Malaysia Gagalkan Serangan Pengganas, Tangkap Dua Lelaki Punya Kaitan IS

Ray Sherman
2018.01.22
Kuala Lumpur
180122-MY-militants-620.jpg Polis Anti-Keganasan Malaysia semasa latihan di Kuala Lumpur, 20 Julai, 2017.
[AP]

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin mengumumkan penangkapan dua anggota militan yang didakwa mempunyai kaitan dengan militan Negara Islam (IS), termasuk seorang lelaki Indonesia yang cuba menikam sami Buddha untuk membalas dendam  pembunuhan Rohingya di Myanmar.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan anti-keganasan negara itu telah menahan dua suspek pada hujung Disember lepas dan juga pada 17 Januari lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Penangkapan terbaru itu melibatkan seorang buruh binaan dari Indonesia, 23, yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas ibu pejabat Polis Bukit Aman dan juga Balai Polis Travers, untuk merampas senjata api dari stor senjata mereka," kata Fuzi. "Suspek juga merancang untuk mencuri senjata api dari stor senjata api di kedua-dua lokasi tersebut untuk digunakan dalam serangan di Malaysia dan Indonesia."

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Isnin, Fuzi turut memberitahu bahawa suspek rakyat Indonesia itu merancang untuk menyerang sami Buddha.

Pada November, suspek telah memantau sekitar Jalan Pudu (Kuala Lumpur), dengan bersenjatakan sebilah pisau, dengan niat untuk membunuh mana-mana sami Buddha bagi membalas dendam  kekejaman kerajaan Myanmar dan pembunuhan  umat Islam Rohingya di negara itu," kata Fuzi.

Sekurang-kurangnya 655,000 etnik Rohingya melarikan diri dari tindakan keras tentera yang zalim di negeri Rakhine, Myanmar, yang bermula sejak akhir Ogos 2017, berikutan serangan terhadap pos keselamatan kerajaan oleh kumpulan pemberontak Rohingya. Secara keseluruhannya, kira-kira 1 juta pelarian Rohingya berlindung di Bangladesh, termasuk mereka yang telah melarikan diri dari gelombang keganasan sebelum itu.

Malaysia adalah salah satu negara yang telah menunjukkan sokongannya terhadap etnik Rohingya, sebuah masyarakat minoriti Islam.

Fuzi berkata suspek telah membuat janji setia [bai’ah] kepada pemimpin kanan IS melalui aplikasi Whatsapp dan cuba merekrut rakyat Indonesia lain untuk menyertai kumpulan pengganas itu.

"Bagi membuktikan bahawa kumpulan pengganas itu masih aktif di Malaysia, suspek juga telah menaikkan dan mengibarkan bendera IS di tapak pembinaan tempat beliau bekerja, walaupun mereka kalah di Iraq dan Syria," kata Ketua Polis Negara itu tanpa mendedahkan lokasi tapak pembinaan berkenaan.

Tangkapan pada Disember


Seorang guru di sebuah sekolah agama swasta yang terletak berhampiran Kuala Lumpur ditangkap pada 23 Disember 2017, selepas dibebaskan dari penjara 13 bulan lebih awal, kata Fuzi.

"Lelaki berusia 25 tahun itu sebelum ini pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan telah dibebaskan dari hukuman penjara 18 bulan pada 9 Nov 2016," katanya.

Fuzi berkata suspek menjadi anggota aktif IS dan telah merancang serangan di Kuala Lumpur.

"Suspek merancang untuk melancarkan serangan di pusat-pusat hiburan di Lembah Klang, dan juga merancang untuk merompak, menculik atau membunuh orang bukan Islam berdasarkan pemahamannya bahawa mereka dari golongan kafir  dan darah mereka halal untuk ditumpahkan," kata Fuzi.

Suspek mempromosikan ideologi Salafi Jihadi IS di Facebook untuk menarik anggota baru, menurut Fuzi. Dia didapati mempunyai hubungan  dengan bekas anggota IS dan anggota kanan  Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 371 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, termasuk 71 rakyat  asing, mengikut statistik kerajaan.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pegeboman berkaitan IS sejak 2013, menurut pegawai. Antara rancangan yang digagalkan adalah sasaran mengebom Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata polis.

Tetapi militan berjaya melakukannya pada Jun 2016, apabila serangan bom tangan yang mempunyai kaitan dengan IS telah mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur.

Tiga puluh empat rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria. Selain itu, 53 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mereka berkemungkinan telah melarikan diri dari bandar di mana berlakunya pertempuran, kata polis Malaysia. Pegawai tersebut juga berkata, rakyat Malaysia berkemungkinan berlindung di beberapa kem di sepanjang sempadan Syria dengan Jordan dan Turki.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.