera di dalam kejadian letupan bom tersebut.

Hata Wahari di Kuala Lumpur dan Kusumasari Ayuningtyas di Solo, Indonesia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.